Pasukan Panji Hitam Yang Mendapat Kemenangan

Tanda Akhir Zaman

Pasukan Panji Hitam Yang Mendapat Kemenangan

Pasukan Panji Hitam Yang Mendapat Kemenangan

Pasukan panji hitam menjadi perintis dalam usaha perjuangan Imam Mahdi menguasai dunia dengan keadilan. Pemuda Bani Tamim yang merupakan ketua pasukan panji hitam akan mengumpulkan kekuatan tentera untuk bersama-sama Imam Mahdi pada akhir zaman dan berjihad sehingga keluarnya Dajjal.

Diriwayatkan daripada Tsauban, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Akan berperang di sisi ‘perbendaharaan’ ini tiga orang semuanya putera khalifah, namun tiada seorang pun daripada mereka yang berjaya menguasainya. Kemudian berkibarlah panji-panji hitam dari timur memerangi kamu dengan peperangan yang hebat yang tidak pernah berlaku sebelumnya.”

Kemudian Rasulullah SAW menyebut sesuatu yang tidak saya hafal. Lalu bersabda yang bermaksud, “Jika kamu melihatnya, maka berbaiahlah kepadanya walaupun dengan merangkak di atas salji. Kerana di sisinya adalah khalifah Allah yang mendapat petunjuk (Al-Mahdi).”1

Dalam riwayat hadis yang lain disebutkan secara jelas kedatangan pasukan panji hitam dari arah timur iaitu Khurasan.2 Turut dilaporkan oleh Abu Hurairah RA tentang pasukan panji hitam yang datang dari wilayah Khurasan. Kini, Khurasan adalah sebuah wilayah timur Parsi atau negara Iran sebelah timur, Afghanistan, Tajikistan, Turkmenistan dan Uzbekistan.

Mereka akan mendapat kemenangan demi kemenangan dalam setiap peperangan. Sebenarnya, mereka ini adalah pasukan yang mendapat kemenangan atau disebut sebagai Thaifah al-Mansurah yang sentiasa ada setiap zaman. Perjuangan pasukan ini sangat istiqamah pada kebenaran agama dalam menegakkan syariat Islam bermula sejak zaman awal Islam dan berterusan sehingga zaman sekarang.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Akan ada segolongan umatku yang berperang membela kebenaran, mendapat pertolongan Allah sehingga datangnya hari kiamat.”

“Agama ini akan sentiasa menang selagi masih ada sekumpulan kaum Muslimin yang berperang (di jalan Allah) sehingga datang hari kiamat.”

“Akan sentiasa ada sekelompok kecil dalam umatku yang berperang atas perintah Allah. Mereka berjaya terhadap musuh. Orang-orang yang menentang mereka tidak akan mampu membahayakan mereka sehingga hari kiamat dan mereka tetap teguh dalam keadaan itu.”

Golongan sebenar Thaifah al-Mansurah menurut pandangan Imam Nawawi, beliau berkata: “Kumpulan ini kemungkinan adalah kumpulan yang tersebar antara orang Mukminin. Antara mereka adalah para pemberani yang berperang pada jalan Allah, fuqaha, ahli hadis, orang-orang yang zuhud, orang yang menyuruh pada yang ma’ruf dan mencegah yang munkar, serta para pelaku kebaikan yang lain. Tidaklah mereka berkumpul pada tempat yang sama. Bahkan mungkin mereka tersebar di pelbagai penjuru negeri.”3

Imam Mahdi akan dibantu oleh seorang pemuda4 berketurunan Tamim bersama para tenteranya. Panji-panji mereka berwarna hitam menyerupai panji-panji Rasulullah SAW. Persoalannya, siapakah sebenarnya Bani Tamim? Keutamaan Bani Tamim dan peranan mereka di akhir zaman terdapat dalam sebuah hadis.

Abu Hurairah berkata, “Aku sentiasa mencintai Bani Tamim selepas mendengar tiga perkara yang disabdakan oleh Rasulullah tentang mereka.” Baginda bersabda,

“Mereka ialah umatku yang paling keras menentang Dajjal. Apabila zakat mereka dibawakan, Rasulullah berkata, “Ini ialah zakat kaum kami.” Dan ketika Aisyah memiliki seorang hamba perempuan diantara tawanan mereka, lalu Rasulullah bersabda, “Merdekakanlah, kerana dia dari keturunan Nabi Ismail.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sorotan Sejarah

Abu Muslim al-Khurasani mengibarkan panji berwarna hitam ketika berhasil menjatuhkan sebuah kerajaan Islam Bani Umaiyah pada tahun 132 H yang telah bertahan selama hampir 90 tahun (661 – 750 M). Bani Abbasiyah iaitu dari keturunan Abbas bin Abdul Mutalib, bapa saudara Baginda SAW telah mengambil alih pemerintahan Khilafah Islamiyah.

Khalifah ketiga mereka bernama Al-Mahdi Abu Abdillah bin Al-Manshur. Sheikh al-Allamah Hamud at-Tuwaijiri mengatakan, “Manusia telah berselisih mengenai Al-Mahdi. Perselisihan tersebut menjadi tiga pendapat.” Salah satu pendapat sebagai berikut;

  • Al-Mahdi yang dimaksudkan Rasulullah SAW adalah Al-Mahdi yang merupakan salah seorang khalifah kerajaan Islam Bani Abbasiyah dan telah berlalu zaman tersebut.

Al-Mahdi bukanlah Imam Mahdi yang akan muncul pada akhir zaman, akan tetapi ia juga termasuk seorang Khalifah (pengganti) yang mendapat gelaran raasyid (bijaksana) dan mahdi (mendapat petunjuk). Rasulullah SAW telah bersabda, “Hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah al-Khulafa ur-Rasyidin al-Mahdiyyin (pemimpin yang lurus dan mendapat petunjuk).”

Sorotan sejarah dan hadis ini terdapat persamaan dan perbezaan seperti berikut:

Persamaan:

  • Abu Muslim al-Khurasani menjadikan Khurasan sebagai tempat bermulanya gerakan mengembalikan kekuasaan kepada Bani Abbas.

  • Abu Muslim al-Khurasani mengibarkan panji-panji berwarna hitam sebagai tanda menguasai Bani Umaiyah.

  • Al-Mahdi khalifah ketiga Bani Abbasiyah dari jalur keturunan Al-Abbas yang juga ahli bait Rasulullah SAW. Abbas bin Abdul Mutalib iaitu bapa saudara Rasulullah SAW yang dikatakan, ‘Bapa saudara seseorang ialah kembar bapanya’.

Perbezaan:

  • Abu Muslim al-Khurasani bukan keturunan Tamim.

  • Khalifah Al-Mahdi telah membunuh Abu Muslim al-Khurasani dan tidak menjadi pembantunya.

Ibnu Kathir berkata, “Panji-panji hitam tersebut bukanlah panji yang dikibarkan oleh Abu Muslim al-Khurasani yang telah berhasil menjatuhkan kekuasaan Bani Umaiyah pada tahun 132 H. Akan tetapi, panji-panji hitam yang lain datang bersamaan dengan munculnya Al-Mahdi.”

Nota Hujung   [ + ]

1. Ibnu Majah, 2/1367 hadis no. 4084.
2. Hadis Riwayat Ahmad no. 8420 dan Tirmidzi no. 2195. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Dari Khurasan akan keluar panji-panji hitam yang tidak akan dikalahkan oleh sesiapa pun.”
3. Syarah Sahih Muslim
4. “Yang akan mengetuai tentera al-Mahdi adalah pemuda dari (Bani) Tamim”

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recommended
Imam Mahdi dan pasukan panji hitam akan mengembalikan kekuatan umat…