Panggilan nama ‘Muhammad Rasulullah’ telah disebutkan dalam al-Quran.1 Abdul Mutalib menamakan Baginda dengan nama Muhammad. ‘Muhammad’ atau ‘Ahmad’ adalah nama yang membawa maksud terpuji. Abdul Mutalib mengatakan:

Aku ingin dia menjadi orang yang banyak dipuji.

Baginda dipuji oleh Allah SWT, dipuji oleh para malaikat, dipuji juga oleh makhluk-makhluk Allah yang lain di langit dan di bumi. Nabi Muhammad SAW memiliki sifat kepujian sehingga Baginda bukan sekadar orang yang sentiasa dipuji tetapi orang yang banyak dipuji dan yang sangat terpuji kerana Baginda sentiasa memuji Allah.

Nasab Keturunan Mulia

Nabi Muhammad SAW diutuskan daripada nasab keturunan yang Allah pelihara kemuliaannya. Allah SWT telah memelihara keturunan kekasih-Nya ini sejak dari Nabi Adam as sehingga dilahirkan.

Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qusai bin Kilab bin Murrah bin Kaab bin Lu’ai bin Ghalib bin Fihr2 bin Malik bin An-Nadhr bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Maad bin Adnan bin Udad bin Hamaisa’ bin Salaman bin ‘Aus bin Bauz bin Qimwal bin Ubai bin ‘Awwam bin Nasyid bin Haza bin Baldas bin Yadlaf bin Tabikh bin Jahim bin Nahisy bin Makhi bin ‘Aidh bin ‘Abqar bin ‘Ubaidh bin Ad-Da’a bin Hamdan bin Sanbar bin Yatsriba bin Yahzin bin Yalhan bin Ar’awi bin ‘Aidh bin Daisyan bin Aisar bin Afnad bin Aiham bin Muqsir bin Nahits bin Zarih bin Sana bin Maza bin ‘Audhah bin ‘Iram bin Qaidar bin Ismail bin Ibrahim bin Azar bin Nahur bin Saru’ bin Ra’u bin Falakh bin ‘Abir bin Syalakh bin Arfakhsyad bin Sam bin Nuh bin Lamik bin Mutausyalakh bin Akhnukh bin Yard bin Mahla’il bin Qainan bin Anusy bin Syits bin Adam.

Salasilah lengkap Nabi Muhammad SAW yang disepakati oleh para ilmuwan baik dalam kalangan ahli hadis mahupun sejarawan Islam sehingga nasab bernama Adnan. Adnan adalah moyang yang ke-21 dalam salasilah keturunan Baginda. Manakala, Ibunda Baginda adalah Aminah bin Wahab bin Abdul Manaf bin Zahrah bin Kilab bin Murrah. Nasab ibunda dan ayahanda Baginda bertemu pada nasab bernama Kilab bin Murrah.

Rasulullah SAW dilahirkan dalam kabilah paling terhormat antara kabilah-kabilah Arab lainnya. Baginda berkata:

“Daripada Ibrahim Allah memilih Ismail, lalu daripada Ismail Allah memilih Kinanah. Daripada anak-anak keturunan Kinanah Allah memilih Quraisy, kemudian daripada Quraisy Allah memilih Bani Hasyim. Akhirnya, Allah memilihku daripada kalangan Bani Hasyim.”3

Daripada zuriat Kinanah, Allah SWT mengeluarkan Quraisy yang bermaksud ‘jerung mini’. Kabilah Quraisy merupakan kabilah yang terbesar di Mekah dan paling berpengaruh. Ramai juga para sahabat Baginda dalam kalangan kabilah Quraisy.4 Kemudian Allah telah mengeluarkan seorang insan bernama Hasyim. Oleh itu, jelaslah bahawa Nabi Muhammad SAW berketurunan Quraisy daripada kabilah Bani Hasyim.

Asal Usul Bangsa Arab Keturunan Rasulullah

Bangsa Arab bagi nasab keturunan Baginda bermula daripada Nabi Ismail yang bukan Arab bernikah dengan Arab Aribah iaitu keturunan daripada Sam bin Nuh daripada kaum ‘Ad yang merupakan umat Nabi Hud as. Hasil pernikahan melahirkan zuriat yang dinamakan Musta’ribah. Maka yang datang daripada keturunan Ismail dinamakan Arab Musta’ribah termasuklah Nabi Muhammad SAW atau dinamakan juga dengan Arab Adnaniyah.

Wallahu A’lam

Nota Hujung

Nota Hujung
1 Surah al-Fath 48: 29
2 Digelar dengan gelaran Quraisy
3 Hadis Riwayat Muslim (Kitab al-Fadhail, bab kelebihan nasab Nabi: 4/1782 jilid 1.)
4 Antaranya; Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Talhah, Abdul Rahman bin Auf dan lain-lain.

Ruangan Komen