Nabi Muhammad SAW menggambarkan pada akhir zaman manusia akan berhadapan dengan harta kekayaan yang melimpah ruah sebagai tanda semakin hampirnya kiamat. Harta pernah menjadi melimpah ruah pada zaman pemerintahan Umar bin Abdul Aziz (99 – 101 H).

Dikatakan ada seorang lelaki ingin memberikan sedekah namun tidak ada sesiapa yang layak menerima sedekahnya itu. Tidak didapati orang yang mahu menerima sedekah kerana sudah melimpahnya harta kekayaan. Kefakiran telah terhapus daripada masyarakat sehingga tidak wujud seorang pun yang berhak menerima sedekah atau yang mahu menerima sedekah.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak akan tiba hari Kiamat sehingga harta menjadi banyak pada kamu, harta itu terus melimpah ruah sehingga membingungkan pemiliknya siapakah yang mahu menerima sedekah darinya. Lalu seseorang dipanggil, kemudian dia berkata: Aku tidak memerlukannya.”1

Dalam hadis lain, Baginda bersabda: “Kemudian melimpahnya harta sehingga seseorang yang sudah diberi 100 dinar pun masih tetap merungut.” Keadaan yang pernah berlaku ketika pemerintahan Umar bin Abdul Aziz itu tidak hanya berlaku pada zaman beliau sahaja, malah perkara ini akan berulang.

Terdapat beberapa kemungkinan mengapa harta kekayaan melimpah ruah yang menjadi pemahaman bagi menggambarkan keadaan di akhir zaman.

Pertama: Pembukaan Wilayah Dan Penaklukan

Pembukaan wilayah dan penaklukan pada zaman Khulafa Ar-Rasyidin berhasil memperolehi sumber harta simpanan dan harta rampasan perang yang sangat banyak. Semasa pemerintahan Amirul Mukminin Umar al-Khattab, empayar Islam berkembang dengan pesat sehingga berjaya menamatkan kekuasaan Parsi dalam peperangan al-Qadasiyah.

Harta rampasan perang yang melimpah ruah dikumpulkan, Suraqah bin Malik mengenakan persalinan diraja Parsi dan Mahkota Kisra di atas kepalanya. Peristiwa ini menjadi bukti kenabian Nabi Muhammad SAW, Baginda pernah berkata kepada Suraqah:

Mahukah engkau wahai Suraqah suatu masa nanti akan memakai mahkota kebesaran Raja Parsi (Kisra)?

Kedua: Keberkatan Pemerintah

Amirul Mukminin Umar bin Abdul Aziz semasa menaiki takhta pemerintahan era Kerajaan Islam Umaiyah telah melakukan banyak perkara keadilan. Beliau memegang beberapa prinsip serta pendirian antaranya sentiasa menegakkan keadilan. Sifat keadilan diwarisi daripada datuknya, Umar al-Khattab.

Umar bin Abdul Aziz juga amat berhati-hati berkenaan dengan harta sehingga banyak harta yang dikembalikan semula ke baitulmal. Antara kelebihan pada zaman pemerintahannya juga, ramai para ulama yang ikhlas memberi nasihat kepadanya. Inilah yang dinyatakan oleh Ibnu Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah.

Kegemilangan pemerintahan Umar bin Abdul Aziz sehingga digelar Khulafa Ar-Rasyidin kelima. Sufyan ats-Tsauri berkata, “Para khalifah itu ada lima; iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan Umar bin Abdul Aziz.”2

Ketiga: Zaman Al-Mahdi dan Nabi Isa

Imam al-Mahdi3 adalah individu yang dijanjikan akan muncul pada akhir zaman. Kemunculan al-Mahdi adalah di antara rahmat Allah kepada umat ini yang akan memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana ia telah dipenuhi dengan kezaliman sebagaimana hadis menceritakan perihal beliau.

Allah berfirman:

“Sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu rahmat) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi.”4

Umat manusia ketika zaman al-Mahdi dan Nabi Isa as menjalani kehidupan terbaik, mereka beribadah dan beramal soleh dengan benar dalam keadaan sejahtera. Harta melimpah ruah hasil daripada keberkatan keadilan Islam dan kesan keimanan serta ketakwaan di dalam kehidupan manusia.

Keempat: Sifat Zuhud

Menjadi seorang yang zuhud adalah dengan mempunyai ilmu pengetahuan. Ketika keamanan dan keberkatan zaman al-Mahdi dan Nabi Isa as, ramai orang memiliki sifat zuhud terhadap harta kekayaan. Ini kerana mereka mengetahui dengan ilmu hakikat hari kiamat dan telah menyaksikan tanda besar kiamat; kemunculan al-Masih Dajjal dan keluarnya Yakjuj dan Makjuj.

Rasulullah SAW bersabda:

“…dan harta melimpah ruah sehingga tidak ada lagi orang yang sanggup menerimanya, sehinggakan satu kali sujud pada ketika itu lebih baik daripada dunia dan segala isinya.”5

Pepatah Arab ada menyebut, “Bukanlah makna zuhud itu dengan kamu tidak memiliki sesuatu, tetapi zuhud adalah sesuatu itu tidak memiliki kamu.” Jika difahami bahawa zuhud itu bukan bermakna menolak kekayaan, tetapi zuhud itu tidak lalai dengan kekayaan yang ada daripada mengabdikan diri kepada Allah.

5. Seiring peredaran masa yang mudah memperolehi harta kekayaan. Gambaran ini secara asasnya adalah tidak dilarang oleh syarak. Perkara ini jelas kelihatan berlaku pada masa sekarang jika dibandingkan dengan dengan situasi pada zaman dahulu.

Allah berfirman:

“Apabila solat (Jumaat) telah ditunaikan, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat).”6

Wallahu A’lam

Nota Hujung

Nota Hujung
1, 5 Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim
2 Diriwayatkan oleh Abu Daud dalam Sunannya
3 Bernama Muhammad bin Abdullah al-Alawi al-Hasani dari zuriat al-Hasan bin Ali bin Abu Talib dari kalangan ahli bait.
4 Surah Al-A’raaf 7: 96
6 Surah Al-Jumu’ah 62: 10

Ruangan Komen