Tanda Kemunculan Imam Mahdi

Tanda Akhir Zaman

Tanda Kemunculan Imam Mahdi

Keadaan zaman sebelum kemunculan Imam Mahdi digambarkan Rasulullah SAW dipenuhi kezaliman akibat perselisihan dan peperangan merebut kekuasaan. Kezaliman yang memuncak antara tanda zaman fitnah ini akan segera berakhir. Imam Mahdi akan mengembalikan keadilan dan melenyapkan kezaliman.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Bumi benar-benar akan dipenuhi dengan kezaliman. Apabila bumi telah dipenuhi dengan kezaliman, maka Allah akan mengirim seorang lelaki yang berasal dari keturunanku, yang namanya sama denganku. Lantas dia memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana bumi dipenuhi dengan kezaliman.”

Tanda-tanda kemunculan Imam Mahdi disebutkan oleh para ulama adalah seperti berikut; sebelum kemunculan Imam Mahdi akan berlaku:

  • Gerhana secara berturut-turut pada bulan Ramadhan.1
  • Dua gerhana matahari pada bulan Ramadhan.2
  • Gerhana matahari di pertengahan dan gerhana bulan di akhir Ramadhan.3

Syeikh Al-Barzanji berkata, “Dan adapun alamat yang mengisyaratkan akan hampirnya masa kemunculannya (Al-Mahdi) di antaranya adalah munculnya gunung emas dari keringnya sungai Furat.”

Sungai Furat yang disebutkan dalam hadis tersebut merupakan sungai yang bermula dari Turki dan melalui negara Syria, Jordan, Arab Saudi, Kuwait dan Iraq. Dan apabila tiba masanya nanti, gunung emas sungai Furat dapat dilihat oleh manusia dan akan berperang antara mereka merebutkan emas yang disebutkan.

Menurut penulis urutan peristiwa yang berlaku, kemunculan Imam Mahdi adalah dalam masa pengkhianatan Rom selama sembilan bulan selepas tercetusnya perang Armagedon. Kemudian, akan berlaku pula kematian seorang khalifah dan berlakulah perselisihan merebut kekuasaan. Tidak seorang pun yang dapat menguasainya.

Perebutan kuasa yang berlaku di Arab Saudi akan ditangani oleh kedatangan pemuda Bani Tamim dan pasukan panji hitam dari arah Khurasan. Ketua pasukan panji hitam itu ialah pemuda Bani Tamim yang bernama Syuaib bin Soleh. Berkibarlah panji-panji berwarna hitam yang menguasai negara mereka.

Dan seandainya terjadi, tunggulah kemunculan Al-Mahdi yang akan dibaiah sebelum diserahkan kuasa pemerintahan. Menurut hadis di akhir zaman nanti, keturunan Bani Tamim adalah yang paling kuat melawan Dajjal.

Diwayatkan daripada Tsauban, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Akan berperang di sisi ‘perbendaharaan’ ini tiga orang semuanya putera khalifah, namun tiada seorang pun daripada mereka yang berjaya menguasainya. Kemudian berkibarlah panji-panji hitam dari timur memerangi kamu dengan peperangan yang hebat yang tidak pernah berlaku sebelumnya.”

Kemudian Rasulullah SAW menyebut sesuatu yang tidak saya hafal. Lalu bersabda yang bermaksud,

“Jika kamu melihatnya, maka berbaiahlah kepadanya walaupun dengan merangkak di atas salji. Kerana di sisinya adalah khalifah Allah yang mendapat petunjuk (Al-Mahdi).”

Antara tanda besar lelaki yang mereka baiah itu Imam Mahdi yang dijanjikan adalah terbenamnya pasukan musuh di Baida’. Maka, benarlah lelaki itu adalah Khalifatullah Al-Mahdi yang Allah melindunginya dari ancaman musuh.

Berita tertegak kembali Khilafah Islamiyah Al-Mahdi akan sampai ke pengetahuan seorang penguasa Islam yang dikenali dengan nama As-Sufyani. Lalu, sebuah bala tentera dihantar untuk menghapuskan kemunculan kuasa baru itu tetapi sebaliknya pasukan itu yang dibinasakan.

Pasukan yang terdiri dari bala tentera dengan berjalan kaki (infantri). Mereka terdiri dari tentera yang telah bersedia untuk berperang dan tentera yang dipaksa untuk berperang. Apabila mereka merentasi padang pasir itu dan berlaku secara tiba-tiba mereka terbenam ke dalam bumi.

Bahagian tengah pasukan tentera itu akan tenggelam, maka pasukan belakang yang melihatnya berada dalam ketakutan dan sebelum sempat mereka meminta pertolongan, seluruh pasukan ditelan bumi. Hanya seorang yang terselamat antara mereka dan memberitahu kepada umum peristiwa tenggelamnya pasukan itu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Seorang lelaki akan datang ke Baitullah (Kaabah), maka diutuslah suatu utusan (oleh pemerintah) supaya mengerjarnya. Dan ketika mereka telah sampai di suatu padang pasir, maka mereka terbenam ditelan bumi.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Dalam riwayat yang lain disebutkan, “Suatu pasukan dari umatku akan datang dari arah Negara Syam menuju ke Baitullah (Kaabah) untuk mengejar seorang lelaki yang akan dijaga Allah dari mereka.”

Nota Hujung   [ + ]

1. Imam Ibn Hajar al-Haithami dalam kitab al-Qawl al-Mukhtasar fi ‘Alamat al-Mahdi al-Muntazar.
2. Imam al-Qurtubi dalam kitab al-Tazkirah.
3. Imam al-Muttaqi al-Hindi dalam kitab al-Burhan fi ‘Alaamat al-Mahdi Akhir al-Zaman.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recommended
Kebangkitan rakyat melalui demonstrasi seakan menjadi pilihan rakyat dalam menyatakan…