Uncategorized

Demi Masa! Peliharalah

Antara tanda akhir zaman adalah manusia akan merasai tempoh masa yang seakan-akan berlalu dengan pantas. Walaupun ukuran masa tetap sama 24 jam dalam sehari, namun kita perlu sedar bahawa keberkatan masa mulai hilang sehingga kita merasakan masa berlalu dengan sangat pantas.

Inilah pandangan ulama, masa yang pantas berlalu adalah disebabkan hilangnya keberkatan terhadap masa. Kehidupan manusia pada hari ini disibukkan dengan perkara-perkara yang kurang bermanfaat. Kita mungkin tanpa sedar sudah menghabiskan lebih banyak masa selama berjam-jam di media sosial. Ini adalah situasi yang benar-benar berlaku apabila kita tidak merasakan masa yang telah berlalu.

Hasan Al-Basri pernah berpesan:

“Salah satu tanda bahawa Allah telah berpaling dari hamba-Nya ialah, Dia menjadikan hamba-Nya sibuk dengan perkara-perkara yang sia-sia.”1

Allah swt berfirman dalam surah al-Asr, ayat 1-3:

“Dami Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian – Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.”

Allah swt bersumpah dengan masa kerana masa menjadi perkara utama bagi manusia yang perlu dijaga. Syeikh Muhammad Ali Al-Sobuni menerangkan bahawa masa antara penyebab kepada kebahagiaan manusia atau kebinasaannya dalam kehidupan.

Ini kerana dinyatakan lagi dalam ayat 2 dan 3 surah al-Asr bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat ialah iman, amal yang soleh, saling berpesan dengan kebenaran dan kesabaran. Maka saya ingin berpesan-pesan dengan kebenaran sebuah hadis daripada Anas bin Malik ra bahawa Rasulullah saw telah bersabda:

“Kiamat tidak akan berlaku sehingga masa pantas berlalu. Setahun seperti sebulan, sebulan seperti seminggu, seminggu seperti sehari, sehari seperti sejam dan sejam seperti satu sambaran api.”2

Beberapa pandangan tentang maksud hadis:

Pandangan Pertama

Apa yang dimaksudkan hadis telah dijelaskan dengan kurangnya keberkatan terhadap masa. Bagaimana keberkatan berlaku dalam 45 tahun hayat Imam Nawawi dapat dibuktikan? Apabila ramainya umat manusia mendapat manfaat melalui berpuluh-puluh penulisan kitab beliau dalam pelbagai bidang ilmu. Para ulama berpendapat Imam Nawawi diberi keberkatan masa oleh Allah swt.

Pandangan Kedua

Masa berlalu dengan pantas merujuk kepada perkembangan sistem pengangkutan. Pada masa dahulu, masa perjalanan ke suatu tempat perlu mengambil masa yang cukup lama dan panjang. Dengan kewujudan kenderaan seperti kapal terbang dapat disingkatkan masa dan jarak perjalanan yang panjang mampu dipendekkan.

Perhubungan sesama manusia juga semakin mudah disebabkan perkembangan teknologi dalam sistem telekomunikasi.

Pandangan Ketiga

Masa itu sendiri sememangnya berlalu dengan pantas dalam erti kata sebenar. Di akhir zaman dengan kehendak dan aturan Allah kecepatan putaran bumi bertambah sehingga jumlah masa dalam satu hari berkurang.

4. Terdapat pandangan menyatakan umur manusia semakin pendek. Seseorang itu tidak mampu merasai umurnya, seolah-oleh dia tidak hidup melainkan hanya sementara pada waktu siang.3

Hassan Al-Basri berkata, “Apabila satu hari berlalu, maka sebahagian (usia) kamu juga pergi.”

5. Pandangan lain kerana banyaknya kejaharan, kerosakan dan kebodohan.

Berwaspada Dengan Kerugian Masa

Kesimpulan, setiap manusia diberikan peluang oleh Allah swt untuk melakukan kebaikan atau sebaliknya. Jika kita menyedari hakikat keberkatan masa telah hilang, maka sangat kerugian bagi umat jika masih mensia-siakan masa yang terbatas.

Kita bertanggungjawab sepenuhnya mengurus masa dengan sebaik mungkin bilakah waktu berehat, berjaga, beribadah, makan, minum dan sebagainya dengan penuh teliti.

Daripada Ibnu Abbas ra, Rasulullah saw bersabda:

“Dua nikmat yang kebanyakkan manusia terpedaya dengan keduanya iaitu; nikmat sihat dan nikmat masa lapang.”

Semoga Allah swt memberi kita hidayah agar tergolong dalam golongan manusia yang banyak memanfaatkan masa di dunia untuk memperbanyakkan bekalan di akhirat.

Wallahu A’lam

1. Syarah Al-Arba'in Ii Ibn Daqiq Al-Aid
2. Hadis Riwayat At-Tirmidzi, status hadis Hasan Gharib.
3. Rujuk: Zainuddin Al-Malibari, Fathul Mun'im, 10/208.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Langgan Siri Akhir Zaman

Dapatkan informasi islamik akhir zaman terus ke emel anda setiap minggu dengan mengisi emel di bawah.

You have been successfully Subscribed! Ops! Something went wrong, please try again.

Copyright 2024 © TandaKiamat.com