Bedah Buku 5 Fasa Umat Akhir Zaman

Tanda Akhir Zaman

Bedah Buku 5 Fasa Umat Akhir Zaman

Lima Fasa Umat Akhir Zaman

Karya bertajuk Lima Fasa Umat Akhir Zaman adalah buku pertama saya. Saya memulakan a book review atau bedah buku ini dengan memberi gambaran secara ringkas kandungan dalam buku seluruhnya dan juga dari aspek rujukannya. Buku ini merupakan hasil penelitian saya dalam sebuah hadis sehingga menjadi perkembangan idea yang telah disusun secara ilmiah.

Hadis yang menjadi bahan perbincangan dalam penulisan buku ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan dinyatakan hadis hasan oleh Al-Albani dalam Silsilah Al-Ahadits Ash-Shahihah. Hadis ini bertaraf hasan pada sanad dan tidak lari daripada kelemahan pada kekuatan dan kesahihannya. Namun ia menarik perhatian saya kerana apa yang berlaku setiap zaman sesuai dengan teks hadis.

Daripada Nukman bin Basyir, katanya, “Suatu ketika kami sedang duduk-duduk di Masjid Nabawi dan Basyir itu seorang yang tidak banyak bercakap.” Datanglah Abu Saklabah lalu bertanya, “Wahai Basyir bin Saad, adakah kamu hafaz hadis Rasulullah SAW tentang para pemerintah?” Huzaifah RA lalu segera menjawab, “Aku hafaz akan khutbah Rasulullah SAW itu.” Maka duduklah Abu Saklabah al-Khusyna (untuk mendengar hadis berkenaan). Kata Huzaifah RA, Rasulullah SAW telah bersabda:

“Telah berlaku zaman kenabian ke atas kamu. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Dia kehendaki. Kemudian Allah mengangkat zaman itu seperti yang Dia kehendaki. Kemudian berlakulah zaman Khalifah (Khulafa ar-Rasyidin) yang berjalan menurut cara zaman kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki ia berlaku. Kemudian diangkatnya apabila Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian berlakulah zaman pemerintahan yang menggigit (Mulkan Adhan). Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Dia mengangkatnya. Kemudian berlakulah zaman pemerintahan kuku besi (Mulkan Jabariyan). Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Dia mengangkatnya apabila Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian berlakulah Zaman Khalifah (Imam Mahdi) yang berjalan di atas cara hidup zaman kenabian.” Kata Huzaifah RA, “Kemudian Rasulullah SAW diam.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

Keseluruhan hadis ini dalam bentuk kronologi iaitu zaman yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan datang yang akan berlaku. Setiap zaman terdapat peristiwa-peristiwa akhir zaman yang membuktikan kebenaran sabda Baginda dan juga mengenai masa depan umat manusia untuk diteliti. Untuk itu, saya cuba membahas bab per bab.

Pertama: Zaman yang telah berlaku menurut sejarah. Zaman kenabian berakhir dengan kewafatan penutup para nabi dan rasul iaitu Nabi Muhammad SAW. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dzar, disebutkan bahawa jumlah para nabi 124,000 orang dan jumlah para rasul terdapat 313 orang. Menurut riwayat lain jumlah para rasul 315 orang. Jumlah nabi dan rasul yang terdapat dalam al-Quran seramai 25 orang dan hanya lima rasul yang paling utama disebut Ulul Azmi iaitu Muhammad, Ibrahim, Musa, Isa dan Nuh.

Berlaku pula zaman Khulafa ar-Rasyidin selama 30 tahun pemerintahan di bawah empat orang sahabat yang mendapat petunjuk iaitu bermula dengan; Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib. Seterusnya zaman Mulkan Adhan iaitu masa pemerintahan beraja. Antara kerajaan Islam yang terbesar ialah; Bani Umaiyah (661–750 M), Bani Abbasiyah (750–1258 M) dan Turki Uthmaniyah (1289–1924 M).

Saya merujuk pelbagai sumber sejarah untuk menulis mengenai zaman Khulafa ar-Rasyidin dan antara rujukan yang utama buku terjemahan al-Bidayah wan Nihayah oleh Al-Hafiz Ibnu Kathir. Manakala zaman kerajaan-kerajaan Islam bersumber terjemahan kitab Imam As-Suyuthi mengenai sejarah penguasa umat Islam iaitu Tarikh Al-Khulafa’. Terdapat 99 nama para khalifah dan penulis hanya mengambil beberapa nama khalifah yang memberi impak besar sepanjang kerajaan itu berkuasa.

Contohnya Muawiyah bin Abu Sufyan yang merupakan raja pertama kerajaan Bani Umaiyah selepas pemerintahan Khulafa ar-Rasyidin. Kenapa Muawiyah? Kerana keutamaan Muawiyah ditutupi dengan kontroversi yang berpunca daripada perbezaan pendapat dan tidak memberi baiah kepada Ali bin Abi Talib sebagai khalifah. Namanya bukanlah asing dikalangan para sahabat antara sebagai penulis wahyu dan surat-surat Rasulullah SAW. Muawiyah juga sebagai wakil khalifah di Syam selama 20 tahun yang dilantik oleh Khalifah Umar al-Khattab.

Penulis ingin mengajak pembaca membaca sebuah buku Maulana Muhammad Asri Yusuf yang bertajuk ‘Saidina Muawiyah: Khalifah Rashid Yang Teraniaya’. Melalui tajuk buku sahaja sudah memberi gambaran bahawa Muawiyah adalah seorang khalifah yang mendapat petunjuk tetapi difitnah. Penulis juga merujuk buku oleh Dr. Ali Muhammad Ash-Shallabi khusus berkaitan Muawiyah sahaja yang setebal 1000 halaman. Dan saya juga membaca sebuah lagi buku ‘Muawiyah bin Abu Sufyan: Kebenaran Di Sebalik Fitnah’ oleh Sahrulazmi Sidek sebagai rujukan.

Rasulullah SAW pernah berdoa untuk Muawiyah:

“Ya Allah, jadikanlah dia (Muawiyah) orang yang memperoleh petunjuk dan memberi petunjuk.”

(Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Kedua: Zaman yang sedang berlaku. Hari ini sedang berlangsung pemerintahan kuku besi (diktator) iaitu zaman Mulkan Jabariyan. Para penguasa dikenali sebagai Presiden atau Perdana Menteri melalui sistem demokrasi sekular. Berlaku gerakan konspirasi politik dunia merebut kekuasaan pemerintahan khilafah melalui peperangan dan penjajahan. Antara sumber rujukan buku ‘Islam vs Sekularisme’.

Sheikh Hamza Yusuf berpendapat manusia akan kembali meneruskan hidup seperti keadaan zaman pertengahan selepas kemusnahan teknologi moden akibat peperangan besar. Kemungkinan perang Armagedon itu adalah perang dunia ketiga yang disebut-sebut sebagai perang nuklear. Kemusnahan akibat peperangan ini adalah hukuman ke atas perbuatan manusia itu sendiri.

Firman Allah dalam Surah ar-Rum 30: ayat 41 yang bermaksud:

[otw_shortcode_quote border_style”bordered”]

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

[/otw_shortcode_quote]

Buku-buku Akhir Zaman

Ketiga: Zaman yang akan berlaku. Menurut dalil al-Quran dan hadis-hadis akan berlaku pemerintahan khalifah al-Mahdi sebelum berlakunya kiamat. Kemunculan khalifah yang bernama Muhammad bin Abdullah adalah tanda awal akan berlaku 10 tanda besar kiamat. Abdul Haq dalam sebuah makalahnya, beliau yakini tidak terdapat perbezaan pendapat ulama daripada kalangan Ahlus Sunnah dahulu ataupun sekarang. Beliau mengatakan bahawa:

“Munculnya Al-Mahdi itu hanya akan terjadi setelah keluarnya Sufyani dan tindakan kerosakannya di muka bumi, dan masa antara kerosakan yang diperbuat oleh Sufyani dan munculnya Al-Mahdi akan muncul pula bendera-bendera hitam dari Khurasan sebagai pertanda dekatnya kekuasaan Al-Mahdi. Para ulama sepakat bahawa Dajjal tidak akan keluar kecuali setelah kemunculan Al-Mahdi dan ditaklukkannya Konstantinopel serta Romawi. Mereka sepakat bahawa Al-Masih tidak akan kembali turun ke dunia kecuali sesudah keluarnya Dajjal. Mereka sepakat bahawa keluarnya Yakjuj dan Makjuj hanya akan terjadi setelah Al-Masih berhasil membunuh Dajjal.”

Saya membaca berulang kali karya saya ini dan ia memerlukan penambahbaikan melalui penerbitan edisi kemas kini. Mungkin perubahan tidak ketara, tetapi diberikan bahasa baru yang dilunakkan sebahagian ayat-ayat supaya penerimaan pembaca lebih mudah memahami apa yang ingin disampaikan penulis. Demikianlah bedah buku ini, diharapkan karya ini memberi manfaat kepada bakal pembaca semua.

Penutup Lima Fasa Umat Akhir Zaman

Kronologi 5 akhir zaman sehingga hari kiamat bukan kebetulan tetapi kebenaran yang bersumberkan al-Quran dan hadis. Namun, hanya Allah yang mengetahui bagaimana permulaan dan pengakhiran kehidupan dunia ini. Penulis berusaha menyusun setiap tanda-tanda kiamat secara kronologi mengikut tahap kefahaman saya yang tidak terlepas daripada kesilapan. Besar harapan penulis dalam usaha ini untuk mengingatkan umat Islam akan datangnya hari kiamat.

Wallahu A’lam

Lima Fasa Umat Akhir Zaman

Penulis: Irfan Ibrahim
Penerbit: Jootawan Books Sdn Bhd
ISBN: 978-967-13503-4-8
Harga: RM27 (Semenanjung) / RM30 (Sabah & Sarawak)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recommended
Umat Islam akhir zaman yang berusaha mengamalkan agamanya dan menghidupkan…