Khalifah Dan Amanah Allah

Tanda Akhir Zaman

Khalifah Dan Amanah Allah

Bumi ini diamanahkan kepada manusia untuk diurus tadbirkan mengikut apa yang ditetapkan oleh Allah selaku empunya bumi. Allah menamakan manusia sebagai khalifah (pengganti) kerana mereka menjadi wakil Allah di muka bumi (khalifah fil ardhi) dalam menegakkan undang-undang Islam kepada semua manusia. Kenapa manusia menjadi makhluk pilihan Allah sebagai khalifah? Allah SWT terlebih dahulu mengetahuinya sebelum penciptaan manusia lagi.

Allah menjawab dalam firmanNya yang bermaksud,

[otw_shortcode_quote border_style”bordered”]Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.1[/otw_shortcode_quote]

Manusia sebagai khalifah yang maksudnya pengganti bagi menggantikan makhluk yang telah musnah, iaitu jin yang wujud di bumi sebelum manusia. Sejarah manusia di muka bumi ini bermula dengan Adam AS yang dikenali sebagai ‘bapa manusia’ dan seluruh keturunan umat manusia telah menerima wahyu2 melalui rasul yang diutus untuk setiap umat3 tersebut. Dan ada rasul yang diberikan kekuasaan dan kerajaan seperti Nabi Daud dan Nabi Sulaiman.

Kerasulan Muhammad SAW telah menutup zaman kenabian kerana tidak ada lagi nabi selepas daripadanya. Persoalan pertama selepas kewafatan Rasulullah SAW adalah siapa antara para sahabat yang lebih layak menduduki posisi pengganti dalam urusan pemerintahan. Pelantikan Abu Bakar as-Siddiq di Saqifah Bani Sa’idah sebagai pemimpin umat Islam adalah selari dengan kehendak Allah dan rasulNya berdasarkan kepada keutamaannya.

  • Abu Bakar yang pertama kali masuk Islam dari kalangan lelaki dewasa
  • Abu Bakar sentiasa mendampingi Nabi dan bersama Nabi melakukan hijrah ke Madinah
  • Abu Bakar sebagai mertua Nabi dari anaknya Aisyah dan nasab keturunannya bertemu dengan Nabi dari datuknya, Murrah bin Ka’ab bin Lu’ai
  • Abu Bakar ditunjuk menggantikan Nabi menjadi imam dalam solat

Khalifah Rasulullah

Abu Bakar merupakan kesinambungan amanah Allah yang ditinggalkan Rasulullah SAW dalam memimpin ummah dan menggelar dirinya sebagai ‘Khalifah Rasulullah’. Gelaran itu adalah kerana kelayakan Abu Bakar memegang amanah tersebut. Dalam ucapan selepas pelantikan Abu Bakar sebagai khalifah, berkata “Taatilah aku selama aku mentaati Allah dan RasulNya. Jika aku mengingkari keduanya, maka tiada ketaatan untukku.”

Pemimpin yang tidak melaksanakan hak yang diamanahkan, tidak berhak memperoleh kemuliaan dan gelaran khalifah perlu digugurkan daripada dirinya. Bukan setiap manusia itu layak dengan sendirinya adalah khalifah, walaupun pada hakikatnya manusia secara umum4 sebagai khalifah, namun pengertian khalifah bagi manusia ialah melaksanakan tugas khalifah tersebut. Justeru, dalam konteks ini manusia yang layak menjadi Khalifah Rasulullah adalah yang menguasai dan memerintah berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah.

Khalifah adalah kekuasaan yang paling besar dan paling tinggi. Ibnu Khaldun menjelaskan tugas khalifah iaitu menegakkan agama dan mentadbir dunia mengikut hukum syariat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Jawatan ini disandang oleh empat orang sahabat5 Rasulullah dari tahun 11 H sehingga 40 H yang dikenali melalui gelaran Khulafa ar-Rasyidin al-Mahdiyin. Mereka adalah para sahabat yang terpilih dan terbaik sebagai khalifah yang memelihara agama dan mentadbir dunia.

Abu Bakar membuat keputusan untuk melantik pengganti tempatnya dalam pemerintahan. Abdul Rahman bin Auf, Uthman bin Affan dan sahabat-sahabat lain diminta pandangannya. Mereka menyifatkan Umar al-Khattab yang menjadi pilihan Abu Bakar itu sememangnya layak menggantikannya. Uthman diarahkan menjadi saksi yang menulis wasiat pelantikan khalifah selepas Abu Bakar mendapat persetujuan. Umar menggantikan kedudukan Abu Bakar sebagai khalifah melalui wasiat bertulis tersebut.

Allah berfirman dalam surah an-Nisaa’, ayat 58 yang bermaksud,

[otw_shortcode_quote border_style”bordered”]Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)…[/otw_shortcode_quote]

Amirul Mukminin

Umar al-Khattab meneruskan pemerintahan khalifah dengan gelaran Khalifah Khalifah Rasulullah (pengganti penggantinya Rasulullah). ‘Amr bin al-‘Ash berkata, “Kami adalah orang-orang beriman (Mukminin), dan engkau adalah pemimpin (Amir) kami.” Amirul Mukminin dijadikan panggilan sebagai ganti dari panggilan sebelumnya dan yang pertama kali mendapat sebutan itu.

Khalifah dan Amirul Mukminin adalah istilah-istilah yang digunakan seseorang pemimpin umat Islam. Jamak daripada khalifah ialah khulafa. Manakala, gelaran imam merupakan suatu gelaran yang diberikan oleh ahli Fiqh al-Syiah kepada khalifah keempat iaitu Ali bin Abi Talib.

Kesimpulan

Khulafa ar-Rasyidin yang kelima menurut Dr. Yusuf Al-Qaradhawi yang mengambil pandangan Sufyan ats-Tsauri, “Sesungguhnya jumlah para khulafa itu ada lima, mereka adalah Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan Umar bin Abdul Aziz.” Pernyataan ini dibawa bagi menunjukkan pada zaman pemerintahan Umar memerlukan dua tahun lima bulan empat hari untuk memimpin dengan keadilan dan dapat dirasakan oleh rakyatnya seperti keadaan khalifah yang empat.

Umar bin Abdul Aziz mewarisi kekhalifahan sebelumnya yang jauh dari keadilan dan dekat dengan kezaliman.

Nota Hujung   [ + ]

1. Surah al-Baqarah, ayat 30.
2. Firman (kalam) Allah yang dibacakan kepada nabi dan rasulNya yang disampaikan sama ada melalui malaikat Jibril ataupun tanpa melaluinya.
3. Allah berfirman dalam surah al-Nahl, ayat 36 “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul…”
4. “Sesungguhnya Aku akan menciptakan khalifah di muka bumi.” Yang dimaksudkan dengan khalifah dalam ayat 30 dalam surah al-Baqarah adalah Adam dan keturunannya, bukan hanya Adam. Menurut Al-Qurtubi, Adam hanyalah sebagai contoh makhluk yang dinamakan sebagai manusia.
5. Abu Bakar, Umar al-Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recommended
Alam barzakh adalah tempat persinggahan antara kehidupan dunia dan akhirat…