Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, telah bersabda Rasulullah SAW:
“Tidak akan datang kiamat sehingga waktu semakin berdekatan, setahun seperti sebulan, sebulan seperti seminggu, seminggu seperti sehari, sehari seperti sejam dan sejam terasa hanya sekejap.”Dalam surah al-Asr (103:1), Allah SWT bersumpah dengan masa kerana masa menjadi perkara utama bagi manusia yang perlu dijaga. Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni menerangkan bahawa masa antara penyebab kepada kebahagian manusia atau kebinasaannya dalam kehidupan.
Ini kerana dinyatakan dalam surah al-Asr (103:2-3) bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat ialah iman, amal yang soleh, saling berpesan dengan kebenaran dan berpegang dengan kesabaran.
Allah SWT berfirman,
“Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian – Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
Terdapat lima fasa masa yang dilalui dalam kehidupan setiap manusia, iaitu;
Fasa Belum Wujud
Firman Allah dalam Surah al-Insaan (76:1) yang bermaksud: “Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang ia (masih belum wujud lagi, dan) tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut, (maka mengapa kaum musyrik itu mengingkari hari akhirat)?”
Fasa Dalam Kandungan
Firman Allah dalam Surah az-Zumar (39:6) yang bermaksud: “Ia menciptakan kamu dalam kandungan ibu kamu (berperingkat-peringkat) dari satu kejadian ke satu kejadian. Dalam tiga suasana…”
Fasa Kehidupan Dunia
Firman Allah dalam Surah al-Nahl (16:78) yang bermaksud: “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan Dia mengurniakan kepada kamu (pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur.”
Fasa Alam Barzakh
Firman Allah dalam Surah al-Mu’minuun (23:100) yang bermaksud: “…sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).”
Fasa Kehidupan Akhirat
Firman Allah dalam Surah al-Mu’minuun (23:16) yang bermaksud: “Kemudian sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat.”