Allah SWT memuliakan segolongan manusia dengan sifat kenabian yang membawa petunjuk daripada Allah untuk memimpin manusia dalan urusan agama dan dunia. Pengutusan para nabi adalah salah satu bentuk rahmat Allah kepada manusia bagi kesempurnaan manusia. Manusia sentiasa memerlukan seseorang yang dapat memberikan peringatan kepada mereka.

Nabi Isa as menjelaskan kepada kaumnya akan muncul seorang nabi terakhir sesudahnya. Nabi Isa as berkata:

“Wahai Bani Israel, sesungguhnya aku ini pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku – bernama: Ahmad”1

Jarak masa kedatangan seorang nabi sehingga nabi berikutnya tidak tetap masanya. Antara Nabi Isa as dan diutus Nabi Muhammad SAW adalah sekitar 569 tahun. Ketika masa fatrah2 kehidupan jahiliyah mewarnai masyarakat bangsa Arab yang menyembah selain tuhan yang satu, berpecah belah antara kabilah kerana fanatik kesukuan dan saling berperang antara mereka.

Kelahiran Yang Dinanti

Yang sahih dalam kitab-kitab sirah muktabar menyebutkan, Rasulullah SAW dilahirkan pada hari Isnin di dalam bulan Rabiulawal pada tahun Gajah. Hari Isnin dan bulan Rabiulawal yang dahulunya tidak terkenal di kalangan bangsa Arab menjadi mulia kerana ditunggu-tunggu oleh mereka yang sentiasa mengingati kelahiran Baginda.

Sesetengah ahli sejarah berpendapat kelahiran Rasulullah SAW lebih tepat pada hari Isnin, 9 Rabiulawal.3 Walaupun para ulama berselisih pendapat tentang tarikh kelahirannya, namun ia tidak menafikan kewujudan insan bernama Muhammad bin Abdullah sebagai nabi terakhir yang membawa rahmat buat seluruh umat manusia tanpa terbatas dengan zaman, tempat dan kaum.

Imam Sayuti di dalam kitab Husn al-Maqshid fi ‘Amal al-Maulid menukilkan pendapat daripada al-Hafiz Syamsuddin bin Nashiruddin ad-Dimasyqi berkata bahawa, telah benar riwayat yang mengatakan Abu Lahab diringankan azab neraka pada hari Isnin kerana telah memerdekakan hambanya kerana gembira dengan perkhabaran daripada hambanya itu tentang kelahiran anak saudaranya.

Kelahiran Nabi Muhammad SAW adalah peristiwa yang menggembirakan keluarganya. Bahkan orang-orang yang kelak akan menjadi musuh Baginda juga berasa gembira dengan kelahiran Baginda.

Daripada Abu Qatadah, Rasulullah SAW ditanya tentang puasa hari Isnin. Baginda menjawab:

Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan (al-Quran) ke atasku.

Hadis menunjukkan bahawa Rasulullah berpuasa pada hari Isnin kerana bersyukur kepada Allah atas kelahirannya sendiri pada hari itu, maka begitu juga bagi umatnya yang mensyukuri nikmat kelahiran Baginda dengan berpuasa pada hari Isnin.

Apakah ada keajaiban ketika kelahiran Nabi Muhammad?

Perkara luar biasa daripada adat yang dikurniakan Allah boleh berlaku sama ada ketika belum dilahirkan, semasa kecil atau sesudah turunnya wahyu kepada Nabi Muhammad SAW. Ibnu Saad meriwayatkan bahawa Aminah berkata:

“Semasa aku melahirkannya, daripada kemaluanku memancarlah cahaya yang menerangi istana-istana di Syam.”4

Daripada Utsman bin Abi al-Ash, dia menceritakan bahawa ibunya, Fathimah binti Abdullah menolong waktu kelahiran Aminah pada malam kelahiran Baginda. Ibunya berkata, “Aku melihat rumah Aminah dipenuhi cahaya. Aku melihat bintang-bintang datang dekat sehingga aku merasakan bintang itu menimpaku.”

Ketika kelahiran Baginda, dikatakan berlaku pelbagai keajaiban di serata dunia sebagai tanda sudah lahir seorang rasul yang terakhir. Ada riwayat hadis mengatakan api sembahan Majusi yang menyala selama 1000 tahun terpadam ketika kelahiran Nabi Muhammad SAW. Di dalam kitab Al-Bidayah wa Al-Nihayah, Ibnu Kathir menyatakan hadis ini tidak ada asal bagi sanadnya.

Wallahu A’lam

Nota Hujung

Nota Hujung
1 Surah as-Saff 61: 6
2 Masa antara diangkatnya Nabi Isa ke langit sehingga kerasulan Muhammad SAW.
3 Di antara ulama yang berpendapat Nabi Muhammad SAW lahir pada 9 Rabiulawal adalah Imam al-Humaidi, Ibnu Abdillah, Ibnu Hazam, Muhammad bin Musa al-Khuwarazmi, Abdul Khattab Ibnu Dihyah, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim, Ibnu Kathir, Ibnu Hajar dan selainnya.
4 Sunan Al-Darimi melalui riwayat daripada Al-‘Irbadh bin Sariyah.

Ruangan Komen