Bilakah Agama Islam Bermula?

Tanda Akhir Zaman

Bilakah Agama Islam Bermula?

Agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan rasul-rasul sebelumnya adalah agama Islam. Agama semua nabi dan rasul hanyalah satu yakni tidak ada agama melainkan Islam yang diwahyukan dari langit. Islam bererti menyerahkan diri kepada Allah SWT. Dengan Islam sahaja, umat manusia ini akan selamat dan mendapat keredhaan Allah.

Allah berfirman dalam surah al-Maidah, ayat 3 yang bermaksud:

[otw_shortcode_quote border_style”bordered”]Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu…[/otw_shortcode_quote]

Allah telah menyempurnakan agama membawa maksud, Islam itu telah lengkap dan tiada keperluan penambahan syariat dan hukum baru dalam agama sehingga hari Kiamat. Nabi Muhammad SAW adalah Khatamun Nabi yang melengkapkan agama Islam. Baginda diutuskan bagi membenarkan setiap ajaran agama sebelumnya dan membetulkan penyelewengan, penambahan dan kesesatan yang berlaku.

Semua agama Samawi merupakan sebuah rangkaian agama dari Allah iaitu Islam. Semua para nabi dan rasul memiliki perkaitan antara satu sama lain. Semenjak Nabi Adam AS dan seterusnya hingga Nabi Muhammad SAW telah bermula Islam tetapi berbeza berdasarkan syariat1 dan hukum yang sesuai pada setiap zaman, suasana dan generasi.

Ketika Allah berfirman ‘aslim’ kepada Nabi Ibrahim AS yang bermakna berserah dirilah, maka Ibrahim pun menjawab ‘aslamtu’ iaitu aku berserah diri. Dan Baginda telah mewasiatkan agama ini kepada anak-anaknya, begitu juga Nabi Yaakub AS turut berwasiat kepada anak-anaknya, katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam.” sebagaimana terdapat di dalam ayat al-Quran.2

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Semua nabi bersaudara daripada satu ayah berlainan ibu, sedangkan agama mereka satu (sama). Aku adalah orang paling dekat dengan Isa putera Maryam kerana di antara aku dan dia tidak diselangi oleh seorang nabi pun. Dan sesungguhnya dia akan turun ke bumi.”3

Yang dimaksudkan dengan ungkapan ‘satu ayah berlainan ibu’ ialah bahawa akidah para nabi itu satu, sedangkan syariat mereka berbeza-beza. Dan banyak lagi dalil al-quran dan hadis menunjukan bahawa agama semua nabi dan rasul adalah agama Islam, tidak ada seorang pun dari mereka yang membawa agama selain Islam.

Tidak Ada Agama Kecuali Islam

Nabi Isa AS kembali turun ke bumi menjadi penguasa yang berhukum dengan syariat Nabi Muhammad SAW. Semua agama tidak diterima pada ketika itu kecuali Islam kerana telah jelas kebenaran. Inilah masanya bagi ahli kitab untuk menerima agama Islam kerana Baginda tidak menerima agama selain dari Islam dan mereka yang menolaknya, berhak untuk dibunuh.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda tentang tindakan yang dilakukan Nabi Isa AS setelah turun ke dunia,

“Dia akan membunuh manusia yang menentang Islam, kemudian dia akan menghancurkan salib, membunuh babi, dan menghapuskan jizyah. Pada masanya, Allah akan membinasakan semua agama, kecuali agama Islam.”

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Tidak ada lagi ahli kitab yang tinggal bersama kaum Muslimin kerana semuanya saudara seagama. Maka, dengan itu hukum membayar jizyah bagi orang bukan Islam terbatal.

Firman Allah dalam surah an-Nisa’, ayat 159 yang bermaksud:

[otw_shortcode_quote border_style”bordered”]Dan tidak ada seorang pun dari kalangan ahli Kitab melainkan ia akan beriman kepada Nabi Isa sebelum matinya dan pada hari kiamat kelak Nabi Isa akan menjadi saksi terhadap mereka.[/otw_shortcode_quote]

Kalimah Tauhid Itu Penyelamat

Islam dibina atas lima4 perkara, salah satu daripanya menyebut dua kalimah syahadah yang mengandung akidah dan syariat dengan melafazkan “Aku bersaksi tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan aku bersaksi Muhammad adalah utusan Allah.” Semua nabi dan rasul menyeru umat kepada seruan yang sama, iaitu LAA ILAAHA ILLALLAAH5.

Tauhid kepada Allah adalah akidah Islam. Kalimah tauhid ini terdiri dari empat perkataan yang dimulakan dengan penafian iaitu Laa (tiada) Ilaaha (tuhan), disusuli dengan penegasan Illa (melainkan) Allah (dinisbahkan sebagai nama sebenar Tuhan) yang disembah dengan sebenarnya.

  • Laa Ilaaha Illallaahu Aadamu Shafiyyullaah
  • Laa Ilaaha Illallaahu Nuuhun Najiyyullaah
  • Laa Ilaaha Illallaahu Ibraahiimu Khalilullaah
  • Laa Ilaaha Illallaahu Ismaaiilu Zabiihullaah
  • Laa Ilaaha Illallaahu Muusaa Kaliimullaah
  • Laa Ilaaha Illallaahu Daauudu Khaliifatullaah
  • Laa Ilaaha Illallaahu Iisaa Ruuhullaah
  • Laa Ilaaha Illallaahu Muhammadu Rasuulullaah

Firman Allah dalam surah al-Anbiyaa’, ayat 25 yang bermaksud:

[otw_shortcode_quote border_style”bordered”]Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: “Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku.”[/otw_shortcode_quote]

Antara tanda-tanda kiamat yang akan terjadi pada akhir zaman adalah al-Quran akan diangkat daripada hati manusia sehingga tidak ada satu ayat pun yang tertinggal dan ketika itu manusia sudah tidak tahu apa erti solat, puasa, sedekah dan sebagainya. Bahkan, mereka tidak tahu apa makna kalimah tauhid Laa Ilaaha Illallaah.

Daripada Huzaifah bin al-Yaman RA berkata, Rasulullah SAW bersabda,

“Yang tinggal hanyalah beberapa kelompok manusia, orang-orang tua lelaki dan perempuan. Mereka hanya mampu berkata, ‘Kami mendengar nenek moyang kami pernah mengucapkan kalimah Laa Ilaaha Illallaah, lalu kami pun mengucapkannya juga.'”

Bertanya Shilah bin Zufar (perawi hadis daripada Huzaifah), “Wahai Huzaifah, apa gunanya mereka mengucapkan kalimah ini (Laa Ilaaha Illallaah), sedangkan mereka tidak mengerti solat, puasa, sedekah dan ibadah?”

Mendengar pertanyaan ini, Huzaifah diam tidak menjawab. Shilah pun mengulangi pertanyaan yang sama sebanyak tiga kali. Kemudian, Huzaifah menjawab, “Wahai Shilah, kalimah itu dapat menyelamatkan mereka daripada api neraka.” (Huzaifah mengatakan jawapan itu tiga kali)

(Hadis Riwayat Ibnu Majah)6

Nota Hujung   [ + ]

1. Firman Allah dalam surah al-Maidah, ayat 48 yang bermaksud: Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing)…
2. Surah al-Baqarah, ayat 132
3. Musnad Ahmad 2: 406. Ibnu Hajar al-Asqalani berkata, “Sanadnya sahih.”
4. Daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda, “Islam dibina atas lima perkara; persaksian tidak ada Tuhan yang disembah dengan benar melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan haji di Baitullah.”
5. Dalam Syarah Al-Aqidah At-Tahawiyyah mengatakan, “Ini adalah kalimah tauhid yang diseru oleh semua rasul.”
6. Syeikh Hamud at-Tuwaijiri, Itihaf Al-Jama’ah bi Maja’a fi Al-Fitan wa Al-Malahim wa Asyrat As-Sa’ah, jilid I, ms. 401.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recommended
Dawlah Islamiyah atau Islamic State (IS) dikenali sebagai Islamic State…