Uncategorized

Mengenali Sifat Solat Di Akhir Zaman

Solat merupakan ibadah yang utama di dalam agama bahkan solat juga ibadah yang pertama akan dihitung dan dihisab oleh Allah SWT di hari akhirat kelak. Kenapa? Kerana hak hamba dengan hak penciptanya, Allah SWT yang paling besar adalah solatnya.

Terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya amalan pertama yang dihisab seseorang hamba pada hari kiamat adalah daripada amalan solatnya. Jika baik solatnya maka berbahagia dan berjayalah ia. Jika buruk solatnya maka kecewa dan rugilah ia.”1

Pada hari ini, urusan solat sering dipandang lekeh oleh segolongan umat Islam. Hal ini menyebabkan solat dengan mudahnya diabaikan. Sedangkan umum mengetahui bahawa urusan solat fardhu itu adalah wajib ke atas setiap mukallaf.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Nisa’ ayat 103:

“Sesungguhnya solat itu adalah ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman yang ditentukan waktunya.”

Urusan solat ini termasuk di dalam rukun islam yang kedua selepas mengucap dua kalimah syahadah. Terdapat banyak ayat perintah daripada Allah SWT supaya mendirikan solat seperti “Dirikanlah solat…”2

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya sempadan antara seseorang dengan kesyirikan dan kekufuran adalah meninggalkan solat.”

Riwayat Muslim

Berdasarkan hadis ini, solat merupakan penanda dalam membezakan antara orang yang beriman dan juga orang yang kafir. Sebahagian ulama berpandangan bahawa meninggalkan solat dengan sengaja menyebabkan seseorang itu gugur keislamannya terkeluar daripada agama Islam. Hukum meninggalkan solat sama ada dengan sengaja atau tidak adalah haram dan merupakan satu dosa besar.

Mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja dan mengingkari kewajipannya, para ulama bersepakat bahawa mereka itu terkeluar daripada agama Islam dan dihukum sebagai kafir.3 Namun begitu, sekiranya seseorang itu tidak mengingkari kewajipannya dan meninggalkan solat dek kerana malas, maka itu tidak menyebabkannya terkeluar daripada Islam namun berdosa besar.4

Menurut pandangan mazhab al-Syafie, seseorang yang meninggalkan solat kerana malas pada masa yang sama tidak mengingkari kewajipannya maka ia dikategorikan sebagai fasik dan hendaklah (wajib) bertaubat serta menggantikannya.

Ancaman Terhadap Orang Yang Melalaikan Solat

Allah SWT juga mengancam bagi orang yang solat tetapi lalai dalam surah al-Ma’un ayat 4 & 5 yang bermaksud, “Kecelakaan besar bagi orang-orang yang (menjaga) solat. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya.”

Dalam Tafsir al-Sa’di, Syeikh al-Sa’di menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan ‘lalai’ adalah menyia-nyiakan, tidak solat sehingga waktunya berlalu dan tidak memenuhi rukun-rukunnya. Maksudnya bukanlah meninggalkan solat itu sama sekali, malah yang dimaksudkan ialah mengakhirkannya dari waktunya iaitu tidak solat Zohor kecuali sehingga datangnya waktu Asar, dan tidak solat Asar sehingga datangnya waktu Maghrib, dan tidak solat Maghrib sehingga datangnya waktu Isya’ dan tidak solat Isya’ sehingga datangnya waktu fajar (solat Subuh), kemudian tidak menunaikan solat Subuh sehingga terbitnya matahari.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berusaha melaksanakan solat di awal waktu. Saya mengakhiri perbincangan sifat solat di akhir zaman ini dengan sebuah hadis. Rasulullah SAW pernah keluar bersama kami, sementara kami saling mengingati tentang al-Masih al-Dajjal, maka Baginda bersabda: “Mahukah aku beritahukan kepada kamu tentang sesuatu yang lebih aku khuatirkan terhadap diri kamu daripada Dajjal?” Iaitu:

“Syirik yang tersembunyi iaitu seseorang mengerjakan solat dan memperbaikkan solatnya dengan harapan agar ada seseorang yang memperhatikannya.”5

1. Hadis Sahih. Riwayat al-Tirmidzi.
2. Surah Al-Isra: 78, Al-Baqarah: 43, Al-Baqarah: 110, Hud: 114, Al-Hajj: 78.
3. Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj.
4. Kitab Fiqh Manhaji, Jilid 1.
5. Riwayat Ibnu Majah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Langgan Siri Akhir Zaman

Dapatkan informasi islamik akhir zaman terus ke emel anda setiap minggu dengan mengisi emel di bawah.

You have been successfully Subscribed! Ops! Something went wrong, please try again.

Copyright 2024 © TandaKiamat.com