Israk Mikraj

Israk Mikraj: Satu Ujian Keimanan

Peristiwa Israk Mikraj adalah mukjizat Rasulullah saw yang tidak memerlukan pembuktian sains tetapi perlu keyakinan iman untuk menerimanya secara fitrah. Konsep mukjizat telah melemahkan akal manusia untuk memikirkannya. Perjalanan bermula terlebih dahulu Israk dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, kemudian Mikraj dari bumi ke Sidratul Muntaha mengatasi langit ke-7 menembusi langit dunia.

Kecanggihan alat-alat teknologi yang maju serba laju dan cepat tidak dapat menandingi kelajuan cahaya yang berlaku hanya satu malam. Rasulullah saw ditunjukkan gambaran seluruh alam ini bermula dari zaman Nabi Adam as di dunia hingga alam akhirat. Semua ini berlaku dalam satu malam sahaja sebagai bukti kekuasaan-Nya.

Perjalanan yang sepatutnya jauh jaraknya dan lama masanya mengikut perhitungan manusia. Kekuasaan Allah swt telah menjadikan masa yang lama dan jauh menjadi dekat dan sebentar. Peristiwa itu untuk menguji sejauh mana keimanan orang beriman kepada kekuasaan Allah swt dan benarnya Nabi Muhammad saw sebagi Rasul-Nya melalui Israk Mikraj.

Peristiwa Israk Mikraj telah menjadi ujian keimanan kerana kebarangkalian untuk didustakan oleh orang agak tinggi. Dia menguji manusia seluruhnya, apa lagi mereka yang tidak beriman. Namun, pengakuan cerita yang menakjubkan itu boleh diuji kebenarannya jika tidak benar. Orang kafir Quraisy yang pernah sampai ke sana bertanyakan kepada Rasulullah saw berkenaan ciri-ciri Masjidil Aqsa.

Rasulullah saw menjawab:

“Lalu dibukakan kepadaku jalan sehingga aku seolah-olah melihatnya dan tidak ada seorang pun yang bertanya kepadaku mengenainya melainkan aku boleh menceritakan kepada mereka.”

(Al-Bayhaqi, Al-Dala’il, no 2/356 – menurut Al-Bayhaqi hadis ini memiliki sanad yang sahih.)

Rasulullah saw membuktikan ia benar. Orang-orang yang mendustakan boleh menilai kebenaran peristiwa itu, kerana Baginda tidak pernah sampai ke sana. Masjidil Aqsa telah menjadi hujah dan bukti untuk menceritakan peristiwa-peristiwa ajaib yang berlaku itu merupakan kisah benar. Rasulullah saw telah melihat perkara ghaib itu dengan mata sendiri.

Sudah pasti semua peristiwa ini di luar kemampuan manusia. Seseorang yang menghadkan kepercayaan kepada apa yang kelihatan sahaja sehingga menafikan keyakinan (ragu-ragu) terhadap peristiwa ini mendedahkan kelemahan imannya dan dapat menggugurkan iman (kafir) sekiranya menolak kemungkinan peristiwa ini berlaku. Oleh itu, untuk mempercayai berlakunya memerlukan keimanan yang mendalam kepada kekuasaan Allah swt.

Abu Bakar As-Siddiq berkata, “Sesungguhnya aku benar-benar mempercayai dia (Rasulullah saw) setiap masa pada perkara yang lebih dahsyat daripada itu, iaitu khabar dari langit.”

Kesimpulan, sains tidak semestinya memberikan kebenaran yang pasti. Bukan semua perkara dalam nas itu mesti dibuktikan dengan neraca sains. Kerana itu kita tidak menilai peristiwa Israk Mikraj dari sudut sains.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Langgan Siri Akhir Zaman

Dapatkan informasi islamik akhir zaman terus ke emel anda setiap minggu dengan mengisi emel di bawah.

You have been successfully Subscribed! Ops! Something went wrong, please try again.

Copyright 2024 © TandaKiamat.com