Soal Jawab Akhir Zaman 1

Tanda Akhir Zaman

Soal Jawab Akhir Zaman 1

Soalan: Agama Islam diturunkan untuk membawa Rahmat. Persoalannya kenapa negara kafir lebih dirahmati oleh Allah?

Lebih menghairankan negara kafir lebih aman, maju & makmur berbanding dengan negara-negara Islam. Amat melucukan apabila negara Ireland muncul tempat pertama sebagai negara paling Islamik di dunia. Kenapa?

Jawapan: Persoalan ini perlu dijawab secara ilmiah dan merujuk pada ilmu eskatologi dari sudut pandangan Islam. Yang pertama ia termasuk dalam persoalan Islam dan akhir zaman. Hadis berkaitan zaman-zaman pemerintahan diriwayatkan oleh Imam Ahmad.1

Pertama: Zaman yang telah berlaku.

Zaman an-Nubuwwah (Kenabian) telah berakhir dengan kewafatan penutup para nabi dan rasul iaitu Nabi Muhammad SAW. Berlaku pula zaman Khulafa ar-Rasyidin di bawah empat orang sahabat yang mendapat petunjuk. iaitu bermula dengan;

  • Abu Bakar as-Siddiq (632-634 M)
  • Umar al-Khattab (634-644 M)
  • Uthman bin Affan (644-656 M)
  • Ali bin Abi Talib (656-661 M)

Seterusnya zaman Mulkan Adhan iaitu masa pemerintahan beraja (Monarki). Antara kerajaan Islam yang terbesar ialah;

  • Bani Umaiyah (661-750 M)
  • Bani Abbasiyah (750-1258 M)
  • Turki Uthmaniyah (1289-1924 M)

Kedua: Zaman yang sedang berlaku.

Hari ini sedang berlangsung pemerintahan kuku besi (Diktator) iaitu zaman Mulkan Jabariyan. Para penguasa dikenali sebagai Presiden atau Perdana Menteri melalui sistem demokrasi sekular.

Ketiga: Zaman yang akan berlaku.

Menurut dalil al-Quran dan hadis-hadis akan berlaku pemerintahan khalifah al-Mahdi sebelum berlakunya kiamat. Kemunculan khalifah Al-Mahdi yang namanya dan nama bapanya sama dengan Rasullah SAW adalah tanda awal sebelum berlaku 10 tanda besar kiamat.

Hudzaifah bertanya, “Wahai Rasulullah! Kita pernah merasakan hidup di zaman jahiliyah yang penuh keburukan, kemudian Allah mengganti masa ini dengan kebaikan datangnya Islam. Apakah setelah ini akan datang kembali keburukan-keburukan itu?” Rasulullah SAW menjawab,

“Ya, masa itu akan datang kembali lagi.”

Menurut sumber hadis, umat Islam pada hari ini berada pada zaman keempat akhir zaman dimana terbentuk sistem pemerintahan sekular yang berpegang pada fahaman pengasingan agama dari semua urusan kehidupan manusia. Berlaku gerakan konspirasi politik dunia merebut kekuasaan pemerintahan khilafah melalui peperangan dan penjajahan.

Sebahagian besar wilayah Islam diperintah oleh barat selepas perang dunia pertama. Penjajahan menimbulkan kesedaran menuntut hak kemerdekaan. Penjajah barat meninggalkan tanah jajahan mereka dengan mengikat perjanjian-perjanjian sebelum memberi kemerdekaan sesebuah negara.

Kesempatan menjajah diambil untuk menyebar fahaman dan ideologi yang menjauhkan masyarakat dengan dua sumber dalam Islam iaitu al-Quran dan sunnah. Apabila penjajah membebaskan tanah jajahannya, dunia Islam menjadi negara-negara kecil yang mewarisi sistem pemerintahan sekularisme dalam menguruskan negara.

Signifikannya falsafah sekular telah melahirkan ideologi-ideologi seperti Pluralisme, Liberalisme, Humanisme, Modenisme dan seumpamanya yang merubah nilai Islam sebagai agama Ad-Din. Dr. Yusuf al-Qaradawi, ulama yang terlibat secara langsung dalam gerakan Islam dan politik berpendapat para pemerintah umat Islam yang munafik menjadi punca halangan kepada usaha mengembalikan cara hidup Islam sebenar.

Dunia Islam sedang mengalami tempoh kelemahan yang dipenuhi dengan ideologi pemerintahan yang tidak memenuhi bentuk pemerintahan sebenar dalam Islam. Hasil dari ideologi yang tidak berteraskan Islam memberi tekanan kepada rakyat. Seorang pemimpin lebih cenderung melampaui batas apabila tidak berusaha melaksanakan syariat Islam sepenuhnya dalam memimpin rakyat.

Umat manusia di mana-mana negara sedang berhadapan dengan krisis kehidupan dalam persoalan politik, ekonomi, sosial, moral dan lain-lain. Realitinya krisis yang melanda di negara-negara Timur Tengah lebih dahsyat, umat Islam akhir zaman saling berbunuhan disebabkan konflik perbezaan mazhab mahupun politik.

Firman Allah dalam Surah Ali-Imran 3: ayat 26 yang bermaksud:

[otw_shortcode_quote border_style”bordered”]Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki.[/otw_shortcode_quote]

Kini, pada abad 21 zaman keempat akhir zaman kemungkinan sudah di kemuncak huru hara. Melihat keadaan sekarang, zaman ini sudah penghujung usia dan akan berakhir. Selepas zaman ini berakhir, akan berlangsung pula zaman ‘khilafah yang tertegak atas jalan kenabian’ sebagaimana zaman Khulafa ar-Rashidin.

Kembalinya Khilafah Islamiyah bermakna kejatuhan dan kehancuran pemerintahan sekular. Islam akan kembali menguasai dunia dan menjadi kuasa besar. Kebangkitan Islam akhir zaman terdapat dalam banyak hadis berkaitan persoalan kemunculan seorang khalifah al-Mahdi.

Keyakinan yang wajib diyakini umat Islam akhir zaman tentang kemunculan Imam Mahdi dan kebangkitan Islam. Pada akhir zaman, akan muncul seorang lelaki Quraisy daripada keturunan ahli bait dikenali dengan Imam Mahdi yang dibaiah menjadi khalifah. Imam Mahdi akan memerintah seluruh dunia kepada satu fasa yang baru.

Baca: Zaman Yang Akan Berlaku

Sejarah akan berulang sebagaimana kebangkitan Islam pada tahun 1260 M. Dunia Islam pernah berada dalam penguasaan Mongol dan Tatar selama 43 tahun. Terhapuslah seketika pemerintahan khilafah Islam yang bertahan sejak enam kurun dan bermulalah zaman kemunduran umat Islam.

Sultan Saifuddin Qutuz daripada kerajaan Bani Mamluk di Mesir menewaskan tentera Tartar pada tahun 658 H / 1260 M di tempat yang bernama ‘Ain Jalut’. Keruntuhan kerajaan Islam Bani Abbasiyah dikatakan tidak ada sebuah kerajaan yang besar dalam dunia Islam sehingga kemegahan Islam beralih kepada sebuah kerajaan Turki Uthmaniyah.

Firman Allah dalam Surah at-Taubah 9: ayat 33 yang bermaksud:

[otw_shortcode_quote border_style”bordered”]Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk (al-Quran) dan agama yang benar (Islam) untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain…[/otw_shortcode_quote]

Islam adalah agama yang dijanjikan kemenangan di dunia dan akhirat. Kemenangan itu seandainya umat Islam mengambil agama Islam sebagai sistem kehidupan secara menyeluruh dan kembali menjadi umat terbaik. Umat Islam di seluruh dunia bersama dalam ‘mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran’.2 Hubungan persaudaraan sesama Islam akan terjalin apabila memiliki tujuan yang sama mendapatkan keredhaan Allah SWT.

Wallahu A’lam

Nota Hujung   [ + ]

1. Hadis hasan oleh Al-Albani dalam Silsilah Al-Ahadits Ash-Shahihah
2. Surah Ali-Imran 3: ayat 110, “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia, (kerana) kamu ‘mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran’, serta kamu pula beriman kepada Allah.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recommended
Imam Mahdi atau Al-Mahdi adalah satu gelaran yang bermaksud 'orang…