Golongan Yang Memisahkan Diri

Tanda Akhir Zaman

Golongan Yang Memisahkan Diri

Perbezaan dalam masalah urusan pemerintahan pada zaman Khulafa ar-Rasyidin keempat, Khalifah Ali bin Abi Talib RA (656–661 M) di tengah-tengah umat Islam membawa kepada kemunculan golongan Khawarij yang memisahkan diri. Disebut Khawarij ialah orang-orang yang keluar daripada barisan khalifah.

Mereka melaungkan khalimah ‘Laa hukma illa lillah’ (tiada hukum melainkan hukum Allah). Al-Hafidz Ibnu Hajar berkata: “Mereka berpendapat bahawa sesiapa yang tidak berkeyakinan dengan akidah mereka, maka ia kafir, halal darah, harta dan keluarganya.”

Khawarij telah mengkafirkan Saidina Uthman bin Affan RA dan membunuh khalifah ketiga yang mendapat petunjuk itu. Mereka juga mengkafirkan Khalifah Ali bin Abi Talib RA, Saidina Muawiyah bin Abu Sufyan RA serta para sahabat yang menyebelahi khalifah dan menghalalkan darah mereka.

Rasulullah SAW mengetahui hakikat berkenaan kemunculan golongan ini. Nabi SAW bersabda:

“Akan ada dua puak dalam kalangan umatku. Kemudian, muncul antara kedua-duanya golongan yang terkeluar daripada agama. Mereka akan diperangi oleh puak yang paling hampir dengan kebenaran.”

Dalam riwayat yang lain, menggunakan lafaz: “…salah satu golongan yang paling dekat dengan kebenaran akan memerangi mereka.” Khalifah Ali bertindak menumpaskan pemberontak Khawarij dan memerangi mereka dalam perang Nahrawan di sebuah negeri dekat Baghdad.

Abdul Rahman bin Muljam yang tersesat dengan fahaman Khawarij bertindak membalas dendam dengan memancung kepala Khalifah Ali pada waktu subuh dengan berkata: “Tiada hukum kecuali hukum Allah, bukan milikmu atau orang-orangmu (wahai Ali).”

Melihat perwatakan Abdul Rahman bin Muljam bukanlah seorang yang fasik. Beliau adalah seorang yang terkenal sebagai Qari yang hafaz al-Quran di Mesir pada zaman Khalifah Umar al-Khattab. Kesesatan beliau dalam memahami makna nas-nas al-Quran sehingga menganggap khalifah keempat itu sudah terkeluar daripada Islam.

Ibnu Umar berkata, dia mendengar bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Akan muncul sekelompok pemuda yang (pandai) membaca Al-Quran, namun bacaan tersebut tidak melewati kerongkongannya. Setiap kali muncul sekelompok dari mereka pasti tertumpas.”

Ibnu Umar berkata: ‘Saya mendengar Rasulullah mengulang kalimat: “Setiap kali muncul sekelompok dari mereka pasti tertumpas” lebih dari 20 kali.’ Kemudian beliau berkata: “Hingga muncullah Dajjal dalam barisan pasukan mereka.”

(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Dalam riwayat yang lain disebut, “…dan mereka akan terus bermunculan sehingga keluar yang terakhir daripada mereka bersama Dajjal.” Hadis ini menyebut tentang kemunculan golongan Khawarij disepanjang zaman sehingga yang terakhir bersama Dajjal.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recommended
Perpecahan umat Islam di zaman ini telah pun terjadi. Segala…