Hadis Kronologi Akhir Zaman

Tanda Akhir Zaman

Hadis Kronologi Akhir Zaman

Kronologi akhir zaman menjadi peringatan hari kiamat semakin hampir. Allah SWT datangkan tanda-tanda kiamat yang dimulai dengan tanda kecil dan disusul pula dengan tanda besar sebelum berlakunya hari kiamat. Kronologi berkaitan permulaan dan pengakhiran kehidupan dunia ini bersumberkan dalil daripada hadis-hadis sahih.

Hadis berkaitan akhir zaman ini sangat banyak dan terdapat satu hadis sahih tentang peristiwa-peristiwa yang sudah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku sehingga hari kiamat. Ia merupakan dalil kepada penulis dalam usaha menyusun setiap tanda akhir zaman secara kronologi.

Dari Abu Zaid Amr bin Ahtab, dia berkata:

“Rasulullah SAW solat Subuh bersama kami, kemudian Baginda naik ke atas mimbar dan berkhutbah sehingga datangnya waktu solat Zohor. Kemudian Baginda turun dari mimbar untuk solat Zohor. Baginda kemudian naik ke atas mimbar dan berkhutbah sehingga datangnya waktu solat Asar. Kemudian Baginda turun dari mimbar dan solat Asar. Baginda kemudian naik ke atas mimbar dan berkhutbah sehingga waktu matahari terbenam. Dalam khutbah tersebut, Baginda memberitahukan kepada kami peristiwa-peristiwa yang telah terjadi di masa lampau, dan peristiwa-peristiwa yang akan terjadi pada masa mendatang. (Abu Zaid berkata lagi) Orang yang paling tahu di antara kami adalah orang yang paling kuat ingatan tentang peristiwa-peristiwa tersebut.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Dalam buku 5 Fasa Umat Akhir Zaman, saya mengambil hadis riwayat Imam Ahmad yang dinyatakan hadis hasan dalam Silsilah Al-Ahadits Ash-Shahihah oleh Al-Albani. Hadis ini juga menerangkan tentang kronologi zaman-zaman pemerintahan yang akan dilalui umat manusia. Dalam posting Bila Bermula Akhir Zaman? diterangkan secara ringkas setiap fasa akhir zaman.

Daripada Auf bin Malik RA, dia berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:

“Hitunglah enam perkara di ambang kiamat, iaitu kematianku, penaklukan Baitul Maqdis, merebaknya penyakit maut yang biasanya menimpa haiwan ternakan seperti kambing. Kemudian, melimpah ruahnya harta sehingga apabila seseorang diberi seratus dinar dia masih tidak gembira. Selepas itu, fitnah memasuki setiap rumah orang Arab dan genjatan senjata antara umat Islam dan Bani Ashfar. Namun begitu, mereka kemudiannya mengkhianati kamu lalu datang kepada kamu dengan 80 panji dan di setiap panji ada 12 000 orang askar.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis ini terdapat peristiwa-peristiwa menjelang kiamat yang sudah, sedang dan akan berlaku. Enam perkara menjelang kiamat ini gambaran kronologi akhir zaman. Baginda sendiri memberitahu ‘kematianku’ merupakan tanda kiamat. Seorang manusia mulia yang merupakan kekasih Allah turut merasakan kematian sebagaimana manusia lain mengalaminya.

Dengan kewafatan Nabi Muhammad SAW, maka zaman kenabian telah berakhir. Bermula pula zaman para sahabat yang mendapat petunjuk, Khulafa ar-Rasyidin. Penaklukan Baitul Maqdis berlaku pada tahun 16 H ketika zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab. Pada tahun 18 H berlaku pula merebaknya penyakit berjangkit yang membawa maut.

Ibnu Hajar berkata, “Kejadian ini menurut satu pendapat, terjadi dalam peristiwa taun di Amwas pada masa pemerintahan Umar.” Wabak penyakit taun itu merebak di seluruh wilayah Syam dan Aminul Ummah, iaitu Abu Ubaidah al-Jarrah turut meninggal dunia bersama lebih 25 000 kaum Muslimin.

Kemudian berlaku generasi tabiin. Ketika zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, seorang lelaki ingin memberikan sedekah namun tidak ada sesiapa yang sedia menerima sedekahnya itu. Hal ini kerana khalifah telah memikul amanah umat dengan keadilan sehingga melimpahnya harta benda.

Adapun menurut saya fitnah yang memasuki setiap rumah orang Arab adalah tanda yang berterusan berlaku. Huraian berkaitan fitnah ini akan saya muatkan dalam posting akan datang.

Dan yang terakhir genjatan senjata atau perdamaian antara umat Islam dan Bani Ashfar iaitu Rom. Peristiwa ini akan berlaku sebelum kemunculan seorang lelaki bernama Muhammad bin Abdullah, iaitu Imam Mahdi yang dinanti-nantikan. Apabila tertegaknya khilafah akan berlaku pula 10 Tanda Besar Kiamat.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recommended
Kehidupan manusia di dunia ini selamanya sehingga kiamat tidak akan…