Umat Muhammad Yang Dikasihi

Tanda Akhir Zaman

Umat Muhammad Yang Dikasihi

Dunia Islam sedang mengalami tempoh kelemahan yang dipenuhi dengan ideologi pemerintahan yang tidak memenuhi bentuk pemerintahan sebenar dalam Islam. Para pemimpin yang tidak mengikut syariat Islam sedang menguasai kebanyakan negara-negara Islam di Timur Tengah.

Hasil dari ideologi dan isme yang tidak berteraskan Islam memberi tekanan kepada rakyat dan berlaku demonstrasi untuk menjatuhkan rejim yang zalim. Seorang pemimpin lebih cenderung melampaui batas sehingga berlaku zalim kerana tidak berusaha melaksanakan sepenuhnya hukum al-Quran dan sunnah dalam memimpin rakyat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Akan turun kepada umatku di akhir zaman nanti cubaan yang dahsyat dari pemimpin mereka. Belum pernah terdengar cubaan yang lebih dahsyat darinya sehingga bumi yang luas itu terasa sempit bagi mereka kerana bumi dipenuhi dengan kejahatan dan kezaliman. Seorang mukmin tidak mendapatkan tempat berpindah dari kezaliman itu.”

(Hadis Riwayat Hakim)

Hari ini hampir setiap hari kedengaran berita pembunuhan terhadap umat Islam. Pertumpahan darah banyak berlaku di Timur Tengah yang menjadi mangsa melibatkan orang awam dan kanak-kanak yang tidak berdosa. Adakah mereka ini yang dimaksudkan hadis bahawa umat Islam akhir zaman adalah umat marhumah (dikasihi).

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya umatku ini adalah umat yang dikasihi. Mereka tidak ditimpa azab di akhirat, azabnya adalah di dunia yang berupa pembunuhan, kegelisahan, kegoncangan dan gempa bumi.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

Dalam riwayat yang lain disebut, “…azabnya berupa pembunuhan, gempa bumi dan berbagai fitnah (di dunia).” Fitnah menurut bahasa bermakna ujian, dugaan dan cabaran. Terdapat banyak hadis berkaitan fitnah akhir zaman yang akan berlaku antaranya al-Haraj (huru-hara) iaitu pembunuhan.

Dosa pertama yang dilakukan oleh manusia adalah pembunuhan. Pembunuhan menjadi fitnah pada zaman ini dan perkara biasa. Nyawa manusia terutama yang beragama Islam seperti begitu murah untuk dibunuh.

Namun fitnah dajjal adalah fitnah yang paling besar menimpa umat Islam akhir zaman menjelang hari kiamat. Kerana fitnah dajjal yang menguji keimanan seseorang. Nabi Muhammad SAW berpesan supaya tidak menangguh dalam melakukan perkara kebaikan sebelum keluarnya dajjal.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Bersegeralah melakukan amal-amal soleh sebelum datangnya enam perkara; (Baginda menyebutkan salah satu diantaranya) iaitu Dajjal.”

Fitnah dajjal menguasai lebih awal sebelum keberadaan dajjal yang diketahui umum iaitu ketika perubahan fizikal dajjal yang jelas tulisan ‘Kaf Fa Ra’ atau kafir antara kedua mata atau di tengah dahinya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recommended
Dunia Islam pernah menjadi kuasa besar dan sejarah itu akan…