Dan sesungguhnya umatku akan menguasai semua bumi yang telah diperlihatkan padaku.

Realiti dunia pada hari ini di zaman musuh-musuh Islam sedang menguasai dunia. Walaupun dihimpit dengan pelbagai fitnah akhir zaman, umat Islam tetap mampu mempertahankan agamanya. Kemenangan Islam adalah perkara yang telah dijanjikan Allah SWT.

Saya amat terkesan dengan kenyataan Sultan Salahuddin al-Ayubi apabila beliau dilihat susah untuk tersenyum, katanya “Bagaimana aku mampu tersenyum sedangkan Masjid al-Aqsa (Palestin) masih dijajah musuh.”

Isu Palestin sering kembali diperkatakan di media dengan penjajahan, kekejaman dan penindasan rejim Yahudi-Zionis. Bermula dengan Deklarasi Balfour dan sehingga tertubuhnya negara Israel di atas tanah jajahan. Setelah sekian lama, tidakkah umat Islam tertanya-tanya “Bilakah kemenangan yang dijanjikan itu akan berlaku?”

Firman Allah dalam surah al-Anfaal (8:73) yang bermaksud,

“…jika kamu (umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar.”

Sesungguhnya kita tidak tahu bila kemenangan atau pertolongan Allah SWT akan datang. Pertolongan Allah SWT itu datang hanya bagi orang yang tetap percaya pada-Nya. Dalam posisi yang lemah, ummah tetap dengan harapan besar bahawa masa depan milik orang-orang yang bertakwa serta yakin. Maka kesabaran dan keyakinan tinggi dalam berjuang itu perlu ada dan diteruskan sepanjang masa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Perumpaan umatku bagaikan hujan, tidak dapat diketahui mana yang lebih baik, di awal atau di akhirnya.”

Sejarah Telah Membuktikan

Sejarah telah membuktikan kemenangan Islam melalui Sultan Saifuddin Qutuz pada tahun 658 H / 1260 M menewaskan penguasaan Mongol dan Tartar. Islam kembali menguasai dunia selepas keruntuhan kerajaan Islam Bani Abbasiyah. Kemegahan dunia Islam beralih kepada sebuah kerajaan Turki Uthmaniyah yang meliputi dua pertiga dunia. Pemerintahan Sultan Sulaiman al-Qanuni telah menguasai tiga benua; Asia, Afrika dan Eropah.

Sultan Sulaiman al-Qanuni pernah berkata, “Aku hamba Allah dan sultan di dunia ini. Melalui kurniaan Allah juga aku menjadi pemerintah umat Muhammad keseluruhannya. Kebesaran Allah dan mukjizat Nabi Muhammad, iaitu Quran adalah sahabat setiaku. Aku adalah Sulaiman yang namanya disebut-sebut dalam khutbah-khutbah di Mekah dan Madinah. Aku Shah kepada Baghdad, Caesar kepada Byzantine dan Sultan kepada Mesir yang menghantar armada laut ke lautan Eropah, Maghribi dan India. Aku adalah sultan yang mengambil mahkota dan takhta Hungary dan menyerahkannya kepada hamba Tuhan yang merendah diri. Voivoda Petru Raresh mengangkat kepalanya memberontak ke atasku, tetapi telapak kaki kudaku memijaknya tenggelam menjadi debu. Aku juga yang menawan tanah Moldavia.”

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Allah SWT telah memperlihatkan bumi kepadaku sehingga aku dapat melihat Timur dan Barat. Dan sesungguhnya umatku akan menguasai semua bumi yang telah diperlihatkan padaku.”

Wallahu A’lam

Ruangan Komen