Biodata Imam Mahdi

Tanda Akhir Zaman

Biodata Imam Mahdi

Imam Mahdi atau Al-Mahdi adalah satu gelaran yang bermaksud ‘orang yang diberi petunjuk’. Perkataan ‘Imam’ sinonim digunakan untuk ulama-ulama Islam yang terkenal seperti para Imam empat mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah. Imam juga merujuk kepada pemimpin dalam agama Islam. Maka, Imam Mahdi seorang pemimpin yang diberi petunjuk.

Imam Ahmad bin Hanbal menamakan gelaran Imam Mahdi kepada khalifah ke-8 kerajaan Bani Umaiyah iaitu Umar bin Abdul Aziz (717-720) yang merupakan mujaddid pada kurun pertama. Namun, Imam Mahdi yang dinanti-nantikan kemunculannya di akhir zaman sebagaimana riwayat telah menyatakan, “Namanya sama dengan namaku (Muhammad) dan nama bapanya sama dengan nama bapaku (Abdullah).”1

Nama Imam Mahdi

Imam Mahdi seorang lelaki Quraisy dan nama penuhnya Muhammad atau Ahmad bin Abdullah daripada keturunan ahli bait. Beliau akan dibaiah menjadi khalifah di antara rukun Kaabah dan maqam Ibrahim sebelum menguasai dunia Arab menuju satu fasa yang baru. Berlangsung pula zaman terakhir akhir zaman yang akan berlaku.

Keyakinan kembalinya khilafah Islamiyah juga mengenai masa depan umat Islam dan manusia seluruhnya. Kebenaran dan keadilan Imam Mahdi akan melenyapkan pemerintahan diktator negara-negara di semenanjung Arab dan mengembalikan pemerintahan ‘khilafah yang tertegak atas jalan kenabian’ sebagaimana zaman Khulafa ar-Rashidin.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Tidaklah dunia akan lenyap sehingga negeri Arab dikuasai oleh seorang lelaki dari ahli baitku yang namanya sama dengan namaku.”

(Hadis Riwayat Ahmad)2

Nasab Keturunan Imam Mahdi

Nasab keturunan Imam Mahdi adalah daripada zuriat Puteri Rasulullah SAW, Fatimah dan Saidina Ali bin Abi Talib. Dalam banyak riwayat merujuk dari jalur keturunan Hassan bin Ali dan Hussain bin Ali. Terdapat juga riwayat dari jalur keturunan Abbas bin Abdul Mutalib, bapa saudara Baginda.

Ini membawa satu makna bahawa Imam Mahdi dari jalur keturunan Hassan sebelah lelaki yang berkahwin dengan keturunan Hussain dan Abbas sebelah perempuan.

Ibnu Qayyim al-Jauziyyah berkata, “Kebanyakkan hadis-hadis menunjukkan bahawa Al-Mahdi adalah anak daripada Hassan bin Ali.” Disebutkan juga dalam hadis bahawa Hassan secara fizikalnya hampir menyerupai Rasulullah SAW di bahagian dada ke atas, manakala Hussain di bahagian dada ke bawah. Tentang keutamaan Hassan disampaikan oleh Baginda di tangannya terletak perdamaian umat Islam selepas perselisihan.

Rasulullah SAW bersabda tentang Hassan bin Ali,

“Sesungguhnya anakku ini adalah seorang sayyid (pemimpin) dan semoga Allah akan mendamaikan di antara dua kelompok besar muslimin dengannya.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

As-Sayyid diberikan kepada orang yang melebihi kaumnya dan berkedudukan di atas mereka. Kata ini digunakan juga untuk pemimpin dan orang yang memiliki keutamaan.3

Nota Hujung   [ + ]

1. Sunan Abu Daud 11: 370.
2. Musnad Ahmad 5: 199 hadis no. 3573.
3. Syarah Riyadhus Shalihin. Terjemahan kitab karya Imam an-Nawawi.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recommended
Keyakinan umat Islam akan berlaku kebangkitan Islam akhir zaman sudah…