Siapakah 12 Khalifah Quraisy?

Tanda Akhir Zaman

Siapakah 12 Khalifah Quraisy?

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Agama ini akan terus berkuasa sehingga naik pemerintahan sebanyak 12 orang Khalifah dan setiap manusia amat mencintai setiap mereka itu… Mereka semua adalah daripada kaum Quraisy.”

Para ulama tidak sepakat dalam menentukan peribadi 12 orang Khalifah tersebut. Ibnu Hajar mengatakan, “Aku tidak menemukan seorang pun yang mengetahui secara pasti erti dari hadis ini.”1

Sebahagian ulama telah mencatatkan bahawa 12 khalifah yang dimaksudkan itu:

  • Abu Bakar

  • Umar bin al-Khattab

  • Uthman bin Affan

  • Ali bin Abi Talib

  • Hassan bin Ali

  • Muawiyah bin Abu Sufyan

  • Abdullah bin Zubair

  • Umar bin Abdul Aziz

  • Muhammad bin Murad al-Fateh

  • Syuaib bin Soleh at-Tamimi

  • Muhammad bin Abdullah al-Mahdi al-Muntazar

  • al-Qahtani

Khulafa ar-Rasyidin

Zaman pemerintahan Khulafa ar-Rasyidin di bawah empat orang sahabat iaitu bermula dengan; Abu Bakar as-Siddiq (632–634 M), Umar al-Khattab (634–644 M), Uthman bin Affan (644–656 M), dan Ali bin Abi Talib (656–661 M). Hassan bin Ali melengkapkan tempoh masa 30 tahun pemerintahan Khulafa ar-Rasyidin yang berlangsung selama 6 bulan.

Diriwayatkan daripada Safinah RA katanya, aku mendengar Nabi SAW bersabda yang bermaskud:

“Khilafah (selepasku) adalah selama 30 tahun kemudian akan bertukar kepada (sistem) beraja.”

(Hadith Riwayat Abu Daud)

Zaman Mulkan Adhan

Muawiyah bin Abu Sufyan merupakan raja pertama dalam kerajaan Islam Bani Umaiyah. Beliau juga sebagai wakil khalifah di Syam selama 20 tahun yang dilantik oleh Khalifah Umar al-Khattab sehingga akhir pemerintahannya sehingga pemerintahan khalifah seterusnya dan 20 tahun mengabdikan diri sebagai khalifah pada tahun 661 M.

Imam al-Qadi Abu Bakar bin al-Arabi mengatakan, “Muawiyah telah dilantik oleh Umar untuk mentadbir seluruh wilayah Syam. Jawatan ini terus diakui oleh Uthman pada zamannya. Sebelum itu, Abu Bakar as-Siddiq telah melantiknya menjadi gabenor sebagai menggantikan adiknya Yazid bin Abu Sufyan yang menjadi gabenor dan meninggal di sana. Perlantikan Abu Bakar itu telah diiktiraf oleh Umar, kerana Muawiyah mempunyai hubungan yang erat dengan pentadbiran wilayah di zaman Abu Bakar. Tindakan Umar tersebut juga diakui oleh Uthman. Cubalah anda semua lihat kepada rangkaian ini, alangkah kuatnya ikatan mereka dan tidak ada seorang pun yang dikurniakan dengan anugerah seperti ini selepas mereka.”

Abdullah bin Zubair antara sahabat Baginda SAW yang tidak bersetuju pelantikan Yazid bin Muawiyah sebagai khalifah menggantikan Muawiyah. Namun, seramai 60 orang para sahabat yang masih hidup telah membaiah Yazid kerana menjaga kesatuan umat dan mengelak fitnah. Muawiyah menyerahkan urusan khalifah kepada Yazid setelah mendapat persetujuan oleh rakyat dan umat Islam.

Abdullah bin Zubair dilantik sebagai khalifah di atas kerajaan yang dibinanya sendiri di Hijaz. Beliau terbunuh dalam peperangan menentang tentera kerajaan Bani Umaiyah.

Susunan kedudukan Abdullah bin Zubair boleh sahaja digantikan dengan Umar bin Abdul Aziz (717-720) kerana lebih layak. Khalifah ke-8 kerajaan Islam Bani Umaiyah itu merupakan mujaddid pada kurun pertama.

Berikut dinamakan seorang khalifah dari kerajaan Islam Bani Abbasiyah iaitu Harun Ar-Rasyid. Menjadi khalifah selama 23 tahun 6 bulan. Dan Muhammad al-Fateh yang telah membuka kota Konstantinopel pada 29 Mei 1453 ketika berusia 21 tahun.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, manakala tenteranya adalah sebaik-baik tentera.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

12 Imam Syiah

12 Imam Syiah Imamiah

  • Ali bin Abu Talib

  • Hassan bin Ali

  • Hussain bin Ali

  • Ali bin Hussain

  • Muhammad Al-Baqir bin Ali bin Hussain

  • Jaafar As-Sadiq bin Muhammad Al-Baqir

  • Musa Al-Kazim bin Jaafar As-Sadiq

  • Ali Ar-Ridha bin Musa Al-Kazim

  • Muhammad Al-Jawad bin Ali Ar-Ridha

  • Ali Al-Hadi bin Muhammad Al-Jawad

  • Hassan Al-Askari bin Ali Al-Hadi

  • Muhammad bin Hassan Al-Askari

Nota Hujung   [ + ]

1. Kitab Fathul-Bari fi Syarh Sahih al-Bukhari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recommended
Pasukan panji hitam menjadi perintis dalam usaha perjuangan Imam Mahdi…