Perpecahan Umat Islam – Fitnah Akhir Zaman

Tanda Akhir Zaman

Perpecahan Umat Islam – Fitnah Akhir Zaman

Perpecahan umat Islam di zaman ini telah pun terjadi. Segala sesuatu yang membawa kepada perselisihan dan perpecahan sesama umat adalah fitnah besar kepada jemaah muslimin kepada mereka yang memisahkan diri. Mereka itu adalah golongan yang menyalahi manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah.

Peringatan dalam sebuah hadis menunjukkan perpecahan umat ini kepastian yang akan berlaku. Ia adalah ketentuan dan ketetapan Allah SWT.

Daripada ‘Auf bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Kaum Yahudi telah berpecah menjadi 71 satu golongan, satu golongan di antaranya masuk syurga, dan 70 lainnya masuk neraka. Kaum Nasrani telah berpecah menjadi 72 golongan, 71 antaranya masuk neraka, dan hanya satu golongan yang masuk syurga. Demi Allah Yang Menggenggam jiwaku, sesungguhnya umatku benar-benar akan berpecah menjadi 73 golongan, satu golongan di antaranya masuk syurga, dan 72 yang lain masuk neraka. Seseorang bertanya, ‘Ya Rasulullah, siapakah yang akan masuk syurga itu?’ Baginda menjawab, ‘Jemaah’.”

(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Dalam riwayat lain ada menyatakan Rasulullah SAW menjawab, “Apa aku dan sahabatku berada di atasnya.” Menurut hadis ini juga terdapat dua kriteria Ahli Sunnah wal Jamaah iaitu ‘Al-Jamaah’ (majoriti ikutan umat Islam) dan mereka yang mengikut sunnah Rasulullah SAW.

Umat Islam hari ini di seluruh dunia dilihat lebih banyak berpecah-belah. Perpecahan ini antaranya berpunca daripada fahaman tertentu yang keras dalam perbezaan mazhab sehingga berlaku perselisihan pendapat yang tidak ditangani dengan kaedah yang betul, adaabul ikhtilaf (adab dalam berselisih).

Dr. Ismail Lutfi mengatakan, “Ingatlah bahawa Islam melarang perpecahan walaupun dibenarkan perselisihan dalam beberapa permasalahan yang tidak membawa perpecahan, kerana bukanlah setiap perselisihan itu perpecahan.” Perkara-perkara khilafiyah yang hukumnya sunat kadang kala boleh membawa kepada perpecahan kesatuan umat Islam.

Sesetengah perkara khilafiyah itu, tidak patut berlaku perselisihan lagi di kalangan orang yang berilmu. Kaedah ada mengatakan: “Sesungguhnya perkara yang wajib didahulukan di atas perkara yang sunat.” Maka, diutamakan menjaga kesatuan umat Islam dan menjauhi perpecahan hukumnya adalah wajib.

Berdasarkan kepada perintah Allah SWT dalam Surah Ali Imran 3: ayat 105 yang bermaksud:

[otw_shortcode_quote border_style”bordered”]Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berpecah belah dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah).[/otw_shortcode_quote]

Rasulullah SAW pernah berqiamullail dan mengulang-ulang membaca satu ayat al-Quran sehingga masuk waktu subuh. Baginda memberitahu para sahabat, “Itu solat seorang yang mengharap dan takut.” Nabi Muhammad SAW berdoa kepada Allah SWT berkenaan umatnya dan dua doa itu dikabulkan, namun ada satu doa tidak diperkenankan.

Rasulullah SAW bersabda:

“Aku memohon agar Allah tidak menghancurkan umatku dengan kemarau seperti umat Nabi Yusuf, Allah memperkenankannya. Aku juga memohon agar umatku tidak dihancurkan dengan banjir seperti Nabi Nuh pun dimakbulkan. Aku bermohon agar umatku tidak berpecah atau bersengketa sesama mereka, yang itu Allah tidak makbulkan. Dan Allah memberitahu ia akan menjadi fitnah kepada umatku, saling bertelagah.”

Umat Muhammad SAW tidak akan dibinasakan sebagai hukuman dari Allah dan tidak digantikan dengan umat lain sehinggalah tiba hari kiamat. Allah SWT sentiasa membuka pintu keampunan kepada umat Islam selagi mana jasad masih bernyawa dan sebelum berlaku tanda besar kiamat iaitu terbitnya matahari dari arah barat yang menutup pintu keampunan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recommended
Tiada sesiapa mengetahui bagaimana keadaan sebenar manusia ketika kiamat berlaku…