Bahaya Penyakit Al-Wahan

Tanda Akhir Zaman

Bahaya Penyakit Al-Wahan

Di zaman keempat akhir zaman ini terbentuk sistem pemerintahan sekular yang berpegang pada fahaman pengasingan agama dari semua urusan kehidupan manusia. Falsafah sekular bermula pada tahun 1776 yang diamalkan Amerika Syarikat sebagai negara sekular pertama dan diikuti negara-negara Eropah yang lain.

Sebahagian besar wilayah Islam diperintah oleh barat selepas perang dunia pertama. Penjajahan menimbulkan kesedaran menuntut hak kemerdekaan. Apabila penjajah membebaskan tanah jajahannya, dunia Islam menjadi negara-negara kecil yang mewarisi sistem pemerintahan sekularisme dalam menguruskan negara.

Sekularisme dalam terjemahan ensiklopedia Britain bermaksud, “Satu gerakan kemasyarakatan, bertujuan mengubah dan membimbing rakyat daripada sikap mengutamakan akhirat kepada sikap mengutamakan kehidupan dunia ini semata-mata.” Negara Islam pertama yang mengamalkan perlembagaan sekular ialah Republik Turki pada tahun 1923.

Mustafa Kamal Attartuk menghapuskan sistem khilafah yang digantikan dengan sistem republik dalam pembentukan sebuah negara sekular ‘Republik Turki’. Beliau menjadi Presiden pertama sehingga tahun 1934 dan melaksanakan pensekularan dalam semua sistem pentadbiran, perundangan, pendidikan dan lain-lain.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka.” Maka salah seorang sahabat bertanya, “Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?” Baginda menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu ibarat buih di lautan, dan Allah akan mencabut rasa gerun dari hati musuh-musuh kamu terhadap kamu, dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit ‘Al-Wahan’.” Sahabat bertanya, “Apakah ‘Al-Wahan’ itu, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Cinta dunia dan takut mati.”

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Populasi umat Islam mencapai majoriti berbanding bangsa-bangsa beragama lain tetapi hanya ‘ibarat buih di lautan’ yang menderita penyakit ‘cinta dunia dan takut mati’. Penyakit Al-Wahan ini berpunca dari gabungan dua perkara iaitu; cinta akan kehidupan dunia dan takut akan kematian. Realiti masa kini yang tidak dinafikan bahawa populasi umat Islam terus bertambah setiap tahun. Umat Islam di India sejumlah 177 juta orang yang mencapai populasi kedua terbesar dunia dalam sebuah negara bukan Islam.

Dr. Zakir Naik

Dr. Zakir Naik merupakan seorang pendakwah yang berasal dari India telah mengadakan lebih 2000 sesi forum di seluruh dunia dalam tempoh 20 tahun. Setiap ceramahnya dihadiri ribuan orang dan tidak sedikit orang yang masuk Islam selepas setiap pertanyaan mendapat penjelasan secara ilmiah dengan menggunakan al-Quran, hadis dan perbandingan daripada kitab-kitab agama lain. Meskipun tidak semuanya masuk Islam, beliau telah mencipta trend mengislamkan orang melalui dakwahnya.

Signifikannya sekularisme menjadi punca kepada penyakit Al-Wahan mudah merebak. Falsafah sekular telah melahirkan ideologi-ideologi lain seperti Pluralisme, Liberalisme, Humanisme, Modenisme dan seumpamanya yang merubah nilai Islam sebagai agama Ad-Din. Lebih mengelirukan terdapat penggunaan nama Islam yang digabungkan seperti istilah Islam Liberal. Apabila ini berlaku, umat Islam yang menjadi mangsa kekeliruan.

Sesiapa sahaja akan mengalami penyakit Al-Wahan apabila sudah terpedaya dengan kenikmatan dunia lebih dari tuntutan akhirat, bermakna lalai dengan kehidupan dunia dan tidak membuat persiapan menghadapi kematian. Persediaan untuk ‘hidup selepas mati’ adalah dilakukan semasa hidup sebelum mati.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Perbanyakanlah mengingati sesuatu yang dapat melenyapkan semua nikmat (kematian).”

Dalam hadis yang lain, orang yang mengingati kematian dianggap sebagai ‘Al-Kayyisu‘ iaitu orang yang bijak. Tiada sesiapa yang memilih untuk menjadi bodoh, tetapi penilaian sebenar orang yang bijak dijelaskan seseorang yang beriman dan membuat persiapan sebagai bekalan amalan kebaikan untuk bertemu Allah SWT. Mereka sedia maklum akan peringatan Allah dalam surah Ali Imraan ayat 185, “Dan kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.”

Firman Allah dalam Surah al-Qiamah 75: ayat 20 dan 21 yang bermaksud:

[otw_shortcode_quote border_style”bordered”]Sedarlah wahai orang-orang yang lalai. (Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya. Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan untuk) hari akhirat (yang kekal abadi kehidupannya).[/otw_shortcode_quote]

Umat Islam meneruskan kehidupan di dunia ini sebagai khalifah Allah untuk akhirat bukan melupakan kehidupan akhirat. Orang yang lupa daripada mengingati mati adalah sangat rugi kerana tidak mengimbangi keperluan hidup di dunia dan juga tidak mengambil berat persoalan masa depan akhiratnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recommended
Karya bertajuk Lima Fasa Umat Akhir Zaman adalah buku pertama…