Pintu Fitnah Tidak Tertutup

Tanda Akhir Zaman

Pintu Fitnah Tidak Tertutup

Khalifah Umar al-Khattab menurut Rasulullah SAW merupakan orang yang paling tegas melaksanakan urusan Allah SWT. Kerana itu juga Umar mendapat gelaran ‘al-Faruq’ iaitu pembatas yang bermaksud berani menyatakan kebenaran.

Pintu fitnah telah dibuka secara paksa dan tidak akan tertutup selama-lamanya sehingga yang terakhir keluarnya Dajjal. Umar yang terkenal dengan sifat berani pernah ingin membunuh ‘Dajjal’ tetapi dilarang oleh Nabi Muhammad SAW. Baginda berkata, “Jika ia Dajjal bukan kamu yang membunuhnya dan jika ia bukan tiada guna membunuhnya.”

Pada penghujung tahun 23 H, Khalifah Umar ketika itu sedang menjadi imam solat subuh telah ditikam oleh Abu Lu’lu’ah al-Majusi al-Farisi. Umar menghembuskan nafas terakhir pada waktu subuh hari pertama bulan Muharram tahun 24 H ketika berusia 63 tahun.

Terbukanya pintu fitnah adalah dengan kematian Umar. Perubahan zaman penuh fitnah telah dihalangi oleh Umar. Maka zaman selepasnya akan bertambah buruk dengan tersebar fitnah-fitnah. Yang pertama berlaku selepas terbunuhnya Umar ialah fitnah pembunuhan Khalifah Uthman secara zalim.

Berkata Hudzaifah tentang pembunuhan Uthman bin Affan, “Awal munculnya fitnah adalah terbunuhnya Uthman dan akhir dari fitnah adalah keluarnya Dajjal.” Uthman mati syahid ketika berusia 82 tahun apabila dibunuh oleh pemberontak yang mengepung rumahnya selama 40 hari.

Seorang sahabat bernama Saad bin Abu Waqqas melafazkan sebuah hadis Rasulullah SAW semasa berlakunya fitnah terhadap Uthman, Baginda bersabda:

“Sesungguhnya akan berlaku suatu fitnah iaitu orang yang duduk di dalamnya lebih baik daripada orang orang yang berdiri. Dan orang yang berdiri lebih baik daripada orang yang berjalan. Dan orang yang berjalan lebih baik daripada orang yang berlari.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Khalifah Ali bin Abi Talib meneruskan pemerintahan Khulafa ar-Rasyidin di Iraq yang berdepan huru hara ketika umat Islam sudah berpecah menjadi dua kelompok sehingga terjadi perang saudara antara para sahabat. Tercetusnya perang Jamal dan Siffin yang kedua-dua pihak berkeyakinan kebenaran ada bersama mereka.

Dari Abu Hurairah RA, ia berkata Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak akan datang Hari Kiamat sehingga dua kumpulan yang besar saling berperang. Berlaku antara kedua-duanya pembunuhan yang besar padahal seruan mereka adalah satu (yakni kebaikan Islam dan umatnya).”

(Hadis Riwayat Muslim)

Fitnah Dari Timur

Fitnah yang berasal dari timur Madinah bermaksud wilayah Iraq di mana tempat kemunculan golongan Khawarij dan Syiah serta pelbagai fahaman-fahaman lain. Di sana tersebarnya fitnah yang membawa fahaman yang bercanggah dengan Islam sehingga menyeret kepada pertumpahan darah.

Daripada Ibnu Abbas RA berkata, Rasulullah SAW pernah berdoa:

“Ya Allah, berilah berkat kepada kami di dalam sha’ dan mud kami. Dan berilah berkat kepada kami pada negeri Syam dan Yaman. Lalu ada seseorang berkata, “Wahai Nabi Allah dan di negeri Iraq.” Baginda menjawab, “Sesungguhnya di sana terdapat tanduk syaitan dan berkobarnya fitnah, dan sesungguhnya penyelewengan itu bersumber dari kawasan timur.”

Rasulullah SAW mendoakan Yaman dan Syam secara jelas tetapi tidak pada wilayah tanah yang tinggi (Najd). Kawasan timur tidak merujuk kepada wilayah Iraq sahaja tetapi merangkumi kawasan-kawasan lain bahagian timur. Pemberontak yang membunuh Uthman datang dari sebelah timur iaitu Iraq dan Mesir.

Iraq adalah kawasan timur pertama tercetusnya perpecahan umat Islam. Lalu muncul lagi pasukan Tartar pada abad ketujuh adalah dari arah timur. Fahaman komunis yang anti Tuhan juga berada di kawasan timur. Dajjal dan Yakjuj dan Makjuj akan muncul dari kawasan timur.

Diriwayatkan dari Abu Bakar As-Siddiq RA, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda:

“Dajjal akan keluar dari bumi ini di bahagian timur yang bernama Khurasan.”

(Hadis Riwayat Tirmidzi)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recommended
Dunia Islam sedang mengalami tempoh kelemahan yang dipenuhi dengan ideologi…