10 Tanda Besar Kiamat – Berlaku Secara Berturutan

Tanda Akhir Zaman

10 Tanda Besar Kiamat – Berlaku Secara Berturutan

Tanda besar kiamat ialah petanda yang belum berlaku dan ia akan berlaku sebelum terjadinya kiamat. Berlakunya tanda besar kiamat menunjukkan kiamat sangat dekat kerana ia berlaku secara berturutan dan tidak terputus-putus. Terdapat 10 tanda besar kiamat sepertimana yang terdapat dalam dua hadis berikut.

Daripada Hudzaifah bin Usaid al-Ghiffari RA, beliau berkata:

Rasulullah SAW pernah muncul di hadapan kami ketika kami sedang berbincang-bincang. Lalu baginda bertanya: “Apakah yang sedang kamu bincangkan?” Para sahabat menjawab: “Kami sedang membincangkan As-Sa’ah (hari kiamat).” Baginda SAW bersabda:

“Sesungguhnya kiamat itu tidak akan datang sehingga kami melihat sepuluh tanda sebelumnya iaitu asap, Dajjal, binatang dari perut bumi, terbitnya matahari dari barat, turunnya Isa Ibnu Maryam, Yakjuj dan Makjuj, tiga gempa bumi iaitu di timur, barat dan Jazirah Arab dan yang terakhir ialah keluarnya api dari Yaman yang menggiring manusia ke tempat berkumpul mereka.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Dalam riwayat yang lain daripada sahabat yang sama, Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya kiamat itu tidak akan datang sehingga terjadi sepuluh tanda iaitu gempa bumi di timur, barat dan Jazirah Arab, keluarnya asap, Dajjal, binatang dari perut bumi, Yakjuj dan Makjuj, terbitnya matahari dari barat, keluarnya api dari lembah Adn yang menggiring manusia dan yang kesepuluh ialah turunnya Isa Ibnu Maryam.”

Kedua-dua hadis sahih ini mempunyai dua lafaz yang berbeza urutan tanda-tandanya sahaja. Dr. Yusuf bin Abdullah bin Yusuf al-Wabil menyebut bahawa yang disebutkan dalam hadis-hadis hanyalah penyebutan secara keseluruhan, tanpa menyebutkan urutannya (menurut kejadianya).

Keluarnya Dajjal, Yakjuj dan Makjuj dan turunnya Nabi Isa hanya berlaku di bumi. Tiga tanda besar kiamat ini akan berlaku dalam satu waktu yang sama menurut kejadian bermula dengan keluarnya Dajjal, kemudian turunnya Nabi Isa untuk membunuh Dajjal dan keluarnya Yakjuj dan Makjuj yang dibinasakan melalui doa Nabi Isa.

Matahari terbit dari barat atau arah terbenamnya adalah tanda besar kiamat yang pertama berlakunya perubahan keadaan di langit. Ad-Dabbah atau Dabbatul Ard (sejenis binatang melata dari perut bumi) akan keluar selepas pintu taubat telah tertutup (terbitnya matahari dari barat). Dua tanda besar kiamat ini akan berlaku secara berturutan.

Dari Abdullah bin Amr RA, ia berkata: “Aku hafal sebuah hadis dari Rasulullah SAW yang tidak pernah saya lupakan setelah itu. Aku mendengar Baginda bersabda:

“Sesungguhnya tanda hari kiamat yang pertama kali muncul ialah terbitnya matahari dari barat dan munculnya binatang kepada manusia pada waktu dhuha, bila salah satunya telah muncul, maka yang satunya segera menyusulnya.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Tanda keenam, keluarnya asap (ad-Dukhan) memenuhi langit dan bumi sebelum berlakunya kiamat. Asap sebagai seksaan dunia kepada orang kafir dan tidak mendatangkan kesan bahaya kepada orang Islam kecuali seperti terkena demam selsema. Mereka yang kafir akan berdoa dan mengatakan akan beriman.

Firman Allah dalam Surah ad-Dukhaan 44: ayat 11 dan 12 yang bermaksud:

[otw_shortcode_quote border_style”bordered”]Ini adalah azab yang sungguh menyakitkan. Wahai Tuhan kami! Hapuskanlah azab ini dari kami, sesungguhnya kami akan beriman.[/otw_shortcode_quote]

Sebelum berlakunya kiamat, akan berlaku tiga gempa bumi (tanah runtuh) di timur, barat dan semenanjung Arab yang menenggelamkan kawasan tersebut. Dan yang terakhir keluarnya api besar yang menyala dari Yaman dari lembah ‘Adn akan mengumpulkan manusia ke ardhul-mahsyar, iaitu Syam (bumi tempat berkumpul).

Semua tanda besar kiamat berlaku dalam waktu yang singkat secara berturutan kerana betapa dekatnya hari kiamat apabila telah berlaku tanda yang pertama.

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW berdabda:

“Keluarnya tanda-tanda hari kiamat itu adalah sebahagian demi sebahagian berturutan seperti rangkaian marjan (mutiara) yang dirangkai dengan tali.”

(Hadis Riwayat Thabrani)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recommended
Akhir Zaman bermula sejak kelahiran hingga kerasulan Nabi Muhammad SAW.…