Kenapa Hari Kiamat Dirahsiakan?

Dalam kehidupan ini ada sesuatu yang tidak perlu diketahui oleh manusia supaya kita sentiasa bersedia secara fitrah. Terdapat dalam banyak ayat al-Quran, Allah menegaskan pengetahuan mengenai hari kiamat hanya milik-Nya. Hari berlakunya kiamat besar sengaja dirahsiakan oleh Allah sebagaimana kematian seseorang itu dirahsiakan.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang – yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya – supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang ia usahakan.”1

Kiamat bagi manusia yang paling hampir berupa kematian. Apabila seseorang itu mati, maka ketika itu telah berlaku kiamat kecil pada dirinya. Kiamat kecil berlaku ke atas setiap individu, manakala kiamat besar akan memusnahkan seluruh alam semesta sebelum bermula kehidupan akhirat.

Hikmah dirahsiakan kematian ialah:

1. Sentiasa bertaubat kepada Allah daripada segala dosa,
2. Sentiasa mengingati mati kerana ia datang bila-bila masa sahaja,
3. Lebih berkesan dalam menyeru manusia mentaati perintah dan menjauhi larangan-Nya,
4. Menimbulkan keinsafan dalam hati manusia supaya berharap hanya kepada Allah.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya…”2

“Manusia bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang kedatangan hari kiamat, katakanlah: Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Allah. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? – boleh jadi masa datangnya tidak lama lagi.”3

Kiamat Sudah Dekat

Allah mengingatkan kemungkinan hari kiamat sudah dekat waktunya dan dengan sifat rahmat-Nya jua melalui Rasulullah SAW mengkhabarkan tanda-tanda sebelum berlakunya hari kiamat supaya memberi kesedaran kepada manusia. Baginda berpesan supaya kita tidak menangguh dalam melakukan perkara kebaikan sebelum berlaku beberapa tanda kiamat besar.4

Daripada Anas bin Malik RA, beliau mengatakan bahawa seseorang telah datang menemui Nabi Muhammad SAW dan bertanya, “Bila hari kiamat akan terjadi?” Rasulullah bertanya kembali, “Bagaimana engkau persiapkan diri untuk menghadapinya?” Orang itu menjawab, “Aku belum mempersiapkan amal untuk menghadapi hari tersebut dengan memperbanyakkan solat, puasa dan sedekah. Tetapi, aku benar-benar cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.” Mendengar ini Rasulullah bersabda:

“(Kalau begitu) engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai.”5

Dalam riwayat yang lain disebut, “Seseorang itu akan bersama orang yang dicintainya.” Maksud hadis ini, jika benar seseorang itu sesungguhnya mencintai Allah dan Rasul-Nya, maka dia pasti mengikuti petunjuk al-Quran dan as-Sunnah.

Wallahu A’lam

Nota Hujung

Nota Hujung
1 Surah Taha 20: 15
2 Surah al-Mulk 67: 2
3 Surah al-Ahzab 33: 63
4 “Bersegeralah melakukan amal-amal soleh sebelum datangnya enam perkara; Dajjal dan asap (ad-Dukhan), binatang melata di bumi (Dabbatul Ard), terbitnya matahari di tempat terbenamnya (arah barat), kematian dan Kiamat.” (Hadis Riwayat Muslim)
5 Hadis Riwayat Muslim

Ruangan Komen