Pewaris Nabi Setiap Zaman

Tanda Akhir Zaman

Pewaris Nabi Setiap Zaman

Berdasarkan hadis al-ulama’ warasatul anbiya’ adalah ahli ilmu selepas kewafatan Nabi SAW. Ulama sebagai pewaris nabi kerana warisan para nabi itu agama, maka ulama adalah orang yang mempunyai autoriti keagamaan dalam menyampaikan agama selepas mereka. Para ulama pula mewarisi ilmu yang bermanfaat bagi umat Islam melalui penulisan kitab-kitab yang jumlahnya sangat banyak.

Daripada Abu Darda’, dia berkata pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda,

“Sesungguhnya para ulama’ adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewarisi dinar dan tidak pula dirham, namun mewariskan ilmu. Sehingga sesiapa yang telah mengambilnya, bererti telah mengambil bahagian yang sempurna.”

(Hadis Riwayat Abu Daud)1

Sumbangan para ulama sejak zaman berzaman dari sudut kesungguhan usaha mereka belajar2 dan mengajar, menuntut ilmu dengan membaca dan menelaah, menulis ilmu dan mengamalkan keilmuannya. Kehidupan ulama sentiasa terlihat dalam keadaan mengikuti agama sesuai dengan apa yang dikehendaki al-Quran dan hadis dengan baik dan benar.

Imam as-Syafie (150 – 204 H) atau nama sebenar beliau Muhammad bin Idris tergolong dalam ulama salaf. Beliau membaca dan memahami kitab al-Muwatta’ karya Imam Malik bin Anas (93 – 179 H) yang mengandungi hadis-hadis Rasulullah SAW. Beliau juga menghafal kitab tersebut sebelum berguru secara langsung dengan Imam Malik di Madinah. Sebelum mencapai tahap mujtahid mutlak3 yang merumuskan aliran mazhabnya sendiri, beliau terlebih dahulu mengikuti mazhab Maliki.

Sebelum Imam as-Syafie mendalami ilmu hadis, beliau telah mengaji al-Quran ketika di Mekah. Beliau menerima pengajian al-Quran yang mempunyai sanad bersambung daripada Ubai bin Kaab RA dan sampai kepada Rasulullah SAW. Ubai pernah berkata kepada Umar al-Khattab RA, “Sesungguhnya aku menerima al-Quran dari orang yang menerimanya dari Jibril dalam keadaan asli.” Ibnu Abbas, Abu Hurairah dan ramai lagi mengambil bacaan daripada Ubai kerana beliau mengaji terus dengan Baginda Nabi SAW.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Belajarlah al-Quran daripada empat orang; Abdullah bin Mas’ud, Salim Maula Abi Huzaifah, Ubai bin Ka’ab dan Muaz bin Jabal.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Dalam kehidupan Ubai bersama Rasulullah SAW, Baginda pernah bertanya kepadanya, “Ayat manakah yang paling mulia?” Ubai membacakan ayat 255 dalam surah al-Baqarah yang bermaksud, “Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya)…” Baginda kemudian bersabda, “Semoga kamu dikurniakan ilmu, Ya Abu al-Mundzir (iaitu Ubai).”4

Allah berfirman dalam surah al-Mujaadalah, ayat 11 yang bermaksud:

[otw_shortcode_quote border_style”bordered”]…Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama beberapa darjat.[/otw_shortcode_quote]

Anak-anak murid Ubai bin Kaab di Madinah yang terkenal sebagai pentafsir al-Quran antaranya Zaid bin Aslam, Abu al-‘Aliyah dan ramai lagi dalam kalangan ulama tabiin. Umar mengakui tentang pengetahuan Ubai terhadap al-Quran, katanya “Sesiapa yang hendak menanyakan tentang al-Quran datangilah Ubai bin Kaab.” Beliau meninggal dunia di Madinah pada tahun 19 atau 20 H.

Bermula dengan ulama zaman para sahabat, kesinambungan sumber ilmu yang disampaikan oleh Rasulullah SAW diwarisi oleh generasi pada zaman berikutnya dan sehingga ke zaman kelahiran mazhab-mazhab. Imam Abu Hanifah (Mazhab Hanafi), Imam Malik bin Anas (Mazhab Maliki), Imam as-Syafie (Mazhab Syafie) dan Imam Ahmad bin Hanbal (Mazhab Hambali).

sumber-ilmu-imam-4-mazhab

Diriwayatkan daripada Abdullah Ibnu Mas’ud RA dia berkata, “Manusia itu sentiasa berada dalam kebaikan selama ilmu (agama) yang datang kepada mereka itu daripada sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW dan daripada orang-orang yang terdahulu daripada mereka.”

Ketika Imam Abu Hanifah, pengasas Mazhab Hanafi meninggal dunia pada tahun 150 H dan lahir pula Imam as-Syafie pada tahun yang sama. Peristiwa ini telah mendorong perawi-perawi mengatakan bahawa, “Telah wafat seorang imam dan lahir pula imam yang lain.” Sehingga ada sesetengah perawi mengatakan Imam as-Syafie dilahirkan pada malam kematian Imam Abu Hanifah.

Daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash, dia berkata pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan ilmu daripada dada manusia, tetapi kehilangan ilmu adalah disebabkan Allah mematikan ulama’. Apabila tiada lagi ulama’ manusia melantik pemimpin daripada kalangan orang yang jahil. Apabila diminta fatwa, mereka mengeluarkan fatwa yang sesat lagi menyesatkan.”

(Muttafaq ‘Alaih)

Nota Hujung   [ + ]

1. Diriwayatkan oleh Abu Daud (3641), at-Tirmidzi (3682), Ibnu Majah (223), dll.
2. Berusaha untuk memperoleh ilmu dengan yang lebih ahli.
3. Penguasaan berbagai bidang ilmu keislaman berkaitan al-Quran dan hadis dan mempunyai metodologi ijtihad sendiri.
4. Sahih Muslim no. 810, Sunan Abu Daud no. 1460.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recommended
Mukjizat merupakan salah satu cara membuktikan kenabian. Oleh kerana itu,…