Mencari Jalan Selamat

Tanda Akhir Zaman

Mencari Jalan Selamat

Kehidupan manusia di dunia ini selamanya sehingga kiamat tidak akan sunyi daripada dua sifat yang berlawanan, kebaikan dan keburukan. Perkara yang benar mendatangkan kebaikan, manakala dusta mengakibatkan keburukan dan kedua-dua perkara itu berlaku secara silih berganti.

Umat Islam pernah melalui zaman-zaman yang penuh dengan kebaikan. Dan selepas itu disusul pula zaman yang penuh keburukan kecuali golongan yang mengikut kebaikan sebelumnya. Imam Malik bin Anas berkata, “Tidaklah akan baik akhir umat ini kecuali mereka mengikuti baiknya awal umat ini.”

Al-Bukhari meriwayatkan dari ‘Adi, dia berkata, pernah kami datang kepada Anas bin Malik, lalu kami mengadu kepadanya tentang apa yang kami alami dari perbuatan Al-Hajjaj. Anas bekata, “Bersabarlah kamu, kerana sesungguhnya tidak satu zaman pun yang dialami manusia kecuali zaman berikutnya lebih buruk lagi daripada sebelumnya, sehingga kamu menemui Tuhanmu. Saya mendengar ini dari Nabi SAW.”

Golongan Yang Selamat

Ahli Sunnah wal Jamaah adalah gelaran yang digunakan untuk golongan terbesar dan ikutan kebanyakan kaum Muslimin untuk membezakan daripada golongan minoriti seperti Khawarij, Syiah, Muktazilah dan golongan-golongan lain yang telah disepakati oleh para ulama akan kesesatan mereka.

Perhatikan hadis berkaitan perpecahan umat Islam, satu golongan sahaja yang selamat daripada 73 golongan pada akhir zaman. Betapa banyak golongan yang tersesat dan hanya satu golongan yang masuk syurga. Fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah telah disepakati oleh para ulama salaf dan khalaf antara golongan yang akan terselamat.

Imam Al-Zabidi yang bermazhab Hanafi berkata, “Apabila disebutkan golongan Ahli Sunnah wal Jamaah, maka maksudnya ialah orang-orang yang mengikut akidah fahaman Abu Hasan Al-Asy’ari dan Abu Mansur Al-Maturidi.”

Reformis Agama Islam

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sebaik-baik kurun adalah kurunku, kemudian kurun berikutnya dan kemudian kurun sesudahnya.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Tiga kurun yang pertama ini menjadi contoh ikutan umat Islam selepasnya. Khalifah Umar bin Abdul Aziz (717-720) merupakan mujaddid pada kurun pertama iaitu dalam tempoh 100 tahun. Syeikh Mahmud Syarqawi dalam kajiannya mengenai mujaddid berpendapat Imam Syafie mujaddid kurun kedua dan Imam Abu Hasan Al-Asy’ari pula mujaddid kurun ketiga.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah mengutuskan pada umat ini pada setiap awal 100 tahun seorang yang memperbaharui urusan agama mereka.”

Dalam tempoh 200 tahun berikutnya adalah kurun yang mendapat jaminan antara zaman-zaman terbaik. Dalam bidang agama lahirnya Imam Abu Hanifah (Mazhab Hanafi 700-767), Imam Malik (Mazhab Maliki 713-795), Imam Syafie (Mazhab Syafie 767-820) dan Imam Ahmad bin Hanbal (Mazhab Hambali 780-855).

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recommended
Perbezaan dalam masalah urusan pemerintahan pada zaman Khulafa ar-Rasyidin keempat,…