Tanda Pertama Kiamat

Tanda Akhir Zaman

Tanda Pertama Kiamat

Tanda pertama kiamat ialah diutuskan nabi dan rasul terakhir. Siapakah nabi dan rasul yang dimaksudkan? Nabi dan rasul akhir zaman dan tidak ada nabi lain setelahnya adalah Nabi Muhammad SAW. Para ulama menjelaskan dengan diutuskan Rasulullah SAW antara petanda kedatangan hari kiamat.

Muhammad bin Abdullah diangkat menjadi nabi dan rasul melalui perantaraan malaikat Jibril yang menyampaikan wahyu daripada Allah SWT. Baginda menerima wahyu pertama ayat 1-5 surah al-Alaq dalam bulan Ramadhan pada tahun ketiga mengasingkan diri di sebuah gua bernama Hira’.

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, dengan memberikan isyarat menggunakan jari telunjuk dan jari tengah:

“Waktu aku diutus (menjadi rasul) dan waktu kiamat adalah seperti ini.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini dengan jelas memberitahu kaitan kenabian Muhammad SAW dan dekatnya hari kiamat kerana isyarat dua jari tangan iaitu antara jari telunjuk dan jari tengah itu bersebelahan. Nabi Muhammad SAW telah wafat pada tahun 632 M sehingga hari ini sudah pastinya kiamat semakin dekat dan tidak pernah jauh.

Di dalam sebuah hadis daripada Auf bin Malik RA, beliau berkata Rasulullah SAW telah bersabda:

“Hitunglah enam perkara di ambang kiamat, iaitu kematianku…”

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Dengan kewafatan Baginda, maka terputuslah wahyu Allah SWT dan berakhirlah zaman kenabian yang bermula daripada Nabi Adam AS. Ketahuilah, sesiapa yang mengaku menjadi nabi selepas daripada kewafatan Nabi Muhammad SAW adalah pendusta kerana agama Islam telah pun sempurna pada kenabian Muhammad SAW.

Firman Allah dalam Surah al-Ahzab 33: ayat 40 yang bermaksud:

[otw_shortcode_quote border_style”bordered”]…dia adalah Rasulullah dan kesudahan segala Nabi-nabi.[/otw_shortcode_quote]

Al-Qurthubi berkata, “Tanda kiamat yang pertama adalah diutusnya Rasulullah SAW, kerana Baginda adalah nabi akhir zaman dan tiada lagi nabi antara Baginda dan hari kiamat.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *