Orang Yang Bukan Ahlinya

Tanda Akhir Zaman

Orang Yang Bukan Ahlinya

Setiap urusan itu adalah amanah Allah kepada hamba-hambaNya, maka Allah meminta supaya manusia menyerahkan setiap amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya). Dalam urusan sesama manusia seperti seorang pemimpin negara, hakim, mufti adalah menuntut keadilan dalam memutuskan sesuatu keputusan atau tindakan yang dilakukan. Kesalahan dan kekurangan dalam melaksanakan amanah ini adalah khianat bagi orang yang bukan ahlinya.

Salah satu tanda akhir zaman dan dekatnya kiamat adalah apabila suatu amanah atau urusan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya. Tanda ini sangat jelas dapat dilihat pada zaman sekarang. Berapa ramai orang yang memegang jawatan-jawatan penting bukanlah yang paling layak untuk jawatan tersebut sedangkan pada masa yang sama masih ada orang lain yang lebih layak.

Daripada Abu Hurairah RA, berkata; Pada suatu ketika, Nabi SAW sedang berkhutbah dengan orang ramai, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi bertanyakan kepadanya,

“Bilakah datangnya kiamat?” Rasulullah SAW tidak menjawabnya, malah meneruskan perbicaraannya dengan orang ramai. Kerana sikap Rasulullah SAW yang demikian, sebahagian daripada para sahabat mengatakan Baginda mendengar pertanyaan itu tetapi tidak menyukainya. Dan setengah lagi mengatakan Baginda tidak mendengarnya. Setelah Rasulullah SAW selesai berbicara, tiba-tiba Baginda bertanya, “Di mana orang yang bertanya bilakah kiamat tadi?” Arab Badwi tersebut menyahut, “Saya, Ya Rasulullah SAW” Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Ketika amanah disia-siakan, maka tunggulah datangnya kiamat itu.” Ia bertanya lagi, “Bagaimana yang dikatakan amanah itu disia-siakan?” Jawab Rasulullah SAW, “Apabila suatu urusan (umat Islam) itu diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Amanah dan tanggungjawab seorang pemimpin itu besar dan kerana itu juga tidak semua sahabat layak dalam urusan ini. Peristiwa Saqifah menyaksikan perselisihan tercetus atas dasar mencari pengganti yang ideal demi kabaikan umat. Abu Bakar as-Siddiq mencadangkan Abu Ubaidah al-Jarrah1 dan Umar al-Khattab, namun Abu Ubaidah menolak cadangan itu dan dicadangkan pula Abu Bakar. Umar juga mencadangkan Abu Bakar berdasarkan kriteria yang ada pada beliau sebelum membuat pengakuan taat setia.

Abu Zhar al-Ghifari pernah menyatakan hasratnya melalui Rasulullah supaya memberikan jawatan kepadanya, tetapi Baginda menolak permintaan tersebut. Rasulullah SAW menepuk bahu Abu Zhar dengan tangannya dan bersabda,

“Wahai, Abu Zhar. Sesungguhnya engkau lemah dan sesungguhnya hal ini adalah amanah, dan ia merupakan kehinaan dan penyesalan pada hari kiamat, kecuali orang yang mengambilnya dengan haknya, dan menunaikannya (dengan sebaik-baiknya).”2

Rasulullah SAW tidak memberikan jawatan kepimpinan dan menganggap Abu Zhar lemah kerana ciri-ciri kelayakan tidak wujud sepenuhnya. Sifat amanah tidak menjadi persoalan dalam diri Abu Zhar kerana dia seorang sahabat yang zuhud3 tetapi kelemahan menurut Nabi dia tidak mempunyai kekuatan atau kemampuan berkaitan jawatan itu. Sesungguhnya Nabi SAW melarang dari meminta jawatan kepimpinan4 dan melarang memberi jawatan kepada orang yang memintanya.

Menjadi Antara Dua Pemimpin

Mereka yang dilantik menjadi pemimpin negara perlulah melaksanakan tugas dengan adil. Kekuasaan pemimpin yang adil akan membawa kehidupan rakyat mendapat rahmat dan negara dalam kesejahteraan. Allah sangat dekat dengan pemimpin yang adil hingga ketika pada hari yang tidak ada naungan kecuali naunganNya dalam kehidupan akhirat nanti, antara golongan yang mendapat naungan Allah adalah pemimpin yang adil.

Dari Abdullah bin Umar RA berkata, Rasulullah SAW telah bersabda,

“Sesungguhnya para pemimpin yang adil, di sisi Allah akan berada di atas mimbar yang terbuat dari cahaya. Mereka akan berada di sebelah kanan Dzat Yang Maha Pemurah, dan kedua tangannya juga berada disebelah kananNya. Mereka itulah orang-orang yang berlaku adil terhadap ketentuan hukum, rakyat, dan terhadap kekuasaan yang dilimpahkan kepada mereka.”

Keutamaan tersebut hanya kepada mereka yang memiliki satu daripada tujuh ciri5 iaitu adil dalam hak-hak yang berhubung dengan sesama manusia. Mereka adalah orang-orang yang menyeru kepada kebenaran dan keadilan, berhukum di antara manusia dengan adil6 iaitu dengan al-Quran yang diturunkan. Janganlah pula kebencian kepada sesuatu golongan menyebabkan seseorang tidak berlaku adil.

Allah berfirman dalam surah al-Maaidah, ayat 8 yang bermaksud,

[otw_shortcode_quote border_style”bordered”]…hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan.[/otw_shortcode_quote]

Imam al-Ghazali telah menggariskan dasar-dasar keadilan bagi seseorang pemimpin iaitu mengenali nilai kuasa kerana ia merupakan satu nikmat yang boleh membawa kebahagian dunia dan akhirat, mendapat nasihat dan pandangan daripada ulama, jangan biarkan kejahatan berlalu bergitu sahaja tanpa sebarang langkah, menjauhkan sifat takbur dan sombong, menjatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahan, jangan biasakan diri mengikut hawa nafsu, jalankan pengurusan dengan lembut dan dalam mencari keredhaan rakyat, sebarang tindakan hendaklah selaras dengan syarak.

Kesimpulan

Setiap manusia adalah pemimpin, walaupun tidak menjadi pemimpin kepada orang lain, seorang itu adalah pemimpin terhadap dirinya sendiri. Ibu bapa memegang amanah untuk membesarkan anak-anak menjadi seorang yang taat kepada Allah dan anak pula memegang amanah untuk menjaga nama baik ibu bapa, mendoakan kebaikan ke atas mereka. Begitulah setiap orang yang mempunyai tanggungjawab masing-masing untuk menunaikan amanah mereka.

Ibnu Umar meriwayatkan daripada Nabi Muhammad SAW pernah bersabda,

“Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua perlu bertanggungjawab. Seorang lelaki adalah pemimpin keluarganya dan dia perlu bertanggungjawab. Seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan dia perlu bertanggungjawab. Seorang hamba adalah pemimpin harta tuannya dan dia perlu bertanggungjawab. Ketahuilah, kamu semua pemimpin dan kamu semua perlu bertanggungjawab.”

Allah menciptakan manusia dengan dua komposisi, iaitu akal dan nafsu di dalam diri manusia. Ada dua kemungkinan boleh berlaku sama ada akal itu memimpin nafsu atau nafsu yang memimpinnya. Dalam tubuh manusia, terdapat banyak anggota yang saling berhubungan dan memainkan peranan masing-masing. Hati adalah raja dalam kerajaan diri manusia, maka yang harus seseorang lakukan adalah menjaga hati. Jika hati sudah baik, tentu perilaku lahirnya juga akan baik sebagai pemimpin.

Nota Hujung   [ + ]

1. Diberi gelaran Aminul Ummah, “Sesungguhnya setiap umat mempunyai pemegang amanah, dan pemegang amanah umat ini adalah Abu Ubaidah.”
2. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Al-Imarah.
3. Seseorang yang soleh dan dalam hidupnya tidak dikuasai oleh kemewahan dan keseronokan dunia.
4. Rasulullah SAW bersabda, “Kami tidak akan memberi jawatan pemerintahan kepada orang yang meminta dan orang yang bercita-cita untuk mendapatkannya.”
5. Tujuh golongan dalam naungan Allah.
6. Firman Allah dalam surah an-Nisaa’, ayat 58 yang bermaksud, “…dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recommended
Bumi ini diamanahkan kepada manusia untuk diurus tadbirkan mengikut apa…