Para Dajjal Sebelum Dajjal Hakiki

Tanda Akhir Zaman

Para Dajjal Sebelum Dajjal Hakiki

Golongan Nabi Palsu telah wujud sejak zaman pemerintahan Rasulullah SAW lagi, antaranya yang dikenali di kalangan umat Islam adalah Musailamah Al-Khazzab dan Aswad Al-Ansi. Fenomena kemunculan nabi-nabi palsu akan tetap berlangsung sehingga akhir zaman kerana sesungguhnya salah satu tanda dari tanda-tanda dekatnya kedatangan kiamat ialah muncul orang-orang yang mengaku mendapat wahyu dan mengisytiharkan dirinya sebagai utusan Allah.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak akan terjadi kiamat sehingga munculnya para Dajjal si pembohong yang jumlahnya hampir mencapai 30 orang. Masing-masing mengaku diri mereka adalah rasul (utusan) Allah.”

(Hadis Riwayat Muslim)1

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Ketika aku sedang tidur, aku melihat dalam mimpi dua gelang emas berada di tanganku. Kedua-duanya menyusahkan fikiran aku. Lalu diwahyukan kepadaku: ‘Tiuplah kedua-duanya.’ Aku lalu meniupnya, kedua-dua gelang emas itu pun terbang jauh. Aku mentakwilkan bahawa kedua-dua itu ialah dua orang pendusta besar setelahku; salah satunya al-Ansi dan yang lain ialah Musailamah.”

(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)2

Nabi-nabi palsu tidak hanya mengaku sebagai nabi, malah turut memainkan peranan menyebarkan dakwah ajarannya sehingga mempunyai ramai pengikut. Jumlah 30 orang nabi palsu yang dinyatakan dalam hadis seakan-akan sudah melebihi kerana ramainya yang mendakwa sebagai nabi sepanjang zaman. Namun yang dimaksudkan 30 orang ialah nabi palsu yang mempunyai jumlah pengikut yang sangat ramai sebagaimana Dajjal yang akan muncul dengan jumlah pengikut yang sangat ramai.

Allah tidak mengutuskan seorang nabi dan rasul melainkan dari kalangan kaum lelaki, tetapi setelah Rasulullah SAW wafat muncul pula seorang wanita mengaku sebagai nabi. Namanya Sajjah binti Al-Harith bin Suwaid merupakan nabi palsu wanita yang dinikahi oleh Musailamah Al-Khazzab. Nabi palsu wanita ini bukan yang pertama dan terakhir. Dalam hadis dinyatakan terdapat empat nabi palsu itu adalah wanita.

Diriwayatkan daripada Hudzaifah RA, ia mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Di tengah umatku ada para pendusta, pembohong berjumlah 27. Empat dari mereka adalah wanita. Aku adalah penutup para Nabi, tiada nabi setelahku.”3

Nabi-nabi palsu akan menerima balasan akibat dusta yang telah mereka cipta sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat Al-Quran.

Firman Allah dalam Surah al-An’am, ayat 93 yang berkaitan dengan masalah ini, maksudnya:

[otw_shortcode_quote border_style”bordered”]Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang membuat kedustaan terhadapat Allah atau yang berkata: “Telah diwahyukan kepada saya,” padahal tidak ada diwahyukan sesuatu pun kepadanya, dan orang yang berkata: “Saya akan menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah.” Alangkah dahsyatnya sekiranya kamu melihat di waktu orang-orang yang zalim (berada) dalam tekanan-tekanan sakaratulmaut, sedang para malaikat memukul dengan tangannya, (sambil berkata): “Keluarkanlah nyawamu.” Di hari ini kamu dibalas dengan penyiksaan yang sangat menghinakan, kerana kamu selalu menyatakan terhadap Allah (perkataan) yang tidak benar dan (kerana) kamu selalu menyombongkan diri terhadapt ayat-ayatNya.[/otw_shortcode_quote]

Nota Hujung   [ + ]

1. Hadis sahih Muslim jilid 4, no. 2474 dan Bukhari Kitabul Manaqib, Bab ‘Alamatun Nubuwwah fil Islam.
2. Bukhari: Kitab Al-Manaqid, no. 3621 dan Muslim: Kitab Rukya, no. 5935.
3. Musnad Ahmad, 5/396.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recommended
Setiap urusan itu adalah amanah Allah kepada hamba-hambaNya, maka Allah…