Bahaya Nasionalis Negara Bangsa

Tanda Akhir Zaman

Bahaya Nasionalis Negara Bangsa

Dengan berakhirnya kesultanan kerajaan Islam Turki Uthmaniyah, kepimpinan dunia berpindah ke kuasa-kuasa Barat dan Eropah. Maka, bermula kerajaan-kerajaan Mulkan Jabariyyan menggantikan sistem pemerintahan khilafah dan berlaku perubahan besar dalam dasar pemerintahan negara-negara Islam.

Penjajah British mengikat syarat-syarat tertentu sebelum memberi kemerdekaan Turki dan tidak akan berundur dari Turki kecuali Mustafa Kamal Attartuk memenuhi syarat berikut:

  • Turki harus menghancurkan Khilafah Islamiyah, mengusir khalifah dari Turki dan menyita harta bendanya.
  • Turki harus berjanji untuk menumpaskan setiap gerakan yang akan mendukung Khilafah.
  • Turki harus memutuskan hubungannya dengan Islam.
  • Turki harus memilih perlembagaan sekular sebagai pengganti kepada perlembagaan yang bersumber dari hukum-hukum Islam.

Kenyataan Menteri Luar British membenarkan keadaan yang terjadi di Turki, katanya “Sesungguhnya kita telah benar-benar menghancurkan Turki sehingga Turki tidak akan pernah bangkit kembali setelah itu. Alasannya ialah, kita telah menghancurkan kekuatannya yang tergambar dalam dua hal, iaitu: Islam dan Khilafah.”

Sheikh Abdurrahman Abd Al-Khalik berkata perbezaan keadaan selepas kekuasaan Turki Uthmaniyah berakhir dengan keadaan sebelum adalah seperti;

  • Umat Islam terpecah menjadi beberapa negara berdasarkan letak geografi yang beraneka ragam. Sebahagian besar negara tersebut berada di bawah kekuasaan musuh Islam yang kafir, iaitu: Inggeris, Perancis, Itali, Belanda dan Rusia.

  • Di setiap negara tersebut, kaum kafir telah melantik ‘penguasa boneka’ dari kalangan penduduk pribumi yang bersedia tunduk kepada mereka. Para penguasa tersebut adalah orang-orang yang siap-sedia untuk mentaati perintah kaum kafir tersebut dan sanggup menjaga kestabilan negaranya.

  • Kaum kafir segera mengganti undang-undang dan peraturan Islam yang diterapkan di tengah-tengah rakyat dengan undang-undang dan peraturan kufur milik mereka.

  • Kaum kafir segera mengubah kurikulum pendidikan untuk mencetak generasi-generasi baru yang meyakini pandangan hidup Barat dan sebaliknya, memusuhi akidah dan syariat Islam.

  • Khilafah Islamiyah dihancurkan secara total, sementara perjuangan untuk mengembalikan dan mendakwahkannya dianggap sebagai tindakan jenayah yang dapat dijatuhkan hukuman oleh undang-undang.

  • Harta kekayaan dan potensi alam milik umat Islam telah dirampas oleh penjajah kafir. Mereka telah mengeksploitasi kekayaan alam tersebut dengan cara yang sangat buruk sekaligus menghinakan umat Islam dengan sangat hina.

Nasionalis Dan Negara Bangsa

Allah mengutus Nabi Muhammad sebagai rahmat kepada alam dan seluruh umat manusia, bukan hanya kepada umat tertentu. Syariat Islam yang bersumber al-Quran dan hadis sentiasa sesuai dengan realiti setiap zaman dan tempat. Kehadiran Islam bersifat universal melintasi sempadan negara dan bangsa. Nabi Muhammad SAW bukanlah seorang yang memperjuangkan bangsa mahupun negara.

Umat Islam memerintah negara sendiri yang mempunyai kedaulatan sendiri atau dalam erti kata lain sebuah negara bangsa yang membentuk bangsa baru dengan disatukan melalui ikatan bahasa, budaya dan nilai-nilai yang sama. Sebuah negara bangsa melahirkan kesatuan bangsa itu untuk taat setia dan menjadi pembentukan integrasi, nasionaliti, nasionalisme, patriotisme dan demokrasi.

Nasionalis seseorang yang mencintai negara dan bangsanya. Cintakan negara tidak menyalahi syariat Islam, tetapi tidak bertepatan dengan syariat jika perasaan cintakan negara diletakkan di tempat paling tinggi. Ini kerana seorang nasionalis hanya berjuang demi mempertahankan negara sahaja bukan membela agama.

Umat Islam mempertahankan negara demi membela agama dan memastikan syariat Islam berjalan sepenuhnya dalam mentadbir sesebuah negara. Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin berkata, “Seseorang yang berperang hanya untuk membela negaranya sahaja, maka dia bukanlah syahid. Kewajipan sebagai muslim dan tinggal di dalan negara Islam adalah berperang demi Islam yang ada di dalam negara.”1

Firman Allah dalam Surah Al-Hujuraat 49: ayat 10 yang bermaksud:

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara…

Makna ayat ‘bersaudara’ itu cukup besar dalam al-Quran. Seorang Muslim adalah saudara bagi seluruh Muslim di setiap penjuru dunia dan tidak ada beza antara satu dengan lain. Tanyakan pada diri, sejauhmana dapat dirasakan dalam hati terhadap saudara seagama yang dizalimi.

Liga Arab

Seandainya 22 negara anggota dalam Liga Arab2 bersatu atas nama Islam mempertahankan negara Palestin yang mana rakyatnya adalah saudara seagama mereka, sudah pasti konflik berdarah kekejaman Yahudi-Zionis terhadap rakyat Palestin akan berakhir. Mereka dengan anggapan negera sendiri dan nasib negara Palestin adalah masalah negara tersebut.

Imam Ibnu Jauzi menyebutkan tentang Jihad menjadi fardhu ‘ain apabila musuh menyerang sebahagian wilayah kaum Muslimin, maka penduduk wilayah yang diserang wajib melawan. Jika mereka tidak mampu mengatasinya, maka wajib atas kaum Muslimin yang terdekat dengan mereka untuk membantu. Jika ternyata juga tidak teratasi, maka wajib bagi segenap kaum Muslimin memberikan bantuan hingga musuh dapat diatasi.

Nota Hujung   [ + ]

1. Syarah Riyadh al-Salihin
2. Negara-negara anggota Liga Arab adalah seperti berikut: Algeria, Arab Saudi, Bahrain, Comoros, Djibouti, Mesir, Iraq, Jordan, Kuwait, Lubnan, Libya, Mauitania, Maghribi, Oman, Palestin, Qatar, Somalia, Sudan, Syria, Tunisia, UAE, Yaman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recommended
Soalan: Agama Islam diturunkan untuk membawa Rahmat. Persoalannya kenapa negara…