Ulama Penyelamat Manusia Daripada Kesesatan

“…Allah akan mencabutnya dengan mewafatkan para ulama.”

Oleh Penulis Akhir Zaman

Antara peranan ulama dalam ummah adalah sebagai pemberi petunjuk kebenaran daripada kesesatan dan penyelewengan. Para ulama memiliki kedudukan yang tersendiri dalam kalangan manusia.

Daripada Abdullah bin Amr ra berkata, Rasulullah SAW bersabda:

“Sesunggunya Allah tidak akan mencabut ilmu dengan sekali cabutan daripada manusia. Namun, Allah akan mencabutnya dengan mewafatkan para ulama. Sehingga ketika tidak tersisa lagi seorang yang berilmu (di tengah mereka), manusia mengangkat para pemimpin yang jahil. Mereka ditanya dan mereka pun berfatwa tanpa ilmu. Hingga akhirnya mereka sesat dan menyesatkan (orang lain).”
Kewujudan para ulama menjadi nadi keselamatan yang membawa keluasan ilmu dan menambah kebaikan dalam amalan ummah. Mereka melakukan dakwah dan menyebarkan ilmu kepada ummah dalam semua aspek agama dan kehidupan.

Ulama Rabbani
Ummah ini akan kekal dalam kebaikan selagi mana ia berada dalam kalangan ulama yang rabbani. Sifat ulama rabbani adalah dirinya beramal soleh, benar dalam berkata-kata dan menjadi contoh kepada manusia supaya diikuti.

Namun tidak boleh dinafikan mereka juga adalah manusia, yang tidak terlepas daripada kesilapan dalam pendapatnya kerana telah berkata Imam Malik bin Anas, “Setiap orang boleh diambil dan ditolak kata-katanya kecuali rasul.” Maka pasti ada keuzuran baginya di atas ijtihad sekalipun terdapat kesilapan.

Rasulullah SAW menjelaskan, kesilapan bagi sesiapa yang layak berijtihad itu dimaafkan dan baginya pula satu pahala. Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seseorang berijtihad dan betul ijtihadnya maka baginya dua pahala dan apabila seseorang berijtihad dan tersalah maka baginya satu pahala.”

Kewafatan Ulama
Dalam hadis dinyatakan tentang gambaran bagaimana ilmu dicabut dengan cara Allah SWT mewafatkan para ulama ini telah berlaku sepanjang zaman.

Sekadar menyebutkan beberapa nama yang telah pergi meninggalkan dunia pada awal tahun 2021, di Jordan al-Sheikh Dr Masyhur al-Qutaisyat, dalam negara mantan Mufti Sabah, Tuan Guru Datuk Haji Ismail Abbas dan pendakwah terkenal Indonesia, Syaikh Ali Saleh Mohammed Ali Jaber.

Semoga Allah SWT mengampuni dan merahmati para ulama yang benar.

Recommended
Apabila Amanah Dipegang Oleh Bukan Ahlinya Setiap urusan itu adalah…
Open chat