Perang Jihad Imam Mahdi

Tanda Akhir Zaman

Perang Jihad Imam Mahdi

Perang Jihad Imam Mahdi

Imam Mahdi dan pasukan panji hitam akan mengembalikan kekuatan umat Islam melalui jalan Al-Jihad Fisabilillah. Allah SWT melindungi Khalifatullah Al-Mahdi dari ancaman musuh dan memberi kemenangan ke atas mereka dalam setiap peperangan.

Dalam hadis1 menjelaskan Imam Mahdi akan memerangi jazirah Arab, Parsi dan Rom sehingga keluarnya Dajjal bersama 70,000 orang-orang Yahudi Asbahan2.

Pemuda Bani Tamim yang bernama Syuaib bin Soleh akan mengumpulkan kekuatan tentera Islam dan akan dibaiah  Imam Mahdi sebelum diserahkan kuasa pemerintahan untuk menguasai semenanjung Arab. Seorang penguasa dikenali dengan As-Sufyani di Syam menghantar sebuah bala tentera yang berjalan kaki (infantri) menyerang Imam Mahdi. Rasulullah SAW memberi peringatan dalam sabdanya, “…dan fitnah yang akan muncul dari bumi Syam iaitu Sufyani.”

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Kamu akan memerangi semenanjung Arab. Perang ini akan berlaku pada masa pengkhianatan Rom dan ketika mereka sedang mengumpulkan kekuatan untuk memerangi kaum Muslimin. Maka tentera pertama yang memerangi Al-Mahdi (setelah terbenamnya tentera pertama yang ke dalam bumi), adalah pasukan semenanjung Arab yang terdiri dari orang Muslim (yang ingkar) dan dipimpin oleh seorang lelaki yang berasal dari suku Quraisy. Lelaki ini ada kemungkinan lelaki yang bernama Sufyani, yang mana dia meminta kepada suku bapa saudaranya, iaitu suku Kalab. Kemudian mereka berangkat untuk memerangi Al-Mahdi. Akan tetapi Imam Mahdi mengalahkan mereka dengan seburuk-buruk bentuk kekalahan serta memperolehi harta rampasan perang yang luar biasa banyaknya.”

Bangsa Parsi juga mengalami kekalahan dan Negara Iran ditakluki oleh Imam Mahdi. Perang jihad dengan kaum Rom merupakan peperangan yang paling besar atau disebut Al-Malhamah Al-Kubra. Rom mengumpulkan kekuatan tentera berjumlah hampir 1,000,000 kekuatan tentera (80 bendera dengan setiap bendera terdapat 12,000 tentera).

Peperangan ini berlaku selama empat hari dimana 1/3 tentera di pihak Muslimin lari meninggalkan medan perang pada hari pertama peperangan. Peperangan berterusan dan 1/3 tentera Muslimin mendapat mati syahid.

Firman Allah dalam Surah Ali-Imran 3: ayat 170 yang bermaksud:

(Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Dan baki 1/3 tentera terakhir Muslimin akhirnya mampu mengalahkan tentera Rom dan mendapatkan kemenangan.

Nota Hujung   [ + ]

1. Riwayat Muslim dari Jabir bin Samurah dari Nafi’ bin Utbah, Kitab Al-Fitan wa Asyroth As-Sa‘ah 18: 26.
2. Sebuah kota di tengah Iran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recommended
Dengan berakhirnya kesultanan kerajaan Islam Turki Uthmaniyah, kepimpinan dunia berpindah…