Hadis yang dinamakan Hadis Jibril ini diriwayatkan oleh Umar al-Khattab RA juga dikenali dengan Hadis Ummu as-Sunnah.

Daripada Umar al-Khattab RA, beliau berkata:

“Ketika kami berada di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba datanglah seorang lelaki yang berpakaian sangat putih, yang memiliki rambut sangat hitam, tidak kelihatan padanya tanda perjalanan jauh, tidak ada seorang pun di antara kami yang mengenalinya. Lalu dia duduk di hadapan Rasulullah SAW, merapatkan kedua lututnya pada lutut Baginda dan meletakkan tangannya di atas paha Baginda.”1

Antara faedah yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan yang diperlukan oleh penuntut ilmu menurut hadis ini ialah:

Pertama: Berpakaian sangat putih

Mengisyaratkan pakaian terbaik bagi penuntut ilmu ialah pakaian putih kerana ia menggambarkan kebersihan serta disukai oleh guru ketika melihatnya. Ataupun maksudnya digalakkan memakai pakaian yang bersih.

Penuntut ilmu hendaklah membersihkan hati daripada perkara-perkara yang boleh menghalangnya dalam menuntut ilmu bagi memudahkan penerimaan ilmu dan mengingatinya.

Kedua: Tersangat hitam rambutnya

Mengisyaratkan bahawa penuntut ilmu itu sebaiknya ketika masih muda kerana kebiasaannya yang rambutnya masih hitam itu adalah orang muda.

Hendaklah seorang penuntut ilmu merebut kesempatan untuk menuntut ilmu sementara masih mempunyai waktu lapang ketika kurangnya kesibukan yang ditanggung pada usia muda dan masih diberikan kekuatan badan yang sihat.

Ketiga: Tidak kelihatan tanda-tanda permusafiran

Mengisyaratkan bahawa penuntut ilmu itu berada dalam keadaan suci bersih tidak berbau yang tidak menyenangkan ketika menuntut ilmu, tidak terurus atau keletihan dan sebagainya seperti keadaan seorang yang bermusafir.

Bermakna, hendaklah seorang penuntut ilmu menghilangkan kekotoran yang terdapat pada dirinya dengan memakai pakaian yang bersih dan suci, berwudhu dan lengkap bersugi, memotong kuku dan datang dalam keadaan kemas.

Ke-4: Tidak seorang pun yang mengenalinya

Mengisyaratkan seorang penuntut ilmu itu sangat fokus kepada ilmu dan pengajiannya bukannya sibuk mengenal orang lain atau ingin dikenali. Amanah yang perlu ditunaikan penuntut ilmu adalah keutamaan kepada pengajian ilmunya.

Ke-5: Duduk di hadapan Nabi

Mengisyaratkan bahawa penuntut ilmu itu datang kepada gurunya, bukan sebaliknya. Maka, sesenorang yang ingin menuntut ilmu hendaklah mencarinya bukan ilmu itu yang datang mencarinya.

Imam Malik bin Anas pernah berkata, “Sesungguhnya ilmu itu didatangi, bukan mendatangi.” Ucapan ini merupakan respon Imam Malik ke atas permintaan Khalifah Harun ar-Rasyid supaya kedua-dua anaknya untuk datang menuntut ilmu dengan Imam Malik.

Ke-6: Merapatkan lututnya bertemu lutut Nabi

Mengisyaratkan penuntut ilmu biarlah duduk di depan, dekat dengan gurunya. Duduk berhampiran dengan guru supaya dapat mendengar pengajian dan memahami pembelajaran dengan lebih sempurna.

Namun, tempat duduknya hendaklah di tempat yang dikhaskan untuk para pelajar sahaja, tidak melampaui ketinggian tempat duduk gurunya.

Ke-7: Meletakkan tapak tangannya di atas paha Nabi

Mengisyaratkan penuntut ilmu itu duduk tetap dalam keadaan diam bukannya bergerak ke sana sini. Ini menunjukkan adanya adab antara penuntut ilmu apabila berhadapan dengan guru supaya dapat mendengar dengan penuh perhatian untuk menerima apa yang disampaikan.

“Pelajarilah adab sebelum mempelajari sesuatu ilmu.”2

Penuntut ilmu mestilah sentiasa berusaha untuk menghias dirinya dengan akhlak yang baik berkenaan adab yang perlu diambil perhatian semasa menuntut ilmu. Akhlak mulia adalah maruah pada diri setiap individu. Oleh itu, adab dan akhlak mulia merupakan tuntutan bagi setiap umat Islam, bukan hanya keutamaan kepada penuntut ilmu sahaja.

Apabila malaikat Jibril mendatangi manusia ia dapat berubah bentuk seperti manusia. Dalam keseluruhan teks hadis ini malaikat Jibril bertanyakan kepada Rasulullah SAW persoalan-persoalan agama tentang Islam, Iman, Ihsan dan pada bahagian akhir sebagaimana yang terkandung di dalam hadis terdapat juga persoalan tentang tanda-tanda kiamat.

Dapatlah difahami bahawa mereka yang mempelajari ilmu tentang akhir zaman atau tanda-tanda kiamat bermakna telah mengambil tahu persoalan agamanya.

Nota Hujung

Nota Hujung
1 Hadis Riwayat Muslim
2 Hilyatul Auliya’ 6/330

Ruangan Komen