Zaman Yang Akan Berlaku

Tanda Akhir Zaman

Zaman Yang Akan Berlaku

Zaman Yang Akan Berlaku

Dunia Islam pernah menjadi kuasa besar dan sejarah itu akan berulang. Zaman kebangkitan Islam kembali menguasai dunia akan berlaku. Kini, pada abad 21 zaman keempat akhir zaman yang disebutkan oleh Rasulullah SAW kemungkinan sudah di penghujung usia. Melihat keadaan huru hara sekarang, zaman ini akan berakhir.

Firman Allah dalam Surah Ali-Imran 3: ayat 26 yang bermaksud:

Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki.

Selepas zaman ini berakhir, akan berlangsung pula zaman ‘khilafah yang tertegak atas jalan kenabian’ sebagaimana zaman Khulafa ar-Rashidin. Seorang lelaki daripada keluarga Rasulullah SAW dibaiah menjadi khalifah di antara rukun Kaabah dan maqam Ibrahim. Allah SWT memberi petunjuk kebenaran kepadanya dalam satu malam.

Dari Abu Sa’id Al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Pada masa akhir umatku akan muncul Al-Mahdi. Pada waktu itu Allah menurunkan banyak hujan, bumi menumbuhkan tumbuh-tumbuhan, memberikan banyak harta (penghasilan), banyak ternak umat menjadi mulia dan dia hidup selama tujuh atau lapan tahun.”

(Hadis Riwayat Hakim)

Dalam keterangan hadis ini tempoh pemerintahan Imam Mahdi antara tujuh, lapan atau dalam hadis lain selama sembilan tahun. Kemunculan Imam Mahdi mendahului sebelum kedatangan Nabi Isa AS kembali turun ke dunia selama tujuh tahun menjadikan usianya 40 tahun dan wafat

Pemerintahan Khilafah Islamiyah Imam Mahdi bersama Nabi Isa AS mewujudkan era keemasan tanpa permusuhan sesama manusia. Ahli kitab menerima agama Islam kerana telah jelas kebenaran dan semua bangsa adalah saudara seagama. Kehidupan umat manusia berubah sepenuhnya menjadi baik.

Keamanan pada zaman itu akan berlaku keberkatan bumi secara luar biasa. Hasil tanaman sangat subur sehingga secupak benih ditanam dapat menghasilkan berlipat ganda tanaman. Buah-buahan menjadi besar sehingga sebiji delima dapat mengenyangkan sekumpulan orang.

Binatang ternakan menjadi gemuk sehingga perahan susunya dapat diminum sekumpulan orang dan mengenyangkan. Binatang pemangsa menjadi jinak seperti Serigala duduk dalam satu kawasan dengan kambing. Bisa serangga akan hilang dan kanak-kanak dapat bermain-main dengan ular.

Berkata Abu Hurairah RA, dari Rasulullah SAW telah bersabda:

“Nanti, bumi akan mengeluarkan kekayaannya yang terpendam seperti gulungan emas dan perak.”

Ketika itu rezeki melimpah ruah, harta terlalu banyak tetapi tiada seorang pun yang tamak berebutkan kemewahan dunia itu. Dan saya katakan zaman ini belum berlaku lagi walaupun terdapat perbezaan pandangan para ulama yang mengatakan zaman ini sudah berlaku.

Sa’id al-Jurairi meriwayatkan dari Abu Nadhrah berkata, bahawa dia sedang duduk bersama Jabir bin Abdullah RA, dan Jabir lalu berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Di akhir kehidupan umatku nanti akan muncul seorang khalifah yang membahagi harta tanpa menghitungnya.” Al-Jurairi pun bertanya, “Apakah khalifah itu Umar bin Abdul Aziz?” Keduanya menjawab, “Tidak.”

(Hadis Riwayat Muslim)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recommended
Fitnah yang disebutkan oleh Rasulullah SAW bahawa akan memasuki setiap…