Antara Kiamat Besar Dan Kiamat Kecil

Hari kiamat adalah satu kepastian. Bicara perihal kiamat besar ini, sama ada peristiwa itu sudah dekat ataupun masih lagi jauh bukanlah menjadi persoalan yang perlu difikirkan. Waktu yang sebenar atau tepat berlakunya kiamat tidak diketahui tetapi yang pasti tidak boleh sama sekali mengingkarinya.

Rasulullah SAW sering menyebut tentang kiamat dan tanda-tandanya, maka persoalan tentang hari kiamat ini sering ditanya oleh sahabat Baginda tentang bila waktu terjadinya kiamat. Apa yang lebih utama seharusnya difahami secara jelas dalam konteks keimanan dan keyakinan dalam perkara ghaib yang dikhabarkan oleh Nabi Muhammad SAW adalah bersifat umum dan tiada garis masa tertentu.

Ini bertujuan sebagai ‘peringatan’ agar semua manusia tidak lalai daripada mempersiapkan diri saat berlakunya hari kiamat ataupun berhadapan dengan sakaratul maut.

Daripada Aisyah berkata:

“Apabila orang Arab Badwi datang bertemu dengan Rasulullah SAW, mereka akan bertanya tentang hari kiamat: Bilakah berlakunya hari kiamat?” Baginda melihat kepada orang yang paling muda dalam kalangan mereka lalu Baginda bersabda: “Apabila budak ini masih hidup dan belum sempat mencapai usia tua, maka kiamat kamu akan terjadi.”1

Dalam riwayat al-Bukhari salah seorang perawi hadis ini telah menjelaskan makna ‘kiamat kamu’ iaitu Hisham telah berkata, “Iaitu kematian mereka.” Ini bermaksud Rasulullah SAW memberikan isyarat bahawa kematian iaitu kiamat kecil lebih hampir daripada kiamat besar.

Jelas daripada hadis ini yang lebih utama adalah mempersiapkan diri menghadapi kematian. Dalam kitab tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran, Al-Qurtubi berkata bahawa perkataan ‘kematian’ didahulukan daripada perkataan ‘kehidupan’ kerana kematian itu lebih dekat.

Penghujung kehidupan manusia di dunia ialah kematian tidak kira di mana seseorang itu berada atau dalam apa jua keadaan sekalipun. Persoalannya, adakah kita telah membuat persiapan sekiranya saat kematian itu datang?

Daripada Anas bin Malik RA, beliau mengatakan bahawa seseorang telah datang menemui Nabi Muhammad SAW dan bertanya, “Bila hari kiamat akan terjadi?” Rasulullah bertanya kembali, “Bagaimana engkau persiapkan diri untuk menghadapinya?” Orang itu menjawab, “Aku belum mempersiapkan amal untuk menghadapi hari tersebut dengan memperbanyakkan solat, puasa dan sedekah. Tetapi, aku benar-benar cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.” Mendengar ini Rasulullah bersabda:

“(Kalau begitu) engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai.”2

Maksud hadis ini, jika seseorang itu sesungguhnya mencintai Allah dan dan Rasullah SAW, dia pasti mengikuti petunjuk al-Quran dan as-Sunnah. Tanda cinta harus ada bukti perbuatan dengan mengamalkan apa yang diperintahkan dan meninggalkan setiap perkara yang dilarang.

Allah berfirman yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mencintai Allah maka ikutilah (sunnah/petunjuk) aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”3

Imam Ibnu Katsir mentafsirkan maksud ayat ini berkata, “Bagi setiap orang yang mengaku mencintai Allah, akan tetapi dia tidak mengikuti jalan (sunnah) Rasulullah SAW, maka dia adalah orang yang berdusta dalam pengakuan tersebut.” Seseorang yang mencintai Baginda akan beramal dengan sunnahnya.

Kelebihan bagi orang yang mencintai Baginda akan mendapat kesempurnaan iman dan dianugerahi kemanisan iman. Maka mudahlah bagi orang yang mencintai itu mendapat rahmat daripada Allah SWT. Semoga kita bersama dengan Rasulullah SAW, para sahabat Baginda dan para ulama di alam akhirat kelak.

Wallahu A’lam

Nota Hujung

Nota Hujung
1 Hadis Riwayat Muslim (7598)
2 Hadis Riwayat Muslim
3 Surah Ali ‘Imran 3:31

Ruangan Komen