Menggenggam Bara Api

Tanda Akhir Zaman

Menggenggam Bara Api

Umat Islam akhir zaman yang berusaha mengamalkan agamanya dan menghidupkan sunnah Muhammad SAW pada zaman fitnah bagaikan orang yang menggenggam bara api sehingga menjadi arang. Mereka dilanda dengan penentangan yang datang daripada berbagai-bagai bentuk fitnah.

Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Orang-orang Islam akan berdepan dengan satu zaman di mana pada zaman itu orang yang bersabar dalam berpegang teguh dengan agamanya tidak ubah bagaikan orang yang memegang bara api.”

Dr. Yusuf al-Qaradawi berpendapat para pemerintah umat Islam yang munafik menjadi punca halangan kepada usaha mengembalikan cara hidup Islam sebenar dan antara lain kesan penjajahan menurut ulama yang terlibat secara langsung dalam gerakan Islam dan politik itu.

Penjajah barat meninggalkan tanah jajahan mereka dengan mengikat perjanjian-perjanjian sebelum memberi kemerdekaan sesebuah negara. Kesempatan menjajah diambil untuk menyebar fahaman dan ideologi yang menjauhkan masyarakat dengan dua sumber dalam Islam iaitu al-Quran dan sunnah.

Orang beriman yang berpegang dengan agama secara menyeluruh dalam aspek akidah, ibadah, akhlak sangat sedikit jumlahnya. Mereka yang tetap bersabar menghadapi pancaroba kehidupan akhir zaman dan istiqamah sahaja akan mendapat kejayaan.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Islam datang dalam keadaan asing dan akan kembali asing. Maka, beruntunglah orang-orang yang dianggap asing.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Dalam riwayat yang lain disebut, “Maka, berbahagialah orang-orang yang terasing.” Kehadiran Islam di tengah-tengah masyarakat Arab pada awalnya dianggap asing. Mereka melalui zaman jahiliyah yang jahil dalam kehidupan beragama yang benar ketika masa fatrah iaitu antara diangkat Nabi Isa AS ke langit sehingga kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Islam sebagai cara hidup dirasai terasing pada pandangan orang Islam sendiri yang mengaku sebagai Islam. Kebanyakan di antara masyarakat sudah biasa melihat pakaian wanita yang tidak menutup aurat dengan sempurna dan sudah pasti akan berasa janggal apabila terdapat wanita berjubah dan berpurdah menjaga maruahnya.

Hudzaifah salah seorang sahabat Rasulullah SAW pernah bertanya, “Wahai Rasulullah! Kita pernah merasakan hidup di zaman jahiliyah yang penuh keburukan, kemudian Allah mengganti masa ini dengan kebaikan datangnya Islam. Apakah setelah ini akan datang kembali keburukan-keburukan itu?” Rasulullah SAW menjawab, “Ya, masa itu akan datang kembali lagi.”

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recommended
Khalifah Umar al-Khattab menurut Rasulullah SAW merupakan orang yang paling…