Bila Bermula Akhir Zaman?

Tanda Akhir Zaman

Bila Bermula Akhir Zaman?

Akhir Zaman bermula sejak kelahiran hingga kerasulan Nabi Muhammad SAW. Baginda adalah nabi yang waktu diutus kepada umatnya hingga terjadi kiamat (nabiyussa’ah) dan kematiannya adalah tanda pertama telah hampir datangnya hari kiamat.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hambal di dalam kitab Al-Musnad, fasa akhir zaman umat Muhammad terbahagi kepada 5 fasa.

Daripada Nukman bin Basyir, katanya, “Suatu ketika kami sedang duduk-duduk di Masjid Nabawi dan Basyir itu seorang yang tidak banyak bercakap.” Datanglah Abu Saklabah lalu bertanya, “Wahai Basyir bin Saad, adakah kamu hafaz hadis Rasulullah SAW tentang para pemerintah?” Huzaifah RA lalu segera menjawab, “Aku hafaz akan khutbah Rasulullah SAW itu.” Maka duduklah Abu Saklabah al-Khusyna (untuk mendengar hadis berkenaan). Kata Huzaifah RA, Rasulullah SAW telah bersabda:

“Telah berlaku zaman kenabian ke atas kamu. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Dia kehendaki. Kemudian Allah mengangkat zaman itu seperti yang Dia kehendaki. Kemudian berlakulah zaman Khalifah (Khulafa ar-Rasyidin) yang berjalan menurut cara zaman kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki ia berlaku. Kemudian diangkat-Nya apabila Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian berlakulah zaman pemerintahan yang menggigit (zaman fitnah). Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Dia mengangkatnya. Kemudian berlakulah zaman pemerintahan kuku besi (zaman diktator). Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Dia mengangkatnya apabila Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian berlakulah Zaman Khalifah (Imam Mahdi) yang berjalan di atas cara hidup zaman kenabian.” Kata Huzaifah RA, “Kemudian Rasulullah SAW diam.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

Zaman Yang Telah Berlaku

Menurut sejarah telah berlaku zaman kenabian bermula dengan penurunan Adam yang ditinggikan darjatnya menjadi nabi yang pertama. Turunnya Nabi Adam AS dari syurga ke dunia bersama Hawa membentuk keturunan umat manusia dan bermulalah sejarah seluruh umat manusia di muka bumi adalah daripada keturunan mereka.

Kenabian berakhir dengan kewafatan penutup para nabi dan rasul iaitu Nabi Muhammad SAW. Berlaku pula zaman para sahabat yang mendapat petunjuk, iaitu Khulafa ar-Rasyidin di bawah empat orang sahabat bermula dengan; Abu Bakar, Umar al-Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib.

Seterusnya zaman kerajaan yang menggigit (Mulkan Adhan) iaitu masa pemerintahan beraja dan Muawiyah bin bin Abu Sufyan merupakan raja pertama kerajaan Islam Bani Umaiyah. Generasi tiga kurun yang pertama para sahabat, tabi’in dan tabi’ut tabi’in yang disebut sebagai sebaik-baik umat Islam.

Zaman Yang Sedang Berlaku

Zaman keempat sedang berlaku iaitu pemerintahan kuku besi (Mulkan Jabariyan) dengan para penguasa yang bersifat diktator sehingga berlaku al-Haraj (huru-hara) yang membenarkan kedatangan hari kiamat semakin dekat.

Zaman Yang Akan Berlaku

Zaman yang dinanti-nantikan iaitu pemerintahan khilafah terakhir seorang khalifah bernama Muhammad bin Abdullah yang mengikut cara zaman kenabian. Khalifah al-Mahdi akan mengusai dunia sebelum terjadi tanda-tanda besar kiamat. Terdapat 10 tanda besar kiamat dan yang pertama ialah keluarnya Dajjal.

Hari yang dijanjikan berlakunya kiamat selepas semua tanda-tanda kiamat berlaku. Dan akan bermula pula alam akhirat yang kekal selamanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recommended
Salah satu tanda akhir zaman dan dekatnya kiamat adalah masa…