Revolusi Rakyat Bukan Kebangkitan Islam

Tanda Akhir Zaman

Revolusi Rakyat Bukan Kebangkitan Islam

Kebangkitan rakyat melalui demonstrasi seakan menjadi pilihan rakyat dalam menyatakan hak mereka untuk menjatuhkan rejim diktator dari terus berkuasa. Revolusi rakyat atau dalam media disebut sebagai ‘Arab Spring’ asalnya bermula pada akhir 2010 di Tunisia. Sebelum itu gerakan revolusi menjatuhkan diktator pernah berlaku pada abad ke-20.

Revolusi Iran 1979 menjadi perintis membebaskan Iran dari kekuasaan diktator Shah Muhammad Reza Pahlavi dan bermula pembentukan Republik Islam pertama dalam sebuah negara bangsa. Islamic Republic of Iran sebuah negara di Timur Tengah yang dikenali sebagai Persia. Iran adalah negara utama Syiah di dunia ketika ini dan sebahagian besar rakyat Iran menganut fahaman Syiah.

Revolusi Iran bukanlah revolusi Islam sebaliknya mencetuskan perkembangan Syiah. Iran selepas revolusi menjadi sebuah negara yang diperintah oleh kepimpinan ulama yang diilhamkan oleh Imam Khomeini iaitu Wilayah al-Faqih. Identiti Syiah di Iran merupakan usul fiqah pegangan Khomeini supaya berbeza dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Revolusi rakyat di Tunisia terus berjangkit ke beberapa negara jiran sekitarnya seperti Mesir, Libya, Yaman, Syria dan Bahrain. Seorang demi seorang pemimpin kuku besi digulingkan melalui protes meluahkan rasa marah yang dicetuskan rakyat mereka. Zainal Abidin Ali, bekas Presiden Tunisia yang telah memerintah selama lebih dua dekad digulingkan pada awal tahun 2011.

Seorang rakyat Tunisia bernama Muhammad al-Buazizi telah membakar dirinya selepas sangat tidak berpuas hati terhadap tindakan pihak berkuasa yang bertindak merampas barangan jualannya dengan penghinaan. Inspirasi yang sama turut dilakukan rakyat di negara-negara Timur Tengah lain menggulingkan pemimpin mereka seperti Hosni Mubarak di Mesir, Muammar Muhammad Gaddafi di Libya dan Ali Abdullah Saleh di Yaman.

Di Mesir pada 11 Februari 2011 berhasil menumbangkan pemerintahan autokratik rejim Hosni Mubarak selepas 30 tahun pemerintahan. Dr. Muhammad Morsi menjadi Presiden pertama Mesir melalui pilihanraya secara demokratik membentuk kerajaan sah Ikhwanul Muslimin. Parti politik berhaluan Islam ini diasaskan oleh Imam Hassan al-Banna pada tahun 1928 di Mesir merupakan pertubuhan Islam antarabangsa yang paling berpengaruh di dunia.

Kebangkitan ini menimbulkan persoalan dan tanda tanya, adakah kebangkitan Islam akan kembali melalui revolusi rakyat? Sheikh Abdullah Bin Bayyah berkata, “Sekiranya revolusi hanya sekadar diktator lama dan melantik diktator baru atau menjatuhkan parti lama dan menaikkan parti yang baru, maka ia sebenarnya bukanlah satu revolusi.

Hanya setahun berkuasa, tindakan kudeta terhadap Dr. Muhammad Morsi dengan campur tangan Menteri Pertahanan, Jeneral Abdul Fatah as-Sisi telah menyingkirkan Morsi daripada jawatan Presiden Mesir. Tindakan rampasan kuasa pada Julai 2013 adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi dan menafikan pilihan majoriti rakyat Mesir. Apakah makna demokrasi jika sebuah kerajaan digulingkan dengan cara tidak demokratik dalam meraih kuasa?

Demokrasi adalah ideologi manusia yang berasal dari dua perkataan Yunani iaitu Demos dan Kratos atau kuasa rakyat. Sistem demokrasi memberi keutamaan kepada rakyat sesebuah negara dalam memilih pemimpin dan membentuk kerajaan. Persoalan dalam aspek pemerintahan, terdapat tiga pandangan iaitu antara penerimaan dan penolakan sistem demokrasi dalam pemerintahan iaitu;

  • Menolak demokrasi secara mutlak iaitu menganggapnya sebagai satu peraturan yang bertentangan dengan ajaran Islam.
  • Menerima demokrasi secara mutlak dan berpegang kepada demokrasi sebagai satu wasilah untuk menumbangkan diktator.
  • Tidak menerima atau menolak secara mutlak dan membezakan demokrasi sebagai alat dengan demokrasi sebagai satu bentuk pegangan.

Syria turut terlibat dalam masalah pemerintahan yang bercorak diktator pada zaman Hafez al-Assad yang telah memerintah selama 32 tahun. Anaknya Bashar al-Assad kini memerintah Syria selama lebih 13 tahun. Pergolakan yang berlaku kira-kira tiga tahun lepas masih berterusan sehingga hari ini, tanpa sebarang penyelesaian. Kerajaan Bashar masih bergelut dengan pemberontakan dan terus mempertahankan pemerintahannya.

Keadaan berbeza di Iraq, negara itu menerima serangan oleh Amerika Syarikat pada 20 Mac 2003. Serangan ke atas negara itu atas nama keselamatan dunia dengan dakwaan Iraq membangunkan senjata pemusnah yang tidak dapat dibuktikan. Kekuasaan pemerintahan diktator Presiden Saddam Hussein berakhir apabila ditangkap pada akhir tahun 2003 dan menerima hukuman mati dengan cara digantung. Hukuman itu berjalan pada 30 December 2006.

Rampasan kuasa di Mesir juga dibantu oleh campur tangan Amerika Syarikat yang mempunyai kepentingan terutama untuk menghapuskan gerakan kebangkitan Islam. Agenda Islam yang dibawa Ikhwanul Muslimin dalam pentadbiran menjadi ancaman kepada keselamatan Israel. Dr. Muhammad Morsi dilihat sangat anti-Israel berkata, “Tiada tempat untuk mereka (Yahudi-Zionis) di tanah Palestin.”

Kembalinya Khilafah Islamiyah

Ternyata revolusi rakyat bukanlah sepenuhnya kebangkitan Islam tetapi hanya kebangkitan rakyat menggulingkan pemimpin mereka yang zalim. Namun, kebangkitan khilafah Islam tetap akan berlaku. Sebuah negara baru yang dinamakan sebagai ‘Daulah Islamiyyah’ atau dikenali sebagai IS (Islamic State) ditubuhkan oleh kumpulan militan yang menguasai sebahagian kawasan antara Iraq dan Syria.

Ahli majlis syura kumpulan militan IS mengangkat seorang khalifah bernama Ibrahim Awwad Ibrahim Ali al-Badri atau panggilannya Abu Bakr al-Baghdadi. Dr. Yusuf al-Qaradawi menolak pembentukan khilafah kerana pelantikan tersebut dilakukan oleh kumpulan mereka secara bersendirian dan tidak mendapat sokongan majoriti umat Islam. Khilafah Islamiyah tidak dibentuk melalui kekerasan senjata.

Kembalinya Khilafah Islamiyah bermakna kejatuhan dan kehancuran pemerintahan sekular. Kebangkitan Islam akhir zaman terdapat dalam banyak hadis dalam persoalan kemunculan seorang khalifah al-Mahdi.

Diriwayatkan dari Jabir bin Samurah dari Nafi’ bin Utbah, berkata kami pernah bersama-sama Rasulullah SAW, lalu saya hafal empat kalimat daripada Baginda yang saya hitung dengan jari saya. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud,

“Kamu akan memerangi Jazirah Arab, lalu Allah membukakannya untuk kamu, kemudian bangsa Parsi dan Allah pun membukakannya untuk kamu, lalu bangsa Rom dan Allah juga membukakannya untuk kamu, kemudian kamu akan memerangi Dajjal, lalu Allah membukakan (memberi kemenangan) untuk kamu.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Dunia Arab

Imam Muhammad bin Abdullah al-Alawi al-Fathuni al-Hasani akan mengembalikan kekuatan umat Islam melalui jalan Al-Jihad Fisabilillah. Imam Mahdi dan pasukan panji hitam akan memerangi pemerintah Islam (munafik) yang masih memusuhi mereka di semenanjung Arab. Allah SWT memberi kemenangan ke atas mereka.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Tidaklah dunia akan lenyap sehingga negeri Arab dikuasai oleh seorang lelaki dari ahli baitku (keluarga rumahku) yang namanya sama dengan namaku.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recommended
Allah SWT memberikan kepada setiap nabi doa yang mustajab (diterima)…