Uncategorized

Tiga Kepentingan Hadis Akhir Zaman

Kebanyakan umat Islam di Malaysia mula berinteraksi dengan hadis-hadis akhir zaman dan ada sebahagiannya yang memadankan hadis dengan realiti semasa yang kadangkala dipetik di luar konteksnya. Tidak kurang juga ada yang memandang sinis sehingga mengundang persepsi tidak baik kerana menganggap mereka ini membina teori-teori yang bercanggah dengan penafsiran sebenar hadis akhir zaman dan kedatangan hari kiamat.

Saya percaya yang golongan ini berkongsi pandangan dengan tujuan yang baik untuk memberi peringatan. Namun, perlulah untuk mereka memahami teks dan konteks hadis dengan betul bagi memahaminya. Saya juga ingin mengingatkan akan kepentingan hadis akhir zaman dalam kehidupan. Waima hidup kita mungkin tidak sampai kepada penghujung akhir zaman yang akan melihat tanda-tanda besar kiamat berlaku.

Tiga kepentingan hadis akhir zaman:

Pertama: Rukun Iman

Beriman kepada hari kiamat termasuk dalam rukun iman yang wajib diyakini akan berlaku. Maka, kita wajar mengambil tahu perihal akhir zaman iaitu hadis berkaitan tanda-tanda kiamat. Perkara pertama untuk beriman kepada hari kiamat adalah dengan mengetahui sebelum berlakunya kiamat, akan datang tanda-tanda telah1 dekatnya hari tersebut.

Allah berfirman dalam surah Muhammad, ayat 18:

“Maka tidak ada lagi yang mereka tunggu melainkan saat kiamat yang akan datang kepada mereka secara mengejut, kerana sesungguhnya telah lahirlah tanda-tanda kedatangannya.”

Hari kiamat tidak akan berlaku secara tiba-tiba. Allah swt dengan sifat rahmat-Nya membolehkan manusia mengetahui tanda-tanda yang bakal dihadapi sebelum kedatangan hari kiamat. Kemudian, perkara kedua adalah dengan melakukan kebaikan bagi membuktikan keimanan tersebut.

Kedua: Tanda Kenabian

Hadis akhir zaman menunjukkan bahawa Rasulullah saw mengetahu perkara-perkara ghaib melalui wahyu daripada Allah swt. Hadis-hadis ini juga merupakan tanda-tanda kenabian yang membuktikan kebenaran Nabi Muhammad saw kerana menceritakan kejadian-kejadian yang akan berlaku di luar daripada zaman Baginda.

Manusia akhir zaman hidup di zaman yang tidak dapat melihat mukjizat secara langsung sebagaimana para sahabat dapat melihat mukjizat. Percaya kepada mukjizat adalah bukti keyakinan kepada Allah dan kekuasaan-Nya. Yang tinggal kepada umatnya dalah mukjizat perkataan; Al-Quran dan hadis-hadis.

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:

“Setiap nabi diberikan mukjizat yang menyebabkan manusia beriman padanya. Mukjizat yang Allah berikan kepada aku adalah wahyu yang Allah turunkan kepada aku.”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Apabila Rasulullah saw memberitahu sesuatu kejadian yang tidak pernah berlaku tetapi akan berlaku, kejadian itu pasti berlaku seperti yang dikhabarkan. Contohnya orang yang dahulunya serba daif, berumah menjadi hebat, kuat dan kaya membina bangunan-bangunan tinggi.2 Sedarkah kita, dengan mengetahui dan memahami hadis kejadian ini dapat disaksikan pada masa kini.

Semoga ini dapat menambah dan mengukuhkan lagi keimanan kita kepada kerasulan dan kenabian Baginda.

Ketiga: Persediaan Menghadapai Fitnah Akhir Zaman

Para ulama hadis mengumpulkan hadis-hadis akhir zaman dalam kitab dengan memberikan nama kitab dan nama bab yang dikenali sebagai ‘Kitab Al-Fitan’ dan ada yang menambah dengan ‘Asyrat Al-Sa’ah’ dan ‘Al-Malahim’. Hadis-hadis ini termasuk dalam Al-Fitan atau fitnah yang membawa maksud perselisihan, peperangan, pembunuhan, kemungkaran, kerosakan, kemusnahan dan semua maksudnya menjurus kepada ujian atau cubaan.

Beruntunglah bagi orang-orang yang mengambil peringatan Rasulullah saw yang telah memperingatkan kejadian-kejadian yang akan berlaku. Di saat tanda-tanda kiamat semakin jelas berlaku, apakah yang wajar bagi kita lakukan? Jawapannya, melakukan persedian dengan banyak beramal menurul Al-Quran dan As-Sunnah bagi mendepani pelbagai fitnah akhir zaman sebelum dunia berakhir.

Wallahu A’lam

1. Pendapat yang paling sahih, tanda-tanda kiamat terbahagi kepada dua bahagian; tanda kecil dan besar.
2. "...dan kamu akan melihat pengembala yang dahulu hidupnya fakir, berjalan tidak beralas kaki, namun mereka berlumba-lumba meninggikan bangunan-bangunan." (Hadis Riwayat Muslim)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Langgan Siri Akhir Zaman

Dapatkan informasi islamik akhir zaman terus ke emel anda setiap minggu dengan mengisi emel di bawah.

You have been successfully Subscribed! Ops! Something went wrong, please try again.

Copyright 2024 © TandaKiamat.com