Apabila Amanah Dipegang Oleh Bukan Ahlinya

“Apabila suatu urusan itu diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat.”

Oleh Penulis Akhir Zaman

Setiap urusan itu adalah amanah Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya, maka Allah meminta supaya manusia memilih dan menyerahkan setiap urusan kepada ahlinya yang berhak menerima amanah.

Dalam urusan kehidupan manusia seperti seorang pemimpin negara, hakim, mufti adalah menuntut setiap ahlinya bertanggungjawab memutuskan sesuatu keputusan atau tindakan yang akan dilakukan. Kesalahan dan kekurangan dalam melaksanakan amanah ini adalah khianat bagi orang yang bukan ahlinya.

Daripada Abu Hurairah RA, berkata; Pada suatu ketika, Nabi SAW sedang berkhutbah dengan orang ramai, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi bertanyakan kepadanya,

“Bilakah datangnya kiamat?” Rasulullah SAW tidak menjawabnya, malah meneruskan perbicaraannya dengan orang ramai. Kerana sikap Rasulullah SAW yang demikian, sebahagian daripada para sahabat mengatakan Baginda mendengar pertanyaan itu tetapi tidak menyukainya. Dan setengah lagi mengatakan Baginda tidak mendengarnya. Setelah Rasulullah SAW selesai berbicara, tiba-tiba Baginda bertanya, “Di mana orang yang bertanya bilakah kiamat tadi?” Arab Badwi tersebut menyahut, “Saya, Ya Rasulullah SAW” Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Ketika amanah disia-siakan, maka tunggulah datangnya kiamat itu.” Ia bertanya lagi, “Bagaimana yang dikatakan amanah itu disia-siakan?” Jawab Rasulullah SAW, “Apabila suatu urusan (umat Islam) itu diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat.”
Salah satu tanda akhir zaman adalah apabila suatu amanah atau urusan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya. Tanda ini sangat jelas dapat dilihat pada zaman sekarang. Berapa ramai orang yang memegang jawatan-jawatan penting bukanlah yang paling layak, sedangkan masih terdapat orang lain yang lebih layak untuk jawatan tersebut.

Amanah dan tanggungjawab seorang pemimpin itu besar dan kerana itu juga tidak semua para sahabat Baginda layak dalam urusan ini. Seorang sahabat bernama Abu Zhar al-Ghifari pernah menyatakan hasratnya supaya memberikan jawatan kepadanya, tetapi Nabi Muhammad SAW menolak permintaan tersebut.

Rasulullah SAW menepuk bahu Abu Zhar dengan tangannya dan bersabda,

“Wahai, Abu Zhar. Sesungguhnya engkau lemah dan sesungguhnya hal ini adalah amanah, dan ia merupakan kehinaan dan penyesalan pada hari kiamat, kecuali orang yang mengambilnya dengan haknya, dan menunaikannya (dengan sebaik-baiknya).”
Rasulullah SAW tidak memenuhi permintaan Abu Zhar kerana menganggapnya lemah dalam urusan itu. Sifat amanah tidak menjadi persoalan dalam diri Abu Zhar tetapi kelemahan menurut Baginda adalah kerana beliau tidak mempunyai kekuatan atau kemampuan yang sepenuhnya dengan jawatan kepimpinan.

Peristiwa Saqifah menyaksikan perselisihan tercetus atas dasar mencari Khalifah pengganti Rasulullah SAW yang ideal demi kebaikan ummah. Abu Bakar as-Siddiq mencadangkan Abu Ubaidah al-Jarrah dan Umar al-Khattab sebagai pengganti, namun Abu Ubaidah tidak menerima cadangan itu. Abu Ubaidah dan Umar mencadangkan Abu Bakar berdasarkan kelayakan yang ada padanya dan membuat pengakuan taat setia.

Amanah Dan Keadilan
Allah SWT menciptakan manusia dengan dua komposisi, iaitu akal dan nafsu di dalam diri manusia. Ada dua kemungkinan boleh berlaku sama ada akal itu memimpin nafsu atau nafsu yang memimpinnya. Dalam tubuh manusia, setiap anggota saling berhubungan dan memainkan peranan masing-masing.

Hati adalah raja dalam kerajaan diri manusia, maka yang harus seseorang lakukan adalah menjaga hati. Jika hati sudah baik, tentu perilaku lahirnya juga akan baik sebagai pemimpin.

Mereka yang dilantik menjadi pemimpin negara perlulah melaksanakan kekuasaan dengan seadilnya. Sesunggunya termasuk antara golongan yang mendapat naungan Allah di akhirat adalah pemimpin yang berlaku adil.

Imam al-Ghazali telah menggariskan dasar-dasar keadilan bagi seseorang pemimpin iaitu mengenali nilai kuasa kerana ia merupakan satu nikmat yang boleh membawa kebahagian dunia dan akhirat, mendapat nasihat dan pandangan daripada ulama, jangan biarkan kejahatan berlalu bergitu sahaja tanpa sebarang langkah, menjauhkan sifat takbur dan sombong, menjatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahan, jangan biasakan diri mengikut hawa nafsu, jalankan pengurusan dengan lembut dan dalam mencari keredhaan rakyat, sebarang tindakan hendaklah selaras dengan syarak.

Recommended
Kemenangan Terbesar Islam Akan Tiba Realiti dunia pada hari ini…
Open chat