Maha Suci Allah, sebaik-baik Pencipta.1

Sesungguh Dialah Allah yang tiada tuhan melainkan-Nya, Tuhan yang Maha Pencipta, Yang Mencipta segala yang ada di langit dan di bumi serta apa sahaja yang ada di dunia dan di akhirat. Setiap kejadian selain daripada-Nya yang wujud sama ada di langit mahupun di bumi ialah makhluk ciptaan-Nya.

Sesungguh telah berlalu satu tempoh masa yang tiada makhluk lain melainkan Allah sahaja. Tiada sesiapa yang mengetahui tempoh masa ini melainkan Allah kerana Dia sahajalah dengan sifat kehendak-Nya untuk mencipta dan mewujudkan setiap kejadian ini. Kemudian Allah berkehendak untuk mencipta kejadian ini dengan penuh sempurna, teratur, tersusun dan setiap kejadian itu ada hikmah yang dikehendaki-Nya.

Mana Yang Diciptakan Dahulu?

Perkara ini menjadi khilaf dalam kalangan para ulama. Ada yang menyatakan makhluk pertama yang mula-mula dijadikan adalah ‘Arasy ataupun air berdasarkan hadis sahih riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr, Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah telah menulis takdir sekalian makhluk sebelum Dia menciptakan langit dan bumi selama 50,000 tahun. Ketika itu ‘Arasy-Nya sudah pun berada di atas air.”2

Di sini jelas menunjukkan bahawa kejadian ‘Arasy dan air adalah terdahulu daripada kejadian qalam. Antara ‘Arasy dan air yang mana satu terdahulu diciptakan? Pandangan Al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam kitab Fathul Bari bahawa air telah diciptakan terlebih dahulu daripada ‘Arasy. Kemudian Allah menciptakan air dan ‘Arasy-Nya yang terletak di atas air tersebut, lalu Dia menciptakan langit dan bumi dalam masa enam hari.3

Berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Baqarah (2: 29), penciptaan bumi didahulukan daripada penciptaan langit. Ianya seumpama asas pembinaan yang mana perlu diciptakan tapaknya dahulu sebelum ditinggikan bahagian atas. Ini pandangan oleh Al-Imam Ibnu Kathir di dalam kitab al-Bidayah wa al-Nihayah

Kemudian Allah beristiwa’ (Istiwa’ ialah bersemayam) di atas ‘Arasy-Nya yang selayak bagi-Nya dan keagungan-Nya. Terdapat dalam banyak surah tentang istiwa’ di atas ‘Arasy, antaranya dalam surah; Al-A’raf (7: 54), Yunus (10: 3), Ar-Ra’d (13: 2), Taha (20: 5), Al-Furqan (25: 59), As-Sajdah (32: 4), Al-Hadid (57: 4) dan hadis-hadis sahih tentangnya sangat banyak.

Penulis memilih pendekatan menerima dan beriman, tanpa mentakwil4 dan mensucikan Allah yang terpelihara daripada maksud penyerupaan dengan makhluk. Imam Malik ketika menjawab pertanyaan yang dilontarkan seseorang iaitu: “Allah yang Maha Pengasih di atas ‘Arasy beristiwa’, bagaimana Dia beristiwa’?” Imam Malik menjawab:

“Maksud istiwa’ itu diketahui, bagaimana caranya (kaifiat) pula tidak diketahui, beriman dengannya adalah wajib dan bertanya tentangnya adalah bid’ah. Aku melihat engkau ahli bid’ah.”

Selepas Allah siap menciptakan bumi, lalu Dia mempersiapkan bumi bagi memulakan perjalanan kehidupan jin dan manusia di atas muka bumi selepas itu. Maksudnya Allah mempersiapkan bumi di dalam ruang angkasa lepas yang luas terbentang dalam satu sistem cakerawala suria.

Setiap planet5 yang ada dalam sistem cakerawala suria ini bergerak dalam laluan atau orbitnya yang tersendiri. Kesan daripada pergerakan ini, maka terhasilnya waktu siang dan malam di bumi. Selain itu, Allah juga telah membahagikan bumi kepada dua bahagian iaitu daratan dan lautan. Allah juga menjadikan gunung-ganang sebagai pasak bumi. Kemudian Allah menurunkan hujan dan dengan air hujan itu menumbuhkan pelbagai pokok, tanaman dan tumbuhan yang memerlukannya.

Sesungguhnya, Allah juga telah menciptakan makhluk yang hidup daripada air dengan rupa bentuk yang pelbagai, ada yang berkaki empat, berkaki dua, merangkak dan melata serta hidupan laut. Dialah yang mewujudkan daripada tiada menjadi ada.

Tujuan Penciptaan

Berdasarkan kenyataan yang terkandung dalam ayat-ayat al-Quran, para ahli tafsir menjelaskan bahawa tujuan penciptaan alam semesta ini ialah supaya manusia mengenali Allah SWT yang telah menciptakannya. Manusia diciptakan untuk beribadat kepada Allah yang hanya Dia berhak disembah.

Firman Allah dalam surah Az-Zariyat 51: 56 yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”

Masyhur dalam kalangan awam bahawa Allah tidak akan menciptakan dunia ini melainkan kerana kehadiran Nabi Muhammad SAW. Ia didasarkan dengan sebuah hadis qudsi yang dikatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda melalui firman-Nya:

“Jika tidak kerana engkau (Muhammad), nescaya tidak akan Aku jadikan dunia ini”

Pandangan Para Ulama Mengenai Riwayat Ini

Tokoh hadis yang terkenal seperti al-Zahabi yang telah menilai kembali terhadap hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim menyatakan hadis ini sebagai palsu. Imam Al-Shanghani dan Imam Al-Syaukani menyatakan hadis ini palsu manakala Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani menyatakan hadis ini batil.

Wallahu A’lam

Nota Hujung

Nota Hujung
1 Surah Al-Mu’minun 23: 14
2 Hadis Riwayat Muslim dalam Sahih Muslim, Bab Hujaj Adam wa Musa, no. hadis 2653.
3 Kejadian bumi mengambil masa selama empat hari, manakala langit dalam masa dua hari.
4 Kaedah takwil dan tafwid diiktiraf sebagai metodologi yang sah di kalangan Salaf dan ahli hadis, serta masyhur di kalangan Asya’irah.
5 Bumi, Matahari, Bulan dan lain-lain.

Ruangan Komen