Mukaddimah TandaKiamat.com

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

TandaKiamat.com yang sedang di layari ini adalah sebuah laman blog yang membawa para pembaca menyelami peristiwa penting dalam kehidupan manusia iaitu berkaitan kiamat dan tanda-tandanya. Tanpa disedari tanda-tanda itu berlaku dalam kehidupan seperti peristiwa biasa. Kehidupan di akhir zaman ini sudah pasti tidak jauh dari peristiwa-peristiwa akhir zaman yang sudah pasti berlaku. Percaya kepada hari Kiamat termasuk dalam salah satu rukun iman. Nabi Muhammad SAW telah menyampaikan perihal terjadinya hari Kiamat dalam khutbah yang pertama di bukit Safa. Ia menunjukkan bahawa pengetahuan tentangnya sangat penting diketahui umat manusia tetapi mereka tetap tidak memerhatikan.

Allah berfirman dalam surah al-Israa’, ayat 44 yang bermaksud:

Langit yang tujuh dan bumi serta semua makhluk yang ada di dalamnya, sentiasa mengucap tasbih kepada Allah. Dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memujiNya, akan tetapi kamu tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.

Segala sesuatu yang berada di bumi ini sentiasa bertasbih kepada Allah. Semua binatang melata yang ada merupakan umat seperti umat manusia yang mempunyai bahasa sendiri antara mereka. Tanpa manusia melihat dan menyedari bahawa seluruh makhluk tunduk dan patuh kepada fitrah yang Allah tetapkan. Dalam surah an-Nuur, ayat 41 yang bermaksud, “Masing-masing telah sedia mengetahui akan cara ibadat dan tasbihnya…” Sesungguhnya mereka memperbanyakkan tasbihnya pada hari Jumaat kerana takut akan berlaku Kiamat pada hari itu kecuali jin dan manusia.

Hadis sahih yang diriwayatkan Abu Daud dalam Sunannya, Rasulullah SAW bersabda,

“Tidaklah ada satu binatang melatapun dimuka bumi ini melainkan ia cemas ketakutan menanti berlaku Kiamat pada hari Jumaat ini ketika masuk waktu subuh sehingga terbitnya matahari, kecuali jin dan manusia.”

Manusia sering lalai dan sibuk dengan urusan dunia sehingga lupa urusan tentang datangnya hari Kiamat. Allah sudah memberikan peringatan dalam surah al-Anbiyaa’, ayat 1 kepada semua umat manusia bahawa sesungguhnya telah hampir hari perhitungan segala perbuatan dilakukan mereka. Dalam firman tersebut, “…sedang mereka dalam kelalaian, tidak hiraukan persediaan baginya.” Rasulullah SAW memberikan isyarat mengenai datangnya hari Kiamat pada hari Jumaat.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda,

“Sebaik-baik hari di mana matahari terbit ialah hari Jumaat. Pada hari itu Adam AS diciptakan. Pada hari itu Adam AS dimasukkan ke dalam syurga dan di hari itu juga Adam AS keluar dari syurga, dan tidaklah terjadi hari Kiamat kecuali pada hari Jumaat.”

Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda “Pada hari itu (Jumaat) terjadi tiupan sangkakala dan pada hari itu terjadi kebinasaan semua makhluk.” Jadi pada hari Jumaat akan berlaku tiupan sangkakala yang mematikan semua makhluk dan tiupan sangkakala yang akan membangkitkan. Hanya dua peristiwa yang sangat besar ini yang belum terjadi. Peristiwa-peristiwa lain sudah terjadi pada hari Jumaat berdasarkan hadis-hadis yang disampaikan Rasulullah SAW, antaranya;

  • Allah SWT menciptakan Adam AS
  • Adam AS memasuki syurga
  • Adam dan Hawa turun dari syurga
  • Adam AS diterima taubatnya
  • Adam AS meninggal dunia di bumi

Semua peristiwa-peristiwa ini pasti akan terjadi seperti dalam ilmu Allah SWT.

Penulis memilih setiap artikel baru akan dikeluarkan dua kali dalam seminggu iaitu pada setiap hari Isnin dan Jumaat sebagai wadah untuk sama-sama menilai kebenaran hadis dan semakin hampir dengan kiamat. Pemilihan hari Jumaat adalah menurut penulis sesuai dengan hari tersebut yang merupakan hari akan berlaku kiamat. Besar harapan penulis dalam usaha ini untuk mengingatkan semua hari Jumaat dan kiamat. Semakin hari adalah semakin hampir menuju hari kiamat.