12 Orang Khalifah Bukan Imam

“Agama Islam ini akan sentiasa mulia sehinggalah kepada 12 orang Khalifah.”

Oleh Penulis Akhir Zaman

Daripada Jabir bin Samurah ra, Rasulullah SAW bersabda:
“Agama Islam ini akan sentiasa mulia sehinggalah kepada 12 orang Khalifah. Kemudian Baginda mengucapkan perkataan yang aku tidak faham, lalu aku beryanya kepada ayahku tentang ucapan Baginda. Lalu dia berkata: Semuanya (Khalifah itu) adalah daripada Quraish.”
Hadis ini memberikan khabar gembira akan adanya 12 orang khalifah yang menegakkan kebenaran dengan berlaku adil. Namun, tiada kesepatan para ulama dalam menentukan peribadi 12 orang Khalifah tersebut. Al-Imam Ibnu Hajar mengatakan,
“Aku tidak menemukan seorang pun yang mengetahui secara pasti erti dari hadis ini.”

Hadis ini tidak memastikan kedatangan 12 orang khalifah itu secara berturut-turut. Ibnu Hajar dalam kitabnya Fath al-Bari menjelaskan terdapat tiga pandangan mengenai siapakah 12 khalifah yang dimaksudkan.

Pandangan Pertama
Dalam tempoh tertentu setelah kewafatan Rasulullah SAW akan terdapat 12 orang khalifah yang berjuang mendaulatkan agama Islam.

Pandangan Kedua
Menurut Abu al-Husain bin al-Munadi, 12 orang khalifah ini datang setelah munculnya Imam Mahdi. Kesemua khalifah ini bangun menegakkan agama Allah SWT.

Pandangan Ketiga
Dalam tempoh kewujudan Islam di muka bumi ini akan terdapat 12 orang khalifah yang bangun mendaulatkan agama Islam.

Apa yang pasti maksud hadis daripada pandangan-pandangan ini adalah kesinambungan pemerintahan Islam (khilafah) selepas kenabian berakhir. Sebahagian ulama telah mencatatkan yang dimaksudkan 12 orang khalifah itu adalah, pemerintahan Khulafa ar-Rasyidin dan yang terakhir Hassan bin Ali ra melengkapkan pemerintahan Khulafa ar-Rasyidin.

Seterusnya Muawiyah bin Abu Sufyan merupakan raja pertama dalam kerajaan Islam Bani Umaiyah. Abdullah bin Zubair dilantik sebagai khalifah di atas kerajaan yang dibinanya sendiri di Hijaz yang tidak bersetuju pelantikan Yazid sebagai khalifah menggantikan Muawiyah.

Khalifah seterusnya ialah Umar bin Abdul Aziz yang ulama sepakat mengatakan beliau mujaddid pada kurun pertama. Dan beberapa orang dari keturunan al-Abbas (Kerajaan Abbasiyah). Yang terkahir itu adalah al-Mahdi sebagaimana dalam banyak hadis kedatangannya di akhir zaman.

Para khalifah yang 12 orang itu bukanlah 12 orang imam yang diyakini oleh golongan Syiah Rafidhah. 12 orang imam menurut mereka adalah, Ali bin Abu Talib, Hassan bin Ali, Hussain bin Ali, Ali bin Hussain, Muhammad Al-Baqir bin Ali bin Hussain, Jaafar As-Sadiq bin Muhammad Al-Baqir, Musa Al-Kazim bin Jaafar As-Sadiq, Ali Ar-Ridha bin Musa Al-Kazim, Muhammad Al-Jawad bin Ali Ar-Ridha, Ali Al-Hadi bin Muhammad Al-Jawad, Hassan Al-Askari bin Ali Al-Hadi, Muhammad bin Hassan Al-Askari.

Recommended
Ulama Penyelamat Manusia Daripada Kesesatan Peranan Ulama dalam ummah adalah…
Open chat